Episod : Kembara di bumi Serambi Mekah (Kelantan)
Rancangan pulang ke kampungku, Palekbang, Tumpat sepatutnya pada 25 - 27 Ogos 2024 untuk menziarahi makcikku yang sedang sakit tenat. Namun makcikku telah terlebih dahulu menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tengku Zainab menemui pencipta-Nya pada 7 OGOS 2024 yang lalu . Hanya doa kutitipkan untuk makcikku (Mek Yam) @ Mariam Bt Awang Kechik. Segala urusan pengkebumian diuruskan oleh Tok Penghulu Kampung Palekbang sambil dibantu Tok Penghulu Negeri dan orang-orang kampung memandangkan tiada waris terdekat di Kampung Palekbang pada hari kematian makcikku. Jadi Tok Penghulu menjadi wakil keluarga untuk menuntut jenazah dan urusan pengkebumian.
Aku , isteri dan anakanda Mukriz bergerak ke Jenderam Hilir, rumah anak menantu untuk bermalam pada 17 Ogos 2024. Kami sampai di sana kira-kira jam 12.00 pagi setelah aku selesai mengajar pada malam itu hingga 10.00 malam. Segala pakaian dan barang keperluan sudah siap disusun pada petang itu di dalam sebuah beg beroda. Keesokan pagi , jam 5.30 kami bertolak ke KLIA dihantar oleh menantu dan cucuku. Hannah. Pada rancangan asal, kami akan memandu kereta ke Kota Bharu tetapi memandang jarak perjalanan yang jauh lebih kurang 7 hingga 8 jam pemanduan aku membuat keputusan pulang ke kampung dengan menaiki pesawat . Bukan sahaja menjimatkan masa malah tenaga.
Sesampai di KLIA 2 pada pukul 6.00 pagi sudah terlalu ramai penumpang yang akan terbang ke destinasi masing-masing. Kami terus menuju ke balai pelepasan domestik sambil menarik sebuah beg beroda dan sebuah beg sandang. Manakala , Mukriz hanya menyandang sebuah beg berisi pakaian dan barangan peribadi.
"Pukul berapa 'gate' buka ?," tanyaku kepada Mukriz. Mukriz melihat papan jadual penerbangan yang silih berganti. Ada sesetengah penerbangan 'delayed' dan ada yang sedang bersedia untuk melakukan penerbangan.
"Dah buka. 'Boarding time' 6.40 pagi" jawab Mukriz ringkas, Kami bergerak ke Pintu K untuk penerbangan ke Kota Bharu yang dijangka pada pukul 7.20 pagi. Selepas melepasi pemeriksaan keselamatan kami menuju ke surau di kawasan berhampiran Pintu K. Beberapa orang penumpang sedang mengerjakan solat Subuh sambil diimami salah seorang penumpang.
Usai solat Subuh, kami memasuki ruang menunggu Pintu K. Kapal terbang berlepas satu persatu dan ada juga yang baru mendarat di lapangan.
"Panggilan kepada penumpang-penumpang AK6430 ke Kota Bharu," kedengaran pengumuman oleh petugas. Setelah beratur menunggu giliran untuk menaiki pesawat aku duduk bersebelahan isteriku manakala Mukriz di barisan kerusi sebelahku. Beg yang kubawa disimpan di ruang bagasi di atas kepala. Tempat dudukku 10C dan 10D manakala tempat duduk Mukriz 9A.
Ketua Pramugara yang bertugas Encik Faizal membuat pengumuman kepada penumpang-penumpang. Pada aku, memang suara pramugara atau pramugari yang membuat pengumuman sangat merdu seolah-olah dirindui setiap kali menaiki pesawat. Seperti biasa demo penggunaan tali pinggang dan peralatan kecemasan ditunjukkan oleh pramugari yang berseragam merah warna tema AirAsia.
Penerbangan menuju ke Kota Bharu bergerak lancar dan disebabkan masih awal pagi suasana di luar tingkap masih gelap gelita. Hanya kerlipan lampu-lampu neon meninggalkan wilayah Sepang nun jauh di bawah sana . Sepanjang penerbangan pramugara dan pramugari sibuk melayan penumpang yang membeli minuman dan makanan kerana tiada minuman percuma . Oleh sebab, jarak penerbangan sangat singkat lebih kurang 45 minit sahaja aku tidak membeli makanan dan minuman kerana aku sudah berniat untuk makan nasi kerabu di bumi Kelantan.
Comments
Post a Comment