Episod : Kembara ke Labuan
Rancangan untuk ke Labuan sudah dirancang empat bulan yang lalu selepas anak buahku bertunang. Aku sebagai abang sulung dalam keluarga memikul tanggungjawab menjadi wakil pihak pengantin dan saksi pernikahan. Setelah semua persiapan selesai, aku dan isteri serta ahli rombongan ' Cik Kiah ' bergerak ke KLIA pada jam 10.00 pagi dari AEON ,Bukit Tinggi.
Inilah kali pertama aku menaiki bas selepas 20 tahun, umpama rusa masuk kampung. Sejam kemudian, kami sampai di KLIA . Oleh sebab kaunter bagasi masih belum dibuka, kami ke tingkat 2 untuk mengisi perut. Harga makan minum di situ sememangnya taraf kayangan seperti yang aku jangkakan. Usai makan , kami ke tingkat 5 untuk urusan bagasi dan bergerak ke balai berlepas yang agak jauh untuk berjalan .
Aku dan ahli rombongan menunaikan solat jamak memandangkan jangkaan masa kami sampai di Lapangan Terbang Labuan sekitar 5.30 petang . Tambahan pula, perbezaan masa sejam awal masa solat juga lebih cepat berbanding di Semenanjung.
Kami menaiki pesawat MAS dan dihidangkan nasi berlauk Kari ayam dan daging. Sekeping kek dan 'fresh orange' diedarkan bersama-sama hidangan nasi. Perasaan bosan sepanjang penerbangan hampir dua jam setengah menerjah dinding hatiku. Masalah aku pula sukar melelapkan mata jika berada di dalam kenderaan yang bergerak .
Sesekali pilot mengumumkan cuaca kurang baik dan akan berlaku sedikit gangguan. Pesawat bergegar tatkala menempuh awan sarat yang gelap. Akhirnya , pesawat mendarat dengan selamat di landasan. Sekali lagi, aku melalui pemeriksaan kastam di lapangan terbang sebagai prosedur wajib. Aku sempat bergambar kenang-kenangan sebaik-baik menjejakkan kaki di lapangan terbang.
Di luar bangunan, hujan turun mencurah-curah. Kami menunggu van hotel yang akan menjemput rombongan kami seramaii dua belas orang dewasa. Dua buah van pun tiba dan semua beg dibawa masuk .Perjalanan diteruskan ke Palm Beach Resort & Spa. Pertama kali menjejakkan kaki di Labuan sangat menyeronokkan. Di bandar, rumah-rumah besar tersergam di kiri kanan jalan.
Aku dan enam ahli rombongan di dalam sebuah van yang dipandu oleh seorang pekerja hotel tempat penginapan kami. Pada mulanya, masing-masing melayan perasaan dan suasana sunyi di dalam van yang bergerak perlahan melalui kampung-kampung.
" Abang dah lama tinggal di Labuan," aku memulakan perbuatan .
" Sudah 20 tahun bah saya tinggal di sini," jawab pemandu van yang berbadan kurus.
" Berapa lama tinggal di sini?".
"Tiga hari , bang" .
" Abang kampung di sini juga?," aku bertanya lebih lanjut.
" Saya sebenarnya orang banjar asal Tanjung Karang ," jawab pemandu van dan suasana di dalam van menjadi riuh rendah tiba-tiba.
" La, orang kita rupanya. Wong jowo," kataku sambil disambut gelak ketawa.
" Dalam sini semua wong jowo," kataku sambil ketawa. Kebetulan di dalam van bersama-sama aku semuanya orang Jawa kecuali aku. Perbualan bertukar bahasa Jawa. Suasana yang kaki tadi bertukar riuh rendah hingga sampai di hotel. Badan berasa amat letih dan aku tidak sabar-sabar hendak mandi.
Pintu bilik hotel 2220 kubuka menggunakan kad akses. Semua beg diletakkan di penjuru katil. Aku merebahkan diri di atas katil yang empuk. Kemudian, aku menerima panggilan daripada anak jagaan kami sewaktu kecil, Doktor Shahira Zaini. Sememangnya masing-masing sudah kepenatan tambahan lagi hujan semakin menggila di luar. Shahira dan suaminya, Doktor Wan akan membawa aku dan isteri keluar makan pada malam hari itu. Kami bertemu di lobi hotel bersama-sama Tiga orang anak mereka yang comel.
Kami singgah makan di Tanjung Food. Menu nasi putih dan tomyam amat menyelerakan. Usai makan kami pulang ke hotel semula untuk berehat .
"Terima kasih Shahira dan Wan belanja ibu ayah makan malam"
Comments
Post a Comment