Episod : Kembara ke Labuan (2)
Pagi yang dingin ditambah suhu 'aircond' yang membeku. Aku dan isteri bersiap-siap untuk bersarapan di kafe hotel. Ahli-ahli rombongan lain sudah lebih awal turun bersarapan kerana mereka hendak menikmati angin pantai . Aku mencari tempat duduk di bahagian koridor kerana angin sepoi -sepoi bahasa dan hujan turun renyai-renyai.
Aku memesan semangkuk mi kolok yang menjadi kegemaranku. Pekerja-pekerja hotel sibuk menjalankan tugas masing-masing melayan tetamu hotel bersarapan. Pelbagai menu pagi itu termasuk mi Sarawak, bubur, sup, mi goreng, nasi lemak , buah-buahan sebagai pemcuci mulut. Usai bersarapan , aku mengajak isteriku bersiar-siar di tepi pantai dan bergambar kenang-kenangan. Kami tidak lama di situ kerana akan bersiap-siap ke Majlis pernikahan anak buah di Kampung Lanjau.
Aku mengenakan sepasang baju Melayu dan kain sampin songket sedondon warna merah hati dengan baju kurung isteriku. Adegan ' butang baju Melayuku mana Pah' pun bermula. Sempat juga kami berswafoto sebelum turun ke lobi hotel untuk berkumpul. Setelah semua bersedia kami bergerak dengan menaiki dua buah kereta , sebuah Alza dan sebuah Vios yang kami sewa selamat tiga hari kami di Labuan.
Jalan berliku-liku kerana di kiri kanan rumah-rumah kampung. Sesampai di rumah pengantin perempuan, kami disambut oleh tuan rumah sanak saudara keluarga pengantin.Dua buah khemah didirikan bagi meraikan majlis walimahtulurus pada hari itu. Aku sebagai saksi pengantin lelaki duduk bersebelahan jurunikah dari pejabat JAWI.
Majlis akad nikah diwalikan bapa pengantin perempuan selesai dan berjalan lancar. Kami dipelawa menikmati makanan dan juadah traditional penduduk Kampung Lanjau. Aku menambah tiga Kali cendol buatan orang tempatan yang sangat sedap. Seorang DJ memutarkan lagu-lagi ' Pengantin Baru' bagi memeriahkan suasana. Sesi bergambar silih berganti sebagai kenang-kenangan.
Kami bergerak meninggalkan tempat majlis sekitar jam 12.00 tengah hari dan jarak dari hotel lebih kurang 15 minit sahaja. Saudara mara dan jiran tetangga semakin ramai yang datang. Kami berehat seketika di bilik hotel sementara menunggu solat jamak Zohor dan Asar pada pukul 12.36 tengah hari.
Kami bergerak keluar dari hotel menuju ke Muzium Chimney , sebuah muzium arang batu. Terdapat sebuah menara batu-bata merah dan taman kecil menjadi lokasi bergambar. Sebatang pokok mangga di tepi menara memggugurkan buah-buah mangga dan kami perlu berhati-hati supaya buah mangga tidak gugur di atas kepala kami. Hujan mulai renyai-renyai.
Kami bergerak ke bandar dan singgah di sebuah pusat beli-belah. Tiada apa-apa yang menarik di situ dan kami meninggalkan pusat beli-belah itu selepas setengah jam meronda-ronda. Kemudian kami ke UTC Labuan yang tidak jauh dari pusat beli-belah tadi. Di tingkat bawah ada pasar basah, pasar sayur-sayuran dan buah-buahan. Di tingkat atas, kedai-kedai menjual kraf tangan, pakaian dan pejabat-pejabat agensi kerajaan.
Kami memilih pelbagai rantai tangan dibuat daripada mutiara, butang baju Melayu , kerongsang, pin tudung dan bermacam-macam aksesori dijual. Aku membeli beberapa butang baju Melayu untuk anak menantu dan cucu di rumah sebagai buah tangan. Manakala, rantai mutiara untuk cucu perempuan sulungku. Selepas itu, kami ke tingkat bawah membeli berbagai-bagai makanan kering seperti keropok, buah,-buahan dan jus nanas, buah naga, jagung dan mangga yang sangat lazat. Berbotol-botol kami memborong air jus.
Kemudian kami bergerak pulang ke hotel dan hujan semakin lebat. Setiba di hotel, sudah masuk waktu Maghrib. Usai solat , kami berkumpul di lobi untuk keluar makan malam di Restoran Ketam. Suasana jalan yang gelap dan hujan renyai-renyai menyukarkan penglihatan pemandu. Akhirnya, kami tersilap jalan dan tersekat di tempat yang berselut. Kami turun dari kereta yang tidak dapat bergerak .Tayar kereta terpaksa disendal dengan batu-bata untuk bergerak. Habis kasut kami berselut sama dalam gelap gelita itu.
Kami sampai juga di kedai viral menjual masakan Ketam tetapi malangnya kedai tutup
. Oleh sebab sudah sampai di situ, kami makan malam di kedai bersebelahan . Menu utama ketam dan 'seafood'. Kami makan sepuas-puasnya kerana makan malam hari itu di 'sponsor' adikku. Usai makan sekitar 11.00 malam kami bergerak pulang semula ke hotel. Hujan turun mencurah-curah.
Sesampai di hotel kami melepak di lobi sambil bermain permainan di situ. Aku dan adikku mencuba bermain 'dart' . Nampaknya adikku lebih handal bermain 'dart' . Meja 'snooker' sudah 'dihak milik' oleh dua orang tetamu hotel sejak sebelum kami bergerak makan malam. Tak jadilah kami hendak mencuba permainan 'snooker' itu. Hari pun dah larut malam . Kasut pun dah macam masuk estet.
Sampai di bilik hotel , kucampak kasut ke dalam bilik air . Esok, hari terakhir aku di bumi Labuan..
Comments
Post a Comment