Episod : Hanya Kata-kata

..Bagaimanakan kumula?
Dan apakah kata-kata
Yang indah untuk diabadikan ?….
Lagu ' Suatu Masa' lontaran suara M Nasir dari corong radio kedai amat menusuk kalbu. Dan, air mata tiba-tiba bergenang . Aku membuang pandangan ke arah lain agar tiada sesiapa yang menyedarinya.
Seorang lelaki separuh abad sedang duduk bersendirian. Tangannya memegang sebuah telefon bimbit. Sesekali lelaki itu tersenyum namun air mata bercucuran. Aku berasa pelik dengan tingkah laku lelaki itu.
Aku bangun dari kerusi lalu mendekati lelaki itu. Lelaki itu mendongak ke arahku yang sudah berdiri di sisi mejanya. Aku tersenyum dan lelaki itu juga tersenyum.
" Er, boleh saya duduk di sini?," sapaku dengan wajah tersenyum.
" Silakan. Saya pun tiada sesiapa duduk di sini," ujar lelaki itu.Kami bersalaman dengan mesra. Aku menarik kerusi lalu melabuhkan punggung. Suasana sepi seketika.
" Encik dari mana?," aku melontarkan pertanyaan kepada lelaki itu. Telefon bimbit di tangannya diletakkan di atas meja.
" Saya hendak ke Melaka ," jawab lelaki itu dan menyedut straw minumannya.
" Oh!"
" Saya cuma nak berjalan-jalan ke sana," ujarnya lebih lanjut. Suara pelanggan di kedai itu tidak sangat mengganggu perbualan kami kerana kedudukan kami agak jauh di sudut kedai.
" Encik pula dari mana hendak ke mana?," tanya lelaki itu pula.
"Saya tak ke mana-mana. Sengaja saya singgah di kedai ini untuk membasahkan tekak dan membelikan makanan untuk isteri saya," jawabku . Suasana kembali sepi.
Lelaki itu kembali memegang telefon bimbitnya. Aku cuba mencuri pandang. Lelaki itu tersenyum sendiri tetapi matanya berkaca.
" Maafkan saya kalau saya bertanya"
" Eh, tak mengapa ," jawab lelaki itu. Dia meletak kembali telefon bimbitnya.
" Dari tadi saya lihat Encik membelek-belek telefon bimbit," ujarku dan lelaki itu tersenyum
" Sebenarnya, saya suka merakam gambar. Gambar isteri saya. Gambar anak cucu saya," kata lelaki itu. Aku mengangguk tanda faham.
" Tapi, di mana isteri Encik. Tak nampak pun?," tanyaku lagi.
"Oh, isteri saya . Dulu dia rajin mengikut saya ke mana saja saya pergi," sambung lelaki itu.
" Oh, begitu," balasku perlahan.
" Kami selalu berjalan-jalan . Isteri saya suka bercuti ke Melaka."
Sebuah kereta berhenti di hadapan kedai dan turun sepasang suami isteri yang agak berumur. Kemudian, mereka duduk dan dilayan seorang pramusaji. Aku dan lelaki itu sama-sama memandang pasangan itu. Kami sama-sama berpandangan dan tiada kata-kata yang hendak kami luahkan. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Pasangan yang berumur itu kulihat bahagia dengan cara mereka.
" Tadi , Encik kata tak ke mana-mana. Mana isteri Encik tak ikut samakah?," tanya lelaki itu kepadaku semula. Aku terdiam seketika dan melepaskan keluhan berat.
" Isteri saya ada di rumah . Kebiasaannya saya membungkus makanan dan bawa balik ke rumah," jawabku .
" Isteri Encik tak memasak?," tanya lelaki itu lagi.
" Tak. Isteri saya tidak sihat sudah beberapa lama dia tidak ke dapur lagi ," jawabku berterus-terang. Lelaki itu memandang mataku dalam-dalam. Perbualan kami terhenti seketika apabila sebuah kereta membunyikan hon di hadapan kedai. Sebuah motosikal diparkir di belakang kereta yang menyebabkan halangan kepada pemandu kereta.
" Isteri saya juga lama tak sihat. Keluar masuk hospital . Saya yang menjaganya," ujar lelaki itu.
" Boleh saya bertanya, isteri Encik sakit apa?," tanyaku lagi.
" Isteri saya mengidap kanser. Sudah kritikal semasa penyakitnya dikesan," lelaki itu terdiam seketika dan nenundukkan kepalanya. Aku tidak meneruskan pertanyaan. Kubiarkan lelaki itu memendam perasaannya.
" Saya dah cuba bermacam-macam rawatan tapi tidak berjaya," katanya lagi. Kedengaran kekesalan pada kata-katanya.
Lelaki itu memegang telefon bimbitnya semula.
" Ini gambar isteri saya." Aku melihat skrin telefonnya. Gambar lelaki itu bersama isterinya. Tampak kebahagiaan antara mereka.
" Lama juga saya menantikan saat kesembuhan isteri saya," sambungnya lagi. Matanya berkaca.
" Jagalah baik-baik isteri Encik. Masa Kita di dunia ini tak lama. Kalau kita mendahului pasangan kita tentu sukar untuk dia mengurus dirinya," kata lelaki itu memberikan nasihat kepadaku.
" Kesabaran kita sedang diuji Allah. Takdir Allah kepada Encik dan isteri Encik," sambungnya lagi.
" Masa-masa kebahagiaan kita belum tentu kekal. Saya suka melihat gambar-gambar kami semasa isteri saya masih sihat dulu," ujarnya lagi dan meletakkan telefon bimbitnya.
Aku mengangguk dan tiada kata-kata yang lahir dari bibirku saat itu. Kata-kata lelaki itu amat menyentuh perasaanku.
" Bagaimana dia boleh begitu tabah menjaga isterinya yang menderita kanser?," pertanyaan itu hanya bergema jauh di sudut hati kecilku. Aku memandang lelaki itu. Wajahnya sangat tenang dan bersih. Aku banyak.membaca artikel berkaitan penyakit dan kesihatan. Pesakit kanser yang diberikan rawatan kimo sangat menyeksakan . Tidak dapat kubayangkan betapa deritanya isteri lelaki itu dan tentunya lelaki itu turut merasai kesakitan yang ditanggung oleh isterinya.
" Encik jangan biarkan perasaan sedih Encik menguasai diri Encik. Encik kena terima takdir ini. Ujian kita berbeza-beza. Allah lebih mengetahui kemampuan kita untuk menghadapi ujian ini," kata lelaki itu sambil menepuk-nepuk bahuku perlahan.
Lelaki itu melambai ke arah seorang pramusaji.
" Dik, tolong kira"
"Semua?," tanya pramusaji semula.
"Ya."
" Eh, tak apa Encik. Saya bayar," kataku sambil mengeluarkan sekeping RM50 dari poket bajuku. Lelaki itu tersenyum melihat aku.Pramusaji berlalu meninggalkan kami berdua.
" Saya minta diri dulu. Terima kasih kerana tolong bayarkan minuman saya," kata lelaki itu lalu menghulurkan tangannya. Kami berjabat tangan dan lelaki itu menuju ke arah keretanya. Kereta meninggalkan perkarangan kedai.
" Encik, ini nasi kukus yang Encik pesan tadi. Saya dah kira sekali," ujar pramusaji sambil menghulurkan sebungkus makanan untuk dibawa pulang.
" Boleh saya tanya. Siapa lelaki yang bersembang dengan saya tadi?," tanyaku kepada pramusaji itu.
" Oh, itu Pakcik Mat."
" Dia penduduk sini?"
" Ya"
" Mana isteri dia ?"
" Isterinya baru meninggal bulan lepas. Dulu dia selalu datang makan di sini dengan isterinya . Itu dia nak ke kubur isterinya. Setiap hari dia melawat kubur isterinya di hujung kampung, ini" ujar pramusaji itu.
"Terima kasih,dik". Pramusaji itu meninggalkan mejaku.
Aku meninggalkan kedai itu menuju pulang ke rumah. Kata-kata lelaki itu amat bermakna buat diriku. Kesetiaan tidak semestinya ketika ada tetapi sampai bila-bila.
..Jika engkau tahu di dalam hatiku
Mungkinkah kau sahut jeritan batinku ...

Comments

Popular posts from this blog