Episod : Cerita tentang Kawan.
Usai solat Subuh aku singgah bersarapan di sebuah restoran mamak popular di Bukit Tinggi. Kemudian, aku terserempak dengan seorang kawan jemaah surau dan kami saling mengenali. Dalam bersembang kawan yang aku panggil 'abang' tu mula bercerita tentang kisah 'kegemilangannya' dulu-dulu. Baru kutahu, dulunya 'abang' seorang Cikgu sekolah . Dia mula menceburi bidang perniagaan berkaitan dengan kerajaan dan bertambah-tambah kaya lalu membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai guru di sekolah kerajaan walaupun dipujuk 'boss' supaya berfikir semasak-masaknya . Ketika itu kawan keliling pinggang . Duit pun banyak berkepuk-kepuk. Kabel pun kuat lagi kukuh. Projek masuk tak henti-henti.
Tapi kerana kawan juga akhirnya 'abang' tersungkur. Bisnez hancur. "Isteri pun lari," kata 'abang' . Masa ini senyuman 'abang' lain macam . Segala aset rumah-rumah termasuk rumah kedai lenyap sekelip mata. Dua buah kereta Merz pun terpaksa dijual. Murah-murah. Kata orang dah ' jatuh terlentang' bukan lagi ' jatuh terduduk'. Terkontang- kanting seorang diri. Kawan-kawan yang ramai pun lari. Kata abang dia menyesal apa yang telah berlaku dulu.
Saya bagi tahu 'abang' semua itu Allah dah susun. Ada masa kita di atas dan terlalu sibuk hingga leka . Nak datang masjid surau pun susah. Apatah lagi hadir kuliah . Saya beritahu 'abang' semua itu saya pernah lalui. Saat Kita jatuh, kawan-kawan pun lari . Kita 'call' kawan pun takut nak jawab . Sekarang 'abang' bawa teksi .
Dalam bercerita itu, bibir abang tak lekang dengan 'senyuman' . Aku beritahu 'abang' Allah sudah takdirkan perjalanan hidup kita begitu. Andainya, kita masih terkejar-kejar dunia , AKHIRAT pun tinggalkan kita tapi sekarang kita rasa tenang . Bangun pagi , solat di masjid . Dulu, nak solat berjemaah pun tak sempat. Kejar masa takut jalan jem atas jalan . Sekarang solat awal waktu dulu hujung-hujung waktu baru terkocoh-kocoh. Sekarang kehidupan lebih tenang pada hujung usia begini.
Tak ada apa-apa lagi nak dikejar. Insyallah, semua mencukupi . Jangan lupa Allah. 'Abang' tersenyum mendengar aku berceloteh. Aku nak bayar sarapan kami tapi' abang' kata tak perlu bayar . 'Owner' restoran tu upah 'abang' untuk uruskan apa-apa berkaitan jabatan kerajaan macam ' penasihat 25%' misai kontot ( Allahyarham Saleh Kamil). Sarapan pagi ini 'FOC'.
Kami bersalaman sebelum masing-masing beredar untuk menjalankan rutin harian. Begitulah adat dunia. Kalau berkawan berwaspada . Ada kawan tikam kawan. Ada kawan lupa kawan. Ada kawan ingat kawan. " Berkawan biar beribu berkasih biar satu , " kata kawanku yang memegang 'title' berbini dua..
Comments
Post a Comment