Episod Akhir : Kembara ke Labuan

Hari terakhir di bumi Labuan dan langit menangis. Kulihat dari balkoni suatu pemandangan indah. Tepian pantai yang berkabus dan jalur-jalur halus cahaya matahari menembusi awan. Pohon-pohon kelapa yang mengelilingi kawasan hotel .
Aku nengajak isteriku bersiap-siap untuk bersarapan. Pakaian isteriku telah kupilih dan kusangkutkan pada penyandar kerusi supaya dia fikirannya tidak bercelaru memilih pakaian. Adik-beradikku dengan ipar duai sudah pun berada di kafe. Menu yang sama seperti semalam.
" Kita gerak selepas solat Zohor . Jangan lupa jamak sekali," pesan adik lelaki. Aku mengambil beberapa jenis makanan dan duduk semeja dengan adik perempuan dan suaminya. Kami berbincang tentang rancangan selepas 'check out ' nanti kerana pesawat kami akan berlepas pada pukul 5.30 petang.
Selepas semua kad akses diserahkan kepada kaunter Pendaftaran, kami bergerak ke bandar dengan tiga buah kereta. Sebuah kereta dipandu oleh anak buahku yang juga pengantin baru. Kami sampai di Terminal Feri Antarabangsa Labuan. Orang ramai sedang beratus untuk menaiki feri yang sudah menunggu.
Beberapa buah kedai bebas cukai dikerumuni pelanggan. Kami berpusing-pusing beberapa kali di sekitar terminal mencari petak parkir.Selepas 20 minit, ketiga-tiga buah kereta mendapat petak parkir tidak jauh antara satu dengan lain . Kami mencari kedai makan yang berdekatan kawasan terminal. Kedai terletak di atas air tidak jauh dari terminal baharu yang sedang dibina.
Kelihatan dari restoran kejauhan rumah-rumah di atas air. Bot-bot nelayan sedang berlabuh . Tiada pekerja dan nelayan di kawasan itu.
" Orderlah nak makan apa?, " kata adikku. Harga makanan dan minuman di sini agak mahal seperti yang diberitahu oleh besan adikku semalam . Aku berkongsi sepinggan nasi goreng Pattaya dengan isteriku. Aku memesan limau ais dan dikongsi bersama isteriku. Minuman ais kosong adalah percuma.
Usai makan kami ke kedai bebas cukai untuk membeli barang-barang seperti coklat. Harga di kedai bebas cukai tidaklah terlalu murah hampir sama dengan coklat yang dijual di GM tidak jauh dari rumahku. Terbang duit aku RM125 membeli coklat DAIM, Cadbury dan Natella. Sebotol gula-gula Mentos untuk kuedarkan kepada anak-anak muridku sekembali nanti di Semenanjung.
Kami bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan dan sampai kira-kira jam 1.30 petang. Setelah urusan bagasi selesai kami berkumpul untuk masuk ke ruang pelepasan yang masih belum dibuka. Banyak cerita yang dikongsi sambil menunggu pesawat berlepas. Sebuah demi sebuah pesawat datang dan pergi di lapangan terbang itu.
Sementara menunggu giliran menaiki pesawat sempat aku membeli aiskrim Cornetto dan aku berkongsi dengan isteriku yang gemar aiskrim Cornetto. Kuberikan juga aiskrim untuk adikku menghilang stres kerana aiskrim coklat mampu mengurangkan tekanan perasaan sepertimana yang aku baca di dalam sebuah artikel.
Akhirnya, giliran kami diumumkan untuk menaiki pesawat baharu MAS. Kedudukan kerusi kami masih sama seperti waktu kami datang dua hari yang lepas. Pesawat padat dengan penumpang . Pesawat baharu dilengkapi pelbagai alat telekomunikasi moden.
Pesawat berlepas meninggalkan bumi Labuan . Satu persatu kenangan di mataku dan bagiku Labuan melupakan sebuah pulau yang cantik dan tenang. Pantai-pantai yang bersih dan indah. Tambahan pula, masyarakat di sini sangat baik dan peramah.
Kami dilayan oleh pramugari dan pramugara pesawat yang peramah, segak dan cantik. Dulu, aku juga pernah berangan-angan hendak menjadi seorang pramugara tetapi apakan daya impianku tidak tercapai. Begitu juga, cita-cita hendak menjadi seorang pegawai kanan polis juga tinggal impian.
Kami dihidangkan tiga jenis makanan.
" Hari ,Encik. Kami ada nasi hujan panas, nasi kandar dan pasta ayam atau daging," beritahu pramugara yang sudah berumur tetapi tetap menjaga penampilannya yang segak.
" Beri saya pasta ayam dan nasi hujan panas rendang ayam. Air jus epal ," kataku sambil pramugara itu tersenyum memandangku. Mata bertentang mata tapiI tak turun ke hati.
" Terima kasih abang hensem," katanya seperti berbisik dan meletakkan makanan sambil tersenyum. Aku dah agak dah🤣.
Kami manikmati hidangan masing-masing dan sesekali pesawat bagai dilambung-lambung kerana cuaca yang kurang memuaskan. Lampu di dalam pesawat ditutup dan suasana bertukar bagai kedai tomyam, kata adikku yang duduk di sebelah. Kami tiba di KLIA lebih kurang 8.00 malam dan menunggu bagasi masing-masing. Jarum jam menunjukkan pukul 9.00 malam. Badanku tersangat letih. Aku dan isteriku menunggu anak menantu menjemput kami untuk pulang ke rumah mereka yang tidak jauh dari KLIA.
Esok , aku akan ke Hospital Pakar Jantung Sultan Idris Shah, Serdang untuk menjalani ujian ' angiogram' jantung...

Comments

Popular posts from this blog