Episod : Ditakdirkan Aku Jadi Cikgu (9)

Sudah hampir dua tahun kami berpacaran dan bukan rahsia lagi. Akhirnya , kami mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan setelah 'N' memberitahu aku bahawa ibu bapanya mahukan kepastian tentang hubungan kami kerana ada seorang teruna di kampung 'N' ingin datang merisiknya.
Dalam tempoh pertunangan itu, kami sering ke Kuala Lumpur pada hujung minggu untuk mencari barang-barang untuk hantaran . Usai peperiksaan STPM 'N' bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat. Hampir setiap petang aku akan menunggu ' N' pulang bekerja dan menemaninya ke stesen bas untuk pulang ke rumah. Setelah itu, aku bersegera pulang ke sekolah untuk meneruskan tugasan aku.
Walaupun ada tawaran di luar sana untuk aku mengajar tuisyen namun tawaran itu terpaksa aku tolak kerana polisi sekolah tempat aku bekerja tidak membenarkannya. Jadi, gaji bulanan aku cukup makan untuk membuat persiapan majlis perkahwinan nanti. Mahu tak mahu, semua ini perlu aku hadap dengan hati yang tabah . Sebahagian gajiku berikan kepada ibuku sebagai persiapan perbelanjaan untuk majlis walimahtulurus nanti bak pesan orang tua-tua, 'sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit'.
29 Julai 1989 tarikh pernikahan kami telah ditetapkan . Akhirnya , kami disahkan sebagai suami isteri dan semasa persandingan berlangsung di atas pelamin aku sempat berbisik kepada 'N' .
" Dalam poket hanya ada RM15," kataku.
Kami sama-sama tersenyum dan kami pasrah untuk mengharungi gelombang berumah tangga. Pahit manis kami sudah bersedia untuk mengharunginya bersama-sama. 'Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai .'
Selepas itu, aku tinggal bersama-sama keluarga mentua untuk beberapa tahun kerana kewanganku tidak mengizinkan kami menyewa rumah. Setahun kemudian , kami menimang cahaya mata pertama seorang puteri. Kami masih berulang alik ke tempat kerja dengan menaiki bas awam. Pada hujung minggu, kami membawa puteri kami pulang ke rumah ibu bapaku.
Sehinggalah tahun 1992, aku dan isteri berbincang tentang masa depan keluarga kami. Isteriku kini sedang berbadan dua. Aku akhirnya, membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai Cikgu selepas berkhidmat dan menimba pengalaman hampir lima tahun. Aku bercadang untuk bekerja sebagai jurujual di syarikat tempat isteriku bekerja. Pada petang itu, aku menyerahkan surat peletakan jawatanku kepada Pengetua . Walaupun berat hati Pengetua untuk melepaskan aku dan berjanji akan menaikkan gajiku namun aku sudah bertekad untuk berhenti kerja. Dengan berat hati Pengetua menerima peletakan jawatan aku dan aku menuruni anak tangga satu persatu meninggalkan sekolah dan di dalam hati aku menangis semahu-mahunya. Terasa dunia ini kosong.
Sejak hari itu, bermulalah episod baharu dalam hidup kami. Susah senang kami sudah bersedia hadapi bersama-sama. Pelajar-pelajarku amat berasa kehilangan aku . Hanya kenang-kenangan yang kutinggalkan menjadi memori. Selamat tinggal semua...

Comments

Popular posts from this blog