Episod: Aku Ditakdirkan Jadi Cikgu (11)
Setelah beberapa tahun bekerja dan menimba pelbagai pengalaman pahit dan manis aku mulai terfikir untuk melangkah lebih jauh. Maknanya, aku perlu membuat keputusan yang tepat . Berhenti kerja sepenuh masa !
Tahun 2005, pihak pengurusan kolej membuat keputusan menutup sekolah tempat aku bekerja selepas berlaku beberapa krisis dalaman di peringkat kepimpinan . Aku dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Akademik ( HOD ) . Namun tidak lama kerana aku juga berhadapan dengan kerenah rakan-rakan setugas. Pengajaran yang dapat kuambil ialah jangan sesekali melantik rakan sejawatan menjadi 'boss' kerana sukarnya untuk 'mengurus dan mengawal' mereka.
Aku meletakkan jawatan sekali lagi untuk kali kedua selepas berkhidmat hampir sepuluh tahun. Keseluruhan tempoh aku bekerja makan gaji dari tahun 1987 hingga tahun 2005. Dengan berbekalkan segulung Ijazah Bahasa Melayu dan Linguistik aku mempunyai keyakinan untuk berjaya dalam perniagaan tuisyen.
Tidak sesekali akan kutinggalkan pekerjaan yang kucintai ini sebagai Cikgu. Dunia pendidikan sudah menjadi darah dagingku. Dan tidak mungkin segala pengalaman yang kutimba selama ini berakhir begitu sahaja. Tahun 2006 menjadi titik tolak aku terjun dalam bidang perniagaan. Bermula di Klang kudirikan PUSAT TUISYEN SISWA dan pada masa yang sama personal tuisyen masih berjalan seperti biasa atas permintaan pelanggan-pelangganku.
Aku juga mendapat tawaran menyampaikan ceramah di sekolah-sekolah sekitar Klang dan Shah Alam. Kesibukan aku bertambah-tambah dan aku berasa satu kerugian pula kerana tidak berpeluang membesarkan anak-anak. Dalam erti kata lain, semua urusan membesarkan anak-anak di bahu isteriku. Masa aku lebih bertumpu kepada perniagaan. Dari pagi hingga malam tujuh hari seminggu.
Pusat tuisyen aku menjadi pesaing kepada beberapa buah pusat tuisyen lain yang sudah berakar umbi lebih lama dalam bidang ini. Aku mendapat sokongan padu daripada beberapa orang pelanggan VVIP aku. Aku berjaya menarik pelajar yang ramai terutamanya pelajar-pelajar dari sekolah jenis kebangsaan . Guru Besar dan Pengetua juga memberikan sokongan kerana pelajar-pelajar di sekolah mereka menunjukkan prestasi yang membanggakan. Pendek kata mana-mana pelajar yang gagal atau lemah subjek Bahasa Melayu akan 'diarahkan' oleh pentadbir sekolah ke pusat tuisyen aku.
Sekitar awal tahun 2000 aku sudah mencapai pendapatan setaraf Jusa B Namun, aku tidak mudah lupa diri. Manusia yang berjasa kepadaku selain ibu bapaku , isteriku. Isteriku sanggup hidup bersama-sama aku tika aku tidak punya apa-apa. Besar sungguh pengorbanannya. Kata orang, " di sebalik kejayaan seorang suami ialah isteri" . Aku tidak pernah menafikannya.
Perniagaan terus berkembang dengan begitu pantas. Aku mendapat tawaran mengajar di sebuah pusat tuisyen lain secara 'part time ' kerana pusat tuisyen tersebut berhadapan krisis dalaman. Kehadiran aku dianggap penyelamat oleh pemilik pusat tersebut dan mereka sanggup membayar aku RM8,000 sebulan . Aku memberikan syarat hanya akan mengajar selama enam jam seminggu dan mereka bersetuju. Jadi, aku mengajar di dua pusat tuisyen pada satu masa. Tiada istilah penat kerana paling penting menggapai sebuah impian !
Comments
Post a Comment