Episod : Aku Ditakdirkan Jadi Cikgu (10)
Kata-kata 'Selamat Tinggal' kepada dunia pendidikan sewaktu aku melangkah meninggalkan bangunan sekolah tidak menjadi kenyataan. Selepas menyeberang jalan menuju ke stesen bas aku disapa seorang lelaki berpakaian kemas dan bertali leher. Lelaki itu ditemani dua orang rakannya . Mereka memperkenalkan diri kepada aku, bagaikan pucuk dicita ulam mendatang .
Hari itu aku dilamar oleh sebuah sekolah swasta di bandar Klang yang merupakan anak syarikat kepada sebuah kolej swasta terkemuka di Lembah Klang. Sehingga hari ini , soalan yang tidak dapat kutemukan jawapannya ," Siapakah yang memberitahu mereka aku meletakkan jawatan pada hari dan waktu itu ? " . Akhirnya , aku menerima tawaran kerja dengan gaji permulaan RM1200.00 sebulan . Keterujaan menerima gaji yang agak lumayan pada awal 90-an kuanggap sebagai rezeki kami sekeluarga.
Tugasan aku di sekolah ini tidak banyak beza dengan sekolah lama. Aku masih mengajar subjek yang paling kuminati , Bahasa Melayu. Aku juga diberikan tugas sebagai guru disiplin . Segala-galanya bagaikan sudah diatur dan disusun rapi. Perjalanan kerjayaku sebagai Cikgu semakin melebar kerana pihak pengurusan sekolah tidak menghalang aku menerima tawaran mengajar tuisyen di luar waktu sekolah.
Bermulanya aku sebagai tutor tuisyen apabila pada suatu hari aku disapa seorang wanita . Ketika itu aku sedang membuat salinan nota di sebuah kedai fotostat. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai seorang guru di sebuah sekolah swasta jenis kebangsaan di Klang dan meminta pertolongan aku mengajari anaknya subjek Bahasa Melayu di rumahnya. Setiap malam minggu, aku akan ke rumahnya untuk mengajari anaknya yang ketika itu di Tingkatan Lima di sebuah sekolah swasta terkemuka. Sejak hari itu, aku menerima tawaran demi tawaran mengajar tuisyen dari sebuah rumah ke sebuah rumah dan aku mengajar tuisyen hampir setiap malam termasuklah hari cuti umum. Aku tidak lagi menoleh mengenang kisah silam.
Aku diberikan kepercayaan mengajar tuisyen beberapa orang anak VVIP. Walaupun begitu, tugasan aku di sekolah tidak terganggu dengan kesibukan aku mengajar tuisyen di sana sini. Pendapatan aku meningkat dari sebulan ke sebulan dan aku amat bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepada kami sekeluarga.
Isteriku tidak lagi bekerja selepas kami menimang cahaya mata kedua. Isterikulah yang bertungkus lumus menguruskan sepenuhnya urusan rumah tangga. Pada cuti sekolah, aku akan membawa keluargaku bercuti dari Utara ke Selatan dan Timur ke Barat. Anak-anak membesar dengan penuh kasih sayang dan aku sangat mengambil berat aspek pelajaran mereka . Anak-anak membesar dalam persekitaran yang sangat baik.
Suasana di sekolah ini tidak sama seperti di sekolah lama kerana kebanyakan pelajar-pelajarnya terdiri daripada berbilang bangsa. Manakala, di sekolah lama kebanyakan pelajarnya sebangsa aku. Pihak pengurusan terdiri daripada golongan profesional yang sentiasa memantau perjalanan sekolah dengan rapi. Aku telah dilantik sebagai setiausaha peperiksaan sekolah yang menguruskan urusan peperiksaan SPM dan STPM. Aku sering berurusan dengan pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan , Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan. Hubungan aku dengan pegawai-pegawai inilah yang pada kemudian hari banyak membantu aku membuka pusat tuisyen sendiri.Hanya hati yang kental akan mengecapi kejayaan yang mutlak !.
Comments
Post a Comment