Episod : Sudah Takdir
Satu persatu aku diberikan ujian namun di sebalik ujian itu aku bersyukur kerana tanda Allah sayang . Segala-galanya kucuba hadapi dengan ketabahan dan kesabaran kerana tanpa semua itu barangkali aku akan kecundang dalam perasaan.
Beberapa siri rawatan intensif dilakukan oleh beberapa orang doktor pakar. Beruntungnya aku sejujurnya Allah memilih aku. Aku dibantu oleh beberapa orang 'parents' yang juga 'client' tuisyen berjumpa dengan doktor-doktor pakar berkenaan penyakit 'misteri' isteriku. Hari demi hari daya ingatannya semakin luput. Dan aku perlu belajar berhadapan dengan pesakit seperti yang dialami isteriku.
Setiap hari aku akan memastikan semua lampu, kipas , sterika , dapur, peti sejuk dalam keadaan ' MODE OFF' . Pintu peti sejuk sudah ditutup dan pili air. Semua itu sudah menjadi rutin yang tidak boleh alpa. Pakaiannya aku akan sediakan yang sesuai dipakai apabila keluar rumah, di rumah dan menghadiri majlis keramaian. Semuanya perlu disusun dan diatur dengan baik dan disiplin. Segala ubat yang perlu dimakan mengikut arahan doktor pakar walaupun doktor ada memberitahuku bahawa tiada ubat khusus untuk penyakit yang dialami isteriku.
Situasi bertambah rumit disebabkan semua ujian ECG, MRI, PAP SMEAR dan LUMBAR PUNCTURE sudah dilakukan dengan teliti selama hampir dua bulan namun tiada apa-apa keputusan yang positif sebaliknya semua negatif. Doktor pakar di KPJ, Avisena dan Pakar Perunding Kanan Neuro Hospital Sungai Buloh menjadi rujukan kes penyakit isteriku. Jadi, aku membuat rumusan bahawa penyakit isteriku ini adalah 'misteri' . Berat badannya terus merosot dengan sangat ketara.
'Alhamdulillah, ujian ke atas isteri tuan tidak menunjukkan sebarang tanda positif. Andainya tanda positif tuan akan berjumpa isteri tuan di syurga'. Ajal dan maut itu urusan Allah dan aku pasrah aku reda ..Amin ya rabbal alamin
Comments
Post a Comment