Episod : Ditakdirkan Aku Jadi Cikgu
Semasa aku di Tingkatan 5 pada tahun 1984 , beberapa orang jiranku meminta aku mengajari anak-anak mereka tuisyen . Aku juga tidak keberatan dengan niat ingin menolong. Setiap murid membayar RM5.00 sebulan sebagai upah. Aku mengajar setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad merangkumi semua subjek sekolah rendah . Namun begitu, tidak semua murid membayar yuran bulanan dengan kata lain jiran-jiranku 'culas' membayar yuran. Aku pun tidak terlalu berkira sangat kerana khidmat aku itu lebih dianggap sukarela.
Selepas SPM, aku menyambung pelajaran di peringkat STPM . Keputusan SPMku tidak memuaskan jadi aku tidak layak mendapat peluang belajar ke Tingkatan Enam di sekolah kerajaan. Aku memasuki sebuah sekolah swasta di Klang dengan yuran bulanan RM60.00 setelah aku berjaya menyakinkan ibu bapaku bahawa aku akan berusaha dengan bersungguh-sungguh . Semasa di Tingkatan Enam aku mengambil aliran sastera. Minat aku yang mendalam tentang bahasa dan sastera mendorong aku menulis cerpen dan sajak sebagai mengisi masa lapang. Aku mempunyai sebuah mesin taip ' Olivetti' hadiah daripada ayahku kerana mendapat keputusan cemerlang SRP. Tanpa disangka cerpen dan sajak aku sering tersiar di akhbar-akhbar utama , Berita Minggu dan Mingguan Malaysia serta majalah popular seperti Varia POP , NONA, Majalah Wanita dan URTV.
Kepuasan menulis tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Pada ketika itu, namaku agak popular dan setiap hari posmen akan menghantar berpuluh-puluh dan kadang kala beratus-ratus surat semingggu. Tidak semua surat daripada peminat-peminat aku balas kerana terlalu banyak .Kos membeli sampul surat dan setem juga tinggi. . Aku mendapat bayaran bagi setiap karya yang tersiar di surat khabar dan majalah. Jika cerpen bayarannya RM160.00 dan kalau sajak RM15.00 hingga RM20.00.
Dua tahun berlalu, akhirnya selesai sudah peperiksaan STPM. Aku mula mencari-cari pekerjaan namun tidak berhasil. Tambahan pula, tahun 1986 ekonomi dunia sedang meleset dan peluang pekerjaan sangat kurang. Aku ditawarkan bekerja sebagai pemunggah kayu dengan upah yang dijanjikan mandur RM25.00 sehari. Kayu-kayu beluti sepanjang 10 kaki dan papan disusun di dalam kontena. Suhu panas di dalam kontena umpama 'oven' . Selesai kerja aku hanya dibayar RM15.00 setelah menghabiskan tenaga dari pukul 7.00 pagi hingga 6.00 petang. Aku ditipu bangsaku sendiri ! Nokhtah.
Aku berhenti bekerja memunggah kayu dan bekerja sebagai ' cleaner' di ibu pejabat Lembaga Pelabuhan Klang ( LPK). Sesudah Subuh aku berbasikal ke LPK sejauh lebih 20 minit dari rumahku yang terletak di Jalan Kem, Pelabuhan Klang. Setiap bulan, aku mendapat gaji RM110.00. Selama hampir enam bulan bekerja di situ , akhirnya keputusan STPM diumumkan.
Aku tidak pergi mengambil keputusan peperiksaan pada pagi itu kerana bekerja. Aku berbasikal dari ibu pejabat LPK menuju ke bandar Klang selepas Zohor dengan kebenaran boss. Setiba di sekolah, masih ada beberapa orang teman Tingkatan Enam sedang berbual-bual sambil berkongsi kegembiraan . Aku yang beruniform 'cleaner' kemeja warna kelabu terus naik ke tingkat atas. Di pejabat sekolah, Pengetua tersenyum melihat kelibat aku di pintu.
"Kenapa tak datang pagi tadi?," spontan Pengetua bertanya kepadaku.
" Saya kerja, Cikgu".
" Kamu kerja apa?"
" Tukang cuci , Cikgu" . Pengetua hanya tersenyum dan di tangannya ada sekeping slip keputusan peperiksaan.
" Tahniah, kamu pelajar kedua terbaik sekolah"
Aku hanya tersenyum. Bersorak tidak. Melompat pun tidak. Keputusan 4 Prinsipal sudah menjanjikan harapan kepada aku untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Sememangnya, cita-citaku hendak ke universiti.
Beberapa orang rakan sekelasku sedang menunggu di bawah. Mereka bersorak sambil mengucapkan tahniah atas keputusan yang aku peroleh. Rakan-rakanku sungguh bergaya dengan pakaian dan kasut yang cantik. Aku melihatnya sedang berbual-bual di satu sudut dengan seorang temanku sesekali mereka tertawa .Tempoh menunggu keputusan peperiksaan hampir lima bulan telah menjarakkan hubungan kami . Bukan aku tidak pernah mengutuskan warkah kepadanya bahkan hampir setiap minggu aku menitipkan kata-kata di atas helaian warkah untuknya namun tidak pernah berbalas. Dia berlalu pergi dengan teman-temannya sambil ekor matanya memandang aku tanpa senyuman.
Aku menghantarnya ke seberang jalan dengan mata berkaca .Dia kelihatan begitu gembira di sisi teman-teman hingga hilang dari pandangan mataku. Aku segera mencapai basikalku dan berkayuh pulang ke pejabat LPK kerana selepas kakitangan pejabat pulang aku serta beberapa orang rakan sekerja akan membersihkan bilik-bilik pejabat , tandas dan tangga . Sepanjang kayuhan dari Klang ke Pelabuhan Klang tubuhku dibasahi peluh dan juga air mata...
Comments
Post a Comment