Episod : Ditakdirkan Aku Jadi Cikgu (8)

Sepatutnya hari itu aku pulang pada pukul 7.00 petang tetapi seorang guru tidak dapat hadir sesi kelas malam kerana kurang sihat. Aku telah mendapat arahan daripada pejabat untuk menggantikan guru yang tidak hadir itu. Jadi, aku bersiap-siap untuk mengajar kelas Tingkatan Tiga yang bakal menduduki SRP.
Aku ternampak 'N' sedang berjalan menuju ke kelasnya tanpa menyedari aku sedang melihatnya. Sudah lama aku tidak menemani 'N' apabila pulang dari kelas malam. Ada hati yang sedang memendam rindu. Rindu yang tidak dapat dilafaz dengan kata-kata. Ah, kalau sudah begitu ketentuan-Nya aku pasrah.
Usai mengajar lantas aku ke bilik guru. Buku rancangan mengajar kumasukkan ke dalam beg. Beberapa orang teman setugas sudah meninggalkan bilik guru. Aku menuruni tangga sambil diikuti beberapa orang pelajar lain. ' N' sedang menunggu temannya. Kami berpandangan seketika dan 'N' seakan-akan serba salah .
" Asalamualaikum," aku menyapa 'N' dan salamku dijawab dengan perlahan.
" Tunggu siapa?," tanyaku sambil tersenyum.
'N' membisu dan memandang ke arah lain.
" Awak marahkan saya lagi." Suasana sedikit bising apabila pelajar-pelajar sesi kelas malam menuruni tangga.
" Wah, Cikgu. 'Girlfriend' ya," usik seorang pelajar sambil diiringi ketawa teman-teman yang lain. Aku hanya tersenyum mendengar usikan mereka.
" Maafkan saya," kataku hendak meninggalkan 'N' .
" Tunggu," suara halus 'N' terdengar di cuping telingaku. Kakiku sudah melangkah setapak dua lantas aku menoleh. 'N' tersenyum .
" Kita jalan sama , ya," ujar 'N' .
" Ingatkan marah saya lagi," ujarku sengaja mengusik 'N' . Kami berjalan seiring ke stesen bas. Sejak hari itu, kami sering pulang bersama-sama apabila aku bertugas sesi kelas malam. Tiada lagi sengketa antara kami. Kemesraan kembali berputik dan meranum dari hari ke hari.
Sudah lebih setahun aku jadi Cikgu. Memang tidak disangka-sangka daripada tukang cuci akhirnya menjadi Cikgu. Kesibukan dengan tugasan harian menyebabkan aku tidak dapat melawat teman-temanku yang masih bekerja di tempat lama. "Apa khabar mereka? ," desis hatiku. Aku rindu akan suasana keceriaan semasa bekerja dengan mereka. Tiada perbezaan antara kami kerana kami sudah seperti keluarga sendiri.
Jamuan sekolah akan diadakan bersempena cuti akhir tahun. Pengetua mengarahkan pelajar-pelajar berbincang untuk mengadakan jamuan. Pelajar-pelajar Tingkatan Enam merancang untuk mengadakan jamuan di sebuah restoran namun rancangan itu tidak dipersetujui oleh Pengetua. Aku dipanggil oleh Pengetua ke pejabat.
" Beritahu mereka kalau jamuan buat di luar sekolah semua Cikgu tidak akan hadir," kata Pengetua.
" Mereka guna duit mereka sendiri, Cikgu."
" Saya tetap dengan keputusan tidak membenarkan cikgu-cikgu hadir kecuali jamuan diadakan di sekolah," tegas Pengetua.
Apabila mendapat arahan daripada Pengetua begitu, aku tidak membantah lagi. Aku menuju ke kelas Tingkatan Enam untuk menyampaikan pesanan Pengetua tadi dan seperti yang kujangkakan pelajar-pelajar tetap dengan pendirian mereka untuk mengadakan jamuan di luar sekolah . Aku cuba menenangkan mereka sebaliknya aku dituduh melarang mereka mengadakan jamuan. Suasana menjadi kecoh apabila beberapa orang pelajar menghamburkan kata-kata yang tidak sopan kepadaku. Aku terus meninggalkan bilik darjah itu kerana tiada jalan damai untuk menjernihkan keadaan.
Malam itu , setibanya di rumah, ibuku sudah tercegat di depan pintu. Wajah ibuku seperti sedang memikirkan sesuatu.
" Tadi anak-anak muridmu datang," kata ibuku memulakan bicara.
" Siapa ?," tanyaku semula.
" Mereka tak puashati kata Cikgu nak halang buat jamuan sekolah," sambung ibuku lagi. Baru kufaham sebab pelajar-pelajarku datang ke rumah mencari aku.
" Marah sangat sampai nak pukul," ujar ibuku tetapi aku tidak menjawab kata-kata ibuku itu. Kejadian itu sangat menyedihkan aku kerana aku tersepit di antara Pengetua dan pelajar-pelajar aku sendiri. Ditelan mati emak diluah mati bapa. Aku didendami oleh pelajar-pelajar aku sendiri dan Pengetua yang mengetahui kejadian itu juga tidak membela diri aku. Kekesalan itu berlarutan hingga kini..

Comments

Popular posts from this blog