Episod : Ditakdirkan Aku Jadi Cikgu (7)

Sudah seminggu sambutan Hari Guru berakhir . Namun, kedengaran sosek-sosek dalam kalangan pelajar umpama rumah sudah siap pahat masih berbunyi. Perkara yang dibangkitkan tentang kemenangan pelajar-pelajar Aspura dan Aspuri. Mereka merupakan pelajar yang tinggal di asrama sekolah. Di sekolah ini ada dua buah asrama yang dikhaskan untuk pelajar lelaki dan pelajar yang tinggal di luar Lembah Klang.
Kemenangan pelajar-pelajar asrama dipertikaikan oleh sebilangan pelajar. Aku yang diberikan tanggungjawab sebagai juri juga berasa kurang berpuas hati. Kami barisan juri saling berpandangan apabila pihak sekolah menetapkan pemenang persembahan pada Hari Guru. Kalau hendak diukur dari segi persembahan ada lagi persembahan yang lebih bertenaga dan menarik dari kumpulan lain. Nasi sudah menjadi bubur dan piala kemenangan sudah di dalam genggaman kumpulan yang 'menang'.
"Cikgu , budak-budak bergaduh di belakang pentas," kata salah seorang pengawas lelaki kepadaku usai persembahan drama. Aku segera ke belakang pentas. Beberapa orang pelajar lelaki sedang cabar-mencabar.
"Ini apa hal pulak lagi ? ," kataku dengan nada suara yang keras. Pelajar-pelajar yang hampir bertumbuk tadi merapat ke dinding.
"Mereka yang mulakan dulu, Cikgu " kata seorang pelajar sambil dadanya berombak menahan nafas kerana kemarahan semakin memuncak.
"Kau yang cakap kita orang main tipu," balas seorang pelajar lagi sambil menggenggam penumbuk.
"Sudah. Sudah. Saya tak mahu dengar lagi. Kamu datang sini hendak meraikan guru-guru.Tapi, di sini kamu bergaduh pula," kataku seperti menengking. Semua menundukkan kepala. Suasana kembali tenang.
"Sudah. Keluar dari tempat ini," arahku dengan suara tegas.
"Pengawas , jangan benarkan sesiapa yang selesai membuat persembahan berada di kawasan ini,. Faham !," aku menjeling muka beberapa orang pengawas di situ. Mereka yang sepatutnya mengendalikan aspek keselamatan di belakang pentas itu.
"Kalau sesiapa yang engkar arahan saya bawa mereka berjumpa saya," kataku lagi dan meninggalkan belakang pentas. Aku kembali duduk di barisan hadapan namun hatiku tidak setenang tadi. Satu persatu persembahan berlangsung dan sambutan Hari Guru selesai selepas jam satu petang.
Lama-kelamaan, cakap-cakap belakang kembali reda dan senyap. Tiada lagi kedengaran suara bantahan . Tiada lagi perasaan kesumat tidak berpuas hati. Aku juga menggunakan teknik psikologi dengan menasihati mereka supaya menerima keputusan dengan hati yang lapang.
"Sudah menjadi adat pertandingan . Ada yang kalah. Ada yang menang," ujarku kepada pelajar-pelajar di bilik darjahku. Mereka mengangguk lemah. Pelajar-pelajar aku tidak memenangi sebarang hadiah. Kulihat wajah 'D' muram dan sedih. Segala penat lelah mereka sepanjang mengadakan latihan tidak berbaloi.
Selepas perhimpunan mingguan hari itu, aku ditemui seorang pengawas perempuan. Di belakangnya seorang pelajar perempuan dengan wajah sugul. Mukanya penuh berjerawat merah.
"Cikgu, ada pelajar nak jumpa , Cikgu," beritahu pengawas kepadaku. Pelajar perempuan itu menundukkan kepala.
"Kamu tunggu saya di bilik guru," kataku kepada mereka.
"Apa hal pulak ?,' detik hati kecilku. Selesai memeriksa pelajar-pelajar . aku menuju ke bilik guru di tingkat satu. Kedua-dua pelajar tadi sudah menunggu aku di luar pintu kaca yang boleh disorong tarik. Beberapa orang rakan setugasku yang tidak bertugas sedang bersembang.
"Kamu bawa pelajar ini ke bilik sebelah. Sebentar lagi saya datang, " arahku kepada pengawas tadi. Mereka bergerak ke bilik sebelah yang tiada pelajar di dalamnya. Bilik itu ialah bilik untuk mengadakan kelas ganti dan tidak selalu digunakan. Aku mengambil buku catatanku di atas meja lalu bergerak ke bilik sebelah. Rakan-rakan setugasku masih rancak bersembang tanpa mempedulikan aku yang lalu lalang di hadapan mereka. Bilik guru itu sangat sempit dan tidak sesuai untuk kami kerana bilik itu sebenarnya hanya sebuah ruang tangga.
"Apa masalah kamu?," tanyaku sambil melabuhkan punggung. Pengawas tadi aku arahkan duduk di sebelahku manakala pelajar itu duduk di hadapanku yang dipisahkan dengan sebuah meja. Pelajar itu hanya tunduk memandang lantai sambil berpeluk tubuh.
"Kalau kamu tak mahu beritahu saya bagaimana saya hendak membantu kamu?,' kataku cuba memujuknya. Pengawas di sebelahku hanya memandang pelajar itu dengan wajah simpati.
"Sebenarnya, Cikgu. Tadi..," celah pengawas di sebelahku tetapi kata-katanya segera dipotong oleh pelajar perempuan itu.
" Saya nak tanya dengan Cikgu," pelajar itu mula bersuara. Suasana kembali senyap. Aku masih menanti buah butir kata-kata pelajar itu.
" Saya ada seorang jiran di tempat tinggal saya. Jiran saya selalu meminta tolong daripada saya," kata pelajar itu sambil air matanya mencurah-curah. Hatiku berasa cemas.
"Kes apa pulak ni?," desis hatiku semula. Aku membiarkan pelajar itu bertenang dan kedengaran esakan kecil. Pengawas di sebelahku membisu dan memandang lantai yang kosong. Dia bangun lalu mengusap belakang badan pelajar itu untuk menenangkannya.
" Sebenarnya, jiran saya ...," pelajar itu terus menekup wajahnya dan menangis dengan esakan yang lebih kuat.
"Awak pergi panggil Cikgu Nor. Saya hendak berjumpa dengannya. Se-ka-rang ," kataku dengan meninggikan nada suara. Pengawas itu segera meninggalkan kami di dalam bilik itu. Beberapa orang pelajar yang sedang melalui kawasan tu berhenti melihat kami tetapi apabila aku menjelingkan mata mereka segera angkat kaki.
Tidak lama kemudian, Cikgu Nor pun sampai. Aku meminta Cikgu Nor menguruskan kes pelajar itu kerana aku mengesyaki pelajar itu menjadi mangsa rogol jiran sebelah rumahnya. Setelah aku dan Cikgu Nor berbincang seketika , aku memberitahu kerani sekolah untuk menemui Pengetua. Pengawas itu kuminta menemani pelajar itu sementara aku dan Cikgu Nor membantu menyelesaikan masalah pelajar itu di pejabat Pengetua.
Pengetua dan Cikgu Nor telah membawa pelajar itu ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan. Aku menguruskan hal ehwal sekolah sementara Pengetua berada di luar kawasan. Selalunya begitulah aku diberikan tanggungjawab untuk menjaga sekolah ketika Pengetua tiada. Kes tersebut akhirnya menjadi kes polis dan setahu aku jiran pelajar itu sudah ditangkap oleh pihak polis. Sejak hari itu, aku tidak tahu -menahu apa yang telah terjadi kepada pelajar itu kerana pelajar itu sudah pun berhenti sekolah atas permintaan keluarganya. Sehingga hari ini, aku masih mengingati wajah pelajar itu yang menjadi mangsa nafsu serakah jirannya sendiri...
Seketika, aku melupakan hal 'N' dan kusedari beberapa hari kebelakangan ini aku tidak terserempak dengan 'N'. Hanya teman-teman 'N' yang masih hadir sesi kelas malam seperti biasa. Aku teringat kata-kata seorang pujangga ' Sepi Itu Indah'...

Comments

Popular posts from this blog