Episod : Ditakdirkan Aku Jadi Cikgu (4)
Rutin harianku berubah 360 darjah setelah bergelar Cikgu. Kalau sebelum ini aku berbasikal ke tempat kerja tapi sekarang aku menaiki bas ke sekolah. Kalau sebelum ini berbaju kemeja lengan pendek sebagai tukang cuci tapi kini aku berkemeja lengan panjang dan bertali leher. Baju , seluar dan kasut aku beli di Pasar raya Great Wall atau Emporium Makan. Biasanya baju , seluar dan kasut longgok. Harga pun murah kerana itu saja yang mampu aku beli.
Cabaran sebagai Guru Disiplin amat besar. Pelajar-pelajar di sekolah ini hampir semuanya pelajar yang mengulang peperiksaan SPM dan SRP atau pelajar yang tercicir. Masalah disiplin berlaku setiap hari. Pengetualah yang jadi tukang 'back up' aku kalau ada kes besar seperti pergaduhan sesama pelajar.
Namun, semua itu menjadi pengalaman yang sangat berharga kepadaku. Gunting dan rotan sentiasa menjadi teman setiaku. Apabila perhimpunan mingguan diadakan , pelajar-pelajar akan diperiksa dari hujung rambut sampai hujung kasut.
Kebiasaannya, kesalahan rambut panjang, kain senteng, tak pakai stoking dan rokok yang disorok sama ada di dalam beg atau seluar. Pelajar perempuan pun pernah ditangkap kerana membawa rokok. Pelajar berambut panjang sudah tentu akan kupotong di tapak perhimpunan. Ada juga yang melarikan diri atau sengaja datang lewat bagi mengelakkan diri daripada dikenakan hukuman.
M3skinpun, aku seorang guru disiplin tetapi pelajar-pelajar perempuan suka menyakat aku semasa di dalam kelas. Aku hanya garang kepada pelajar bermasalah. Jadi, aku sebenarnya mudah didekati namun sikap hormat pelajar terhadap Cikgu sentiasa dijaga.
Pernah terjadi seorang Cikgu tidak hadir. Aku diminta menggantikan Cikgu itu. Malam itu aku diarahkan mengajar pelajar-pelajar Tingkatan 6 kelas malam. Sebaik sahaja aku masuk ke dalam bilik darjah semua mata memandang aku atas bawah. Usia aku masih muda sedangkan pelajar-pelajar aku sudah berusia. Ada di antara mereka guru sekolah, kakitangan kerajaan, pekerja swasta dan anggota keselamatan . Aku berdiri di hadapan kelas dan nemberitahu mereka aku hanyalah guru ganti.
" Ala, budak ni pulak nak mengajar kita," tiba-tiba kedengaran suara separuh menjerit di barisan belakang.
" Baliklah," sambung seorang lagi. Mereka tidak yakin aku boleh mengajar mereka lebih-lebih lagi aku ini hanyalah lulusan STPM. Mereka beramai-ramai mengemas buku dan keluar dari bilik darjah. Beberapa orang pelajar masih duduk di kerusi tidak berganjak. Hampir tumpah airmataku kerana terlalu sedih diperlakukan begitu. Kejadian itu pertama dan terakhir pernah kualami.
Diam tak diam sudah hampir setengah tahun aku menjadi Cikgu. Setiap malam aku mengajar tuisyen pelajar-pelajar yang menduduki SPM dan SRP. Hanya waktu pagi aku mengajar pelajar-pelajar SPM dan STPM. Tanpa disengajakan teman aku bernama 'N' yang dulunya teman sekelas aku juga mengulang peperiksaan STPM. Aku sering menyapa 'N' semasa pulang dari kelas malam dan hari demi hari hubungan kami semakin rapat. Perkara ini turut disedari oleh beberapa orang teman 'N' . Aku selalu disakat oleh teman-teman 'N' dan aku hanya tersenyum apabila mendengar gosip mereka.
Pada suatu malam ketika aku sedang mengajar tiba-tiba pintu bilik darjah diketuk. Aku segera membuka pintu dan seorang pelajar perempuan memberitahu aku ada seorang rakanku ingin berjumpa denganku di tangga.
"Eh, siapa pulak yang datang nak berjumpa?," desis hati kecilku sambil melangkah anak-anak tangga ke bawah.
" Awak!". Rupa-rupanya rakan yang hendak berjumpa denganku ialah 'dia' . Dia yang selama ini kunantikan kehadirannya tiba-tiba muncul di hadapanku. Dia yang tidak pernah membalas warkahku Dia yang hilang tanpa khabar berita. Loceng berbunyi. Pelajar-pelajar menuruni tangga dan aku terserempak dengan ' N' dan ' N' berlalu tanpa memandang aku...
Comments
Post a Comment