Episod : Ditakdirkan Aku Jadi Cikgu (3)

Aku mahu melupakan episod yang memilukan itu. Tiada gunanya aku mengenang peristiwa itu kembali. Semuanya kuanggap sudah berlalu. Apa yang akan mendatang itu lebih penting. Rutin harianku teruskan. Setiap pagi berbasikal ke tempat kerja . Sehinggalah pada awal bulan April 1987.
Seperti biasa kepulanganku disambut oleh ibuku di muka pintu. Aku tersenyum melihat wajah ibuku. Wajah yang kurindui hingga kini.
" Tadi kerani sekolah telefon suruhmu datang pejabat," kata ibuku sambil memandang wajahku. Aku tidak berkata apa-apa. " Adakah ini juga suatu harapan palsu ? ," detik hatiku. Aku segera mandi untuk membersihkan tubuhku yang berlengas.
" Esoklah orang pergi," kataku perlahan. Ibuku ke dapur untuk menyediakan makan malam itu. Aku ke surau yang terletak tidak jauh dari rumahku hanya berjalan kaki kurang lima minit. Usai solat Isyak aku pulang ke rumah. Beberapa orang lelaki bujang yang duduk melepak di tembok pagar menyanyi sambil salah seorang daripada mereka memetik gitar. Mereka tidak mempedulikan aku yang lalu di situ.
Malam itu, aku membantu ibuku mencari baju kemeja untuk dipakai esok ke pejabat sekolah. Sehelai kemeja lengan panjang berwarna kekuningan kepunyaan ayahku digantung pada tombol pintu bilik selepas diseterika ibuku. Baju itu agak besar mengelobos kerana badanku yang kurus kering . Beratku kurang 50 kilogram.
Keesokan harinya aku berjalan kaki ke stesen bas kira-kira satu kilometer lebih dari rumahku. Bas Syarikat Klang-Banting yang ditunggu-tunggu pun sampai. Masing-masing berebut-rebut dan tolak-menolak. Aku sampai di stesen bas Klang di bawah Pasar raya Great Wall selepas perjalanan bas henti-henti selama setengah jam.
" Asalamualaikum, Cikgu!".
" Wailaikumsalam..Mi , sihat?," tanya Pengetua.
" Alhamdulillah". Aku melabuhkan punggung di kerusi berhadapan meja Pengetua.
" Sekarang Mi kerja di mana?"
" Tempat sama, Cikgu"
" Kerja 'cleaner ' tu lagi?"
" Ya, betul Cikgu" Suasana sunyi seketika .
" Macam ni lah. Cikgu nak minta tolong Mi mengajar di sekolah ni," kata Pengetua. Wajah Pengetua tersenyum melihat aku .
" Saya tak pandai mengajar,Cikgu"
" Tak pa. Nanti Cikgu ajar lah sikit-sikit lama-lama pandailah" .
" Boleh ke saya mengajar,Cikgu ?"
" Apa pulak tak boleh. Mestilah boleh! ," kata Pengetua sambil ketawa kecil.
" Jadi esok Mi datang mengajar " .
Pertemuan itu berakhir dengan harapan tinggi Pengetua agar aku menerima tawaran kerjanya sebagai Cikgu.
Sepanjang perjalanan pulang dengan menaiki bas Klang-Banting, otakku ligat berfikir. " Bolehkah aku jadi Cikgu ?" Pertanyaan itu hanya bergema di lubuk hati kecilku. Selang dua hari, aku muncul di sekolah dengan pakaian baju kemeja dan seluar 'slack' longgok di Pasar raya Great Wall. Itulah sehelai baju dan sehelai seluar yang aku ada. Kasut yang aku pakai diberi oleh bapa saudaraku. Kasut kulit hitam itu sebenarnya kasut kerja bapa saudaraku sebagai pemandu bot. Kasut yang keras seperti but askar.
Aku diamanahkan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu. Pelajar-pelajar aku terdiri daripada pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 Sepenuh Masa. Manakala, pelajar-pelajar tuisyen dari Tingkatan 1. Aku juga diberikan tugas mengajar pelajar-pelajar Tingkatan 6 sesi pagi. Setiap hari jadual kerja aku sangat padat bermula 7.30 pagi hingga 9.30 malam. Pada hari Sabtu, aku mengajar tuisyen dari pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Kadang-kadang aku juga mengajar pada hari Ahad. Di sinilah bermulanya karier aku sebagai 'Cikgu' dan menimba pengalaman daripada Pengetua sendiri . Aku mengambil alih tugas Pengetua mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah itu. Gajiku sebulan RM220.00. Di samping menjadi guru mata pelajaran Bahasa Melayu, aku juga dilantik sebagai Guru Disiplin. Tanggungjawab aku sangat berat lebih-lebih lagi aku baru saja bertatih belajar untuk menjadi seorang Cikgu.

Comments

Popular posts from this blog