Episod : Ditakdirkan Aku Jadi Cikgu (2)

Sebulan selepas keputusan STPM diumumkan, aku masih bekerja sebagai tukang cuci. Pada masa yang sama aku mencuba memohon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Setiap hari aku membuka lembaran surat khabar kerana borang permohonan akan disiarkan di dalam surat khabar utama.
Setelah borang permohonan ke universiti awam disiarkan di dalam surat khabar aku mengisi borang permohonan ke USM dan ITM. Semua sijil dan dokumen peribadi mesti dibuat salinan dan disertakan sama dengan borang permohonan . Aku dibantu oleh ibuku hingga larut malam. Selepas lengkap mengisi borang aku mengeposnya ke alamat yang tertera di dalam borang permohonan dengan menggunakan sampul besar bersaiz A4 warna coklat. Hari demi hari aku menanti jawapan bagaikan pungguk rindu akan bulan.
Aku masih mengutuskan warkah kepadanya dengan harapan akan mendapat balasan namun segala-galanya hampa. Tiada khabar berita darinya. Suatu petang , setiba di rumah ibuku sudah menunggu di muka pintu sambil tersenyum. Aku pun ikut tersenyum.
" Ada apa ni senyum-senyum," ujarku sambil menongkat basikal.
" Ini ada surat URUSAN SERI PADUKA BAGINDA," jawab ibuku tersenyum-senyum. Wajah ibuku sarat kegembiraan. Aku segera membuka sampul surat putih berukuran B5 itu.
" Dapat tak?," tanya ibuku merapatkan dirinya.
" Haah, panggilan temuduga di ITM, Shah Alam " kataku dengan nada gembira.
" Alhamdulillah, syukur!," ujar ibuku sambil menekup mukanya.
" Bila tu temuduga?," tanya ibuku lagi.
" Minggu depan."
Aku telah meminta cuti daripada majikanku kerana esok aku akan ke ITM. Aku akan menaiki teksi ke ITM tapi teman karibku menawarkan bantuan untuk menghantarku esok dengan menunggang motosikalnya. Aku agak keberatan menerima bantuan temanku kerana aku ingin pergi sendiri ke ITM. Setelah berjanji kami akan bertolak esok sebelum pukul 8.00 pagi kerana temuduga akan bermula pada pukul 8.30 pagi. Hatiku tidak sabar-sabar menanti hari esok.
" Batul ke janji nak pergi hari ini? , " tanya ibuku sedikit cemas. Aku hanya mendiamkan diri.
" Cuba telefon rumah dia mana tau dia lupa," kata ibuku lagi . Ibuku mundar-mandir di ruang tamu kegelisahan seperti ibu kucing hendak beranak.
" Tadi dah telefon . Emak dia kata dah keluar pagi tadi," ujarku cuba menenangkan ibuku. Teman karibku ini merupakan bakal siswazah kerana mendapat keputusan Gred 1 dalam SPM dan dia berjaya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti awam di Kuala Lumpur. Aku saja yang tercicir dalam SPM.
Aku sudah tawar hati untuk menghadiri temuduga di ITM. Aku membuka lipatan surat panggilan dan tertera nama aku, nombor kad pengenalan, tarikh dan masa temuduga. Aku memilih jurusan MASSCOM kerana minat untuk menjadi seorang wartawan dengan berbekalkan kebolehan menulis yang aku ada.
Dari jauh kedengaran bunyi enjin motosikal menderam-deram. Aku melihat jam di tangan menunjukkan pukul 9.30 pagi.
" Jomlah cepat. Maaf aku terlewat, " kata temanku. Aku seperti tidak mahu mengikut temanku itu kerana bagiku semuanya sudah berakhir. Akhirnya, aku membonceng juga motosikal temanku kerana desakan ibuku juga. Motosikal dipecut laju bagaikan pelesit .
Sesampai di bangunan induk ITM aku segera ke tingkat atas tetapi peperiksaan bertulis telah pun tamat. Pegawai bertugas memberitahu aku bahawa tiada peperiksaan kalau hadir lewat. Separuh harapanku musnah. Hanya tinggal satu sesi lagi, iaitu perbualan. Aku ditemuduga oleh dua orang panel dan aku ditanya itu ini berkaitan kerjaya sebagai wartawan. Aku menjawab acuh tak acuh kerana bagiku sudah tiada peluang aku untuk menuntut di ITM.
Memang benar , selepas beberapa minggu aku menerima sepucuk surat bersampul putih.
'PERMOHONAN ANDA GAGAL' . Aku menerima keputusan itu dengan tenang. Bukan rezeki aku. Ibuku paling kecewa kerana harapannya untuk melihat putera sulungnya belajar di universiti telah terkubur. Sementara itu, permohonanku ke USM juga ditolak kerana keputusan SPMku tidak memuaskan. Segala-galanya sudah tertulis dan ditakdirkan-Nya. Sejak hari itu, aku tidak lagi menemui teman karibku itu sehinggalah suatu hari selepas beberapa tahun aku terserempak dengannya yang berpakaian kemas serta bertali leher bersama-sama temannya. Aku memanggil namanya tetapi dia memandang aku seolah-olah tidak mengenali aku.
" Siapa tu?," tanya seorang rakannya.
" Entahlah siapa. Tak kenal pun, " jawab temanku dengan selamba. Aku tersengih bagaikan kerang busuk kerana malu yang amat di hadapan pegawai-pegawai yang berpangkat tinggi...

Comments

Popular posts from this blog