Episod : Telefon Bimbit


Pernah terjadi di dalam kelas aku mengajar , seorang muridku naik hantu apabila aku merampas telefon bimbitnya. Aku sudah memberikan amaran malah sekeping pelekat 'DILARANG BERMAIN TELEFON BIMBIT ' sudah kutampal pada papan putih. Namun, amaran aku tidak diendahkannya.

"Tolong simpan telefon kamu," kataku dari tempat aku berdiri di hadapan kelas. Sedikit pun murid itu tidak mengendahkannya.
"Sekali lagi saya beri amaran ' Jangan bermain telefon bimbit semasa saya sedang mengajar !," kali ini nada suara kutekankan . Murid itu meletakkan telefon bimbitnya di atas meja.

Aku menulis karangan pada papan putih dan apabila aku menoleh seketika, murid itu sudah memegang telefon bimbitnya semula. Arahanku supaya semua murid menyalin karangan tidak diendahkannya. Aku meluru ke mejanya di barisan belakang dan merampas telefon bimbit di tangannya.

Muridku menjerit bagaikan diserang histeria. Semua murid menjadi kaget. Aku mencampakkan telefon bimbitnya di atas mejaku. Muridku terus menjerit-jerit tanpa henti dan mengeluarkan kata-kata kesat kepadaku.
"Saya sudah 25 tahun jadi guru disiplin. Jangan cabar saya ," kataku spontan kepada semua murid yang sedang duduk di hadapanku dengan nada suara lebih keras . Semuanya terdiam kecuali murid itu masih menjerit-jerit. Aku mengetap bibir menahan marah.

Sejak aku bersara dari mengajar di sekolah, aku sudah berjanji kepada diriku untuk tidak menggunakan 'kuasa' sebagai guru disiplin. 25 tahun aku memegang jawatan guru disiplin di sekolah. Bukan satu tempoh yang singkat. Kalau dulu, rambut siapa tidak aku gunting. Punggung siapa tidak aku sebat. Telinga siapa tidak aku piat . 'Side burn' siapa tidak aku tarik. Perut siapa tidak aku cubit . Muka siapa tidak aku tenung jarak seinci. Semuanya sudah pernah aku lakukan demi mendisiplinkan mereka.

Seorang rakan murid itu telah menelefon ibu bapa rakannya. Murid itu masih lagi menjerit dan meracau-racau. Akhirnya, butang loceng pintu pejabat berbunyi. Aku segera membuka pintu dan ibu bapa murid itu muncul di muka pintu. Aku kasihan melihat mereka yang sudah agak tua . Aku mempersilakan mereka masuk ke dalam kelas untuk memujuk anak mereka yang masih menangis dan menjerit-jerit. Sebaik sahaja mereka memasuki kelas, murid itu terus memaki ibu bapanya dengan kata-kata kesat. Hendak saja aku
'hentak' murid itu tetapi tindakan itu akan lebih memburukan keadaan dan boleh menjadi isu penderaan jadi aku pendamkan saja kemarahanku.

Akhirnya, aku pulangkan telefon bimbit murid itu semula kepada ibu bapanya dan serta-merta murid itu diam seolah-olah tiada apa-apa berlaku sebentar tadi. Semua mata memandang murid itu berjalan keluar dari kelas tanpa sepatah kata. Tiada lagi tangisan dan jeritan seperti tadi. Aku berasa amat simpati akan ibu bapa murid itu. Mereka meminta maaf dengan mendekap tangan kepadaku.

Peristiwa itu mengajar aku betapa pentingkan didikan awal umpama melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Bagi ibu bapa yang sudah tua dan mempunyai anak remaja cabarannya lagi hebat. Aku tidak akan bertoleransi dengan murid-muridku yang bermasalah kerana tindakan sebegitu bagiku akan menjadikannya seorang manusia. Bukan mudah untuk memaknusiakan manusia !

Comments

Popular posts from this blog