Episod : Senja ( buat isteriku)

Usia ini semakin meniti garis senja. Sampai suatu masa keindahan warna senja bertukar gelap gelita. Begitulah apa yang kurasai kini. Keindahan semakin luput hari demi hari.
Perjalanan masih jauh untuk ditempuh. Namun, tiada apa yang akan berubah andainya takdirnya sebegitu. Betapa keasingan yang kurasai kini benar- benar mengisi ruang hidupku. Hati ini tidak pernah dan tidak akan ada sekelumit kekesalan . Semuanya seolah- olah sebuah skrip seperti yang kujangkakan terjadi.
Barang kali hukuman ini disengajakan demi melihat aku tersungkur. Meskipun, akhirnya aku akan tersungkur namun aku tidak akan sekali-kali mengaku tewas dan menyalahkan takdir. Biarpun hati ini akan menanggung derita yang tiada berpenghujung tetapi aku merasai bahawa Tuhan sentiasa mendengar keluh kesah dan gundah gulana perasaanku.
Aku terpinggir sendiri kerana aku memilih untuk berasa dipinggirkan. Seandainya terasing itu lebih membahagiakan. Biarlah kesepian melingkari hari-hari yang kutempuhi menjadi azimat kesabaran menelusuri perjalanan hidup ini. Setiap yang hadir adalah realiti kerana aku tidak pandai berpura-pura untuk dilihat bahagia.
Acap kali air mata ini tumpah di atas sejadah dan saat mengenangkan nasibmu begini. Sesungguhnya , bahagia dan derita itu silih berganti umpama senja melabuhkan tirai malam.

Comments

Popular posts from this blog