Episod : Bila Tiba Ramadan
Tak lama lagi akan tiba bulan Ramadan. Setiap kali Ramadan sudah tentu masjid dan surau penuh dengan jemaah bersolat fardu dan solat sunat terawih. Apa lagi bazar Ramadan dibuka di sana sini dengan pelbagai juadah. Seingat aku, Ramadan tahun lepas hanya sekali aku ke bazar itupun sekadar berjalan untuk memeriahkan suasana kerana aku dan isteri lebih gemar memasak di rumah untuk berbuka puasa.
Isterilah paling sibuk memasak pelbagai menu untuk berbuka puasa. Ada-ada saja masakan kegemaran aku dan anak-anak dimasaknya. Tambahan lagi, isteriku memang terlatih memasak sejak dia bujang. Cakap saja masakan apa ? Negeri mana?. Laksam, Laksa Johor, Lamb Chop, Fish n Chip , onde-onde, mi goreng dan makanan kegemaran aku sudah tentu mi hoon goreng campur daun kucai. Berulang-ulang kali aku makan sewaktu berbuka dan selepas balik dari solat terawih akan sambung makan lagi.
Pada hujung minggu pula, anak-anak yang sudah berkeluarga akan pulang ke rumah kami untuk berbuka puasa bersama-sama. Keriuhan cucu-cucu yang juga sibuk sama berbuka puasa menambahkan kemeriahan kami sekeluarga. Menantu kedua yang juga mahir memasak pelbagai jenis akan membantu isteriku 'bersilat' di dapur menyediakan juadah berbuka puasa. Bakat memasak menantuku ini menambahkan keseronokan berbuka dengan nasi Arab Mandy yang juga makanan kegemaran aku.
Selepas berbuka puasa kami akan bersolat Maghrib berjemaah di ruang solat khas . Kadang-kadang aku menjadi imam solat , atau anak-anak lelaki dan menantu menjadi imam secara bergilir-gilir setiap minggu. Usai solat , kami sambung makan lagi sambil berbual-bual tentang rancangan mengemas dan menghias rumah. Apabila berkumandang azan solat Isyak aku akan ke masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat tarawih. Sepulang dari masjid, aku akan menyambung makan lagi.
Kenangan semasa bulan Ramadan sangat berbekas di sanubari. Sewaktu jari - jemari aku menekan papan kekunci laptop ini air mata deras mengalir . Barang kali , tahun ini banyak perbezaannya. Dalam keadaan isteriku yang menghadapi masalah kesihatan tentunya tiada lagi menu kesukaan aku dan anak-anak untuk disediakannya semasa berbuka puasa. Sejak akhir-akhir ini, isteriku kurang makan dan kami kerap berkongsi makanan ketika makan di restoran atau warung. Dia juga sering termenung entah apa yang berlegar di fikirannya dan sesekali terdengar keluhan kecil. Dalam setiap doaku dan isteri, kutitipkan agar kami dijauhi daripada perbuatan khianat . Begitulah realiti yang aku hadapi kini. Ahlan Wa Sahlan, Ramadan Karem !
Comments
Post a Comment