Episod : Allah Pertemukan Kita.

Kebetulan malam kelmarin aku singgah solat Isyak di sebuah masjid dan terlihat seorang pemuda berjubah serta berkopiah sangat khusyuk tika bersolat sunat . Usai solat fardhu Isyak aku bersalaman dengannya . Wajahnya bersih dan sentiasa tersenyum.
"Dah bekerja atau masih belajar?," aku bertanya spontan. Pemuda itu hanya tersenyum. Aku segera memegang tangannya. Apa yang aku bayangkan ialah pemuda itu ialah aku sewaktu muda dan sangat naif. Pemuda itu hanya tersenyum.
" Saya sudah habis belajar."
" Belajar sampai mana?"
" Saya ada ijazah Bahasa Arab. "
" Dah bekerja?"
" Saya tak ada kerja."
" Kenapa tak bekerja?" . Pemuda itu diam dan tersenyum. Aku memegang pergelangan tangannya pula. Lebih erat.
" Saya tak pandai. Tak biasa, " jawab pemuda itu jujur.
" Boleh mengajar?," tanyaku lagi.
" Boleh sikit-sikit."
" Minat mengajar?" . Pemuda itu tertunduk sambil mengangguk.
" Mengajar di sekolah?"
" Tak. Saya mengajar bila orang panggil."
" Berapa upah dia orang bagi?" . Pemuda itu kembali tersenyum. Wajahnya tetap tenang. Suasana hening seketika. Aku memeluk bahunya seolah-olah aku sudah lama mengenalinya.
" Tak apa, saya cuma bertanya."
" RM10.00!" . Kata pemuda itu tersenyum.
" RM10 .00 . Berapa lama mengajar ?" .
" Sejam . Kalau 2 jam RM20.00."
Hampir gugur air mataku. Keterlaluan !.
" Sungguh tidak patut bayaran RM10.00 sebagai upah mengajar ." Kurenung wajahnya semula. Pemuda itu hanya tersenyum. Keikhlasan terpancar pada wajahnya.
" Awak dah makan?," tanyaku.
" Belum. Tapi saya suka dengar tuan bercakap. Tuan sudi menegur saya."
" Ya. Kerja saya memeng bercakap." Kami sama-sama tersenyum.
" Saya nak dengar tuan bercerita." Otakku berputar ligat. Aku membalas senyumannya.
" Awak ada kenderaan?" , tanyaku lagi.
" Saya ada motor."
" Baik- baik . Nanti awak whatsapp saya bila-bila awak free," kataku. Wajahnya mengandungi harapan. Begitu juga harapanku semoga pemuda itu berjaya seperti mana dia berjaya menggenggam segulung ijazah.
Nasibnya lebih baik daripadaku . Dulu aku hanya ada sepasang kaki yang kuat berlari mengejar bas . Kemudian, pergi mengajar di rumah muridku hanya berjalan kaki dari perhentian bas. Bukan kata motosikal hendak membeli basikal pun aku tidak mampu. Isteri di rumah setia dan sabar menunggu kepulanganku sambil mendukung si puteri. Jika hari hujan , aku berlari-lari anak ke rumah muridku dan mereka akan meminjamkan tuala kecil kepadaku untuk mengelap tubuh dan bajuku yang lencun. Kalau tertinggal bas bererti aku terpaksa menapak dari Pekan Meru ke Batu 8 di tengah-tengah gelap gelita.
Aku dan isteri pernah berjalan kaki pulang ke rumah sekitar jam 11.30 malam sambil mendukung anak kecil kerana perkhidmatan bas sampai di pekan sahaja. Kalau hendak menumpang kereta sapu banyak kosnya. Lamunanku terhenti apabila sebuah motosikal berhenti di sebelah tempat kami duduk berbual-bual.
" Beginilah, insyallah akan berjumpa lagi. Insyallah, saya akan menolong awak . Tidak patut awak diberi upah mengajar RM10.00 ." Kataku sedikit kesal dengan sikap segelintir orang kita yang amat berkira bab belajar tetapi bab makan , hiburan , pakaian hendak bergaya biarpun papa. Kami bersalam-salaman dan wajah pemuda itu berseri-seri melihat aku meninggalkan tempat itu . Aku sempat memberinya 'busines card' aku dan dia menerimanya dengan senyuman. Semoga tahun ini ada rezeki yang baik untuknya. Insyallah !
"

Comments

Popular posts from this blog