Episod: Sepucuk Warkah

Sepucuk warkah masih kusimpan kemas di dalam sebuah kotak. Kotak itu kuikat kemas dengan sehelai reben berwarna merah . Di dalam kotak itu juga terdapat beberapa keping foto kenangan dan sekuntum bunga ros merah plastik.
Aku teringat kembali kotak yang menyimpan sepucuk warkah sewaktu aku mengemas bilikku. Kotak itu sudah dipenuhi habuk dan sudah bertahun-tahun tidak dibuka. Perlahan-lahan kubuka ikatan reben merah. Kotak itu terbuka dan sepucuk warkah terbaring sepi.
Aku mencapai warkah itu lalu kenangan demi kenangan melintas di ruang mataku. Perasaanku berasa sayu dan pedih. Sepucuk warkah yang tidak sempat kukirimkan kerana sekeping kad undanganmu kuterima pada pagi itu. Warkah itu kusimpan untuk kubaca semula suatu masa nanti.
Sudah lebih 30 tahun , warkah itu tersimpan di dalam kotak itu. Ya, sudah lama warkah itu terbiar sendiri. Aku membuka lembaran warkah itu. Perasaan hibaku memedihkan hulu hati.o Benar, perpisahan amat memedihkan.
...Ke hadapan S yang kuhormati. Andainya warkah ini yang terakhir dariku maafkan aku. Bukan niatku untuk menyinggung perasaanmu tetapi setelah kufikirkan dengan mendalam kukira warkah ini sebagai jawapan kepada persoalan yang melingkari hubungan kita.
....Warkah ini kutitip kepadamu kerana aku percaya kau masih menyayangi diri ini. Kadang-kadang aku berasa bodoh kerana mengharapkan kasih darimu selepas beberapa pucuk warkah tidak berbalas. Dan aku juga membuat andaian sendiri bahawa hati kau sudah dimiliki seseorang. Maaf seandainya andaianku itu menambahkan sakitnya hatimu.
...Aku perlu belajar erti kehilangan. Aku juga perlu faham erti perpisahan. Dan warkah ini adalah buah tanganku untukmu andainya kau masih ingin mengenang kisah-kisah lalu. Warkah ini adalah dari suara hatiku yang sangat mendalam. S, kita sudah amat berbeza sekarang.
...Enggan mencalarkan hatimu aku sentiasa mendoakan kebahagiaanmu di sisinya. Aku tidak menaruh sebarang harapan dan apa-apa kemungkinan. Biarlah masa menjadi garis penamat.
...Salam dariku.
Kubelek seketika warkah itu dan kulipat dengan kemas lalu kusimpan semula di dalam kotak itu. Reben merah kuikat agar rahsia di dalamnya akan terus tersimpan rapi. Aku menyeka air mata dan tersenyum kerana kini kau berbahagia di sampingnya. Itulah juga doaku untukmu, S.

Comments

Popular posts from this blog