Episod : Lebuhraya WCE
Seawal pukul 8.00 pagi, aku dan isteri serta adik perempuanku suami isteri ingin mencuba lebuhraya baharu. Bermula dari Bukit Raja Klang menuju ke Tol Asam Jawa, Kuala Selangor. Sepanjang perjalanan lebuhraya jalan tidak rata tetapi berbukit-bukit. Di sebelah kanan ternampak Kampung Bukit Kerayong 2.
Sesampai di persimpangan Ijok , Kuala Selangor di sebelah kiri kerana laluan lebuhraya belum siap sepenuhnya. Dari situ kami membuat pusingan ke arah Kuala Selangor kerana jalan arah utara menuju Ijok. Perjalanan dari Klang ke Ijok lebih kurang 20 minit dan tiada bayaran tol dikenakan pada masa ini.
Kami sampai di persimpangan LATAR dan membelok ke kanan ke arah Kuala Selangor. Kemudian kami ke warung Roti Canai Pelangi di Kampung Sungai Yu yang viral. Aku memilih nasi impit kuah kacang dan pecal berkongsi dengan isteriku. Roti canai berperisa durian dan keladi menjadi pilihan. Harga yang berpatutan dan kena dengan selera tekak.
Kami bergerak pulang dan singgah di gerai menjual ikan segar yang baru turun di jeti sungai di belakang gerai. Harga ikan berpatutan kerana dijual terus oleh nelayan. Kami membeli sotong dan ikan untuk dibawa pulang ke rumah.
Dalam perjalanan pulang, kami singgah di pekan Kuala Selangor. Di situ terletak Bukit Malawati, Masjid Raja Lumu dan lukisan dinding yang bermotifkan Kuala Selangor. Usai bergambar kami bergegas pulang ke Klang kerana petang ini aku masuk kelas ONLINE.. Sekali lagi, kami melalui Lebuhraya WCE bermula dari simpang Lebuhraya LATAR terus menuju ke Klang. Terdapat persimpangan Meru / Kapar di sebelah kiri dengan pemandangan ladang kelapa sawit. Selepas papan tanda Meru / Kapar perjalann diteruskan dan terdapat persimpangan kiri ke Pelabuhan Utara/ Pelabuhan Selatan dan Klang / Shah Alam/ KLIA / Johor Bahru . Kami agak konfius dengan papan tanda tersebut lantas kami memilih persimpangan Klang / Shah Alam dan akhirnya kami tiba di jalan utama berhadapan AEON Bukit Raja. Jalan raya pulang ke rumah di Bukit Tinggi lengang kerana musim cuti sekolah. Kami merancang untuk menggunakan Lebuhraya WCE ke Sekinchan dan Tanjung Karang pula pada masa akan datang.
Comments
Post a Comment