Episod : KELIRU


Malam ini gatal tangan nak menulis kerana sudah beberapa hari aku 'cuti' menulis. Beberapa hari ini juga aku sibuk dengan urusan isteriku yang tidak berapa sihat. Kadang-kadang kita tidak sedar akan perubahan . Siang tadi seorang doktor pakar yang bertugas di hospital tempat isteriku dirawat menyapa aku. Aku pernah menjadi personal tutor kepada anak-anak doktor hampir enam tahun lalu.
" Eh, cikgu. Nampak kurus," sapa doktor tersenyum-senyum.
" Ok sikit, doktor, " jawabku sambil tersenyum.
Kami berbual-bual seketika di kafe hospital dan aku mengambil kesempatan bertanya hal anak-anak doktor. Rasa bangga juga kerana anak-anak muridku berjaya dan masing-masing sedang melanjutkan pengajian di universiti. Orang lain boleh perasan perubahan kita.

"Awak letak mana beg?," tanyaku kepada isteri sebelum kami bergerak ke hospital. Isteriku hanya berdiam diri sambil matanya mencari beg tangannya. Aku pun ikut sama mencari.
" Baru tadi awak bawa beg masuk rumah," kataku sambil mata meliar mencari beg tangannya.
" Jumpa tak ?," tanyaku semasa isteriku masuk ke bilik . Tiada jawapan.
" Ini hah," kataku separuh menjerit. Beg tangannya diletakkan di bawah bantal sofa.
" Patutlah tak jumpa tersorok bawah bantal," kataku dan isteriku terus menyambar beg tangannya itu tanpa berkata apa-apa.

"Kita pergi makan dulu sebelum balik semula ke hospital, ya," kataku. Isteriku hanya melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Aku menoleh seketika memandangnya. Sayu rasa hatiku apabila melihat keadaannya begitu. Apatah yang difikirkannya ? Perjalanan dari Bukit Tinggi ke Shah Alam lancar kerana ketika ini musim cuti sekolah. Lebuh raya KESAS lengang. Langit kelihatan gelap tanda hujan akan turun. Aku memandu kereta perlahan di lorong kiri kerana tiada apa-apa yang hendak dikejar.

" Cikgu ada perasan tak kakak sedikit kurus ?," tanya kawanku semasa kami singgah makan di sebuah restoran.
" Biasa saja"
" Ya, nampak susut sikit," tegas kawanku.
" Mungkinlah. Saya tengok dia hari-hari mana nak perasan. Patutlah hari itu saya terjumpa sebentuk cincinnya di atas lantai."
" Kakak tak perasan cincinnya cicir?"
" Tak. Saya tunjuk cincin itu kepada dia tapi dia pandang saja".
" Kakak sakit ke, Cikgu?"
" Tak la"
" Elok Cikgu buat ' check up' di hospital. Kakak nampak sangat pendiam tapi dulu sangat ceria ." Aku hanya diam.

Pertanyaan tentang perubahan sikap dan tubuh badannya kelihatan kurus sudah dua tiga kali kudengar daripada kawan-kawan. Tapi aku kurang ambil pusing kerana setiap hari aku melihatnya dan tiada perubahan kecuali dia jadi pendiam. Kalau menonton televisyen matanya seperti kosong. Matanya tertancap pada skrin televisyen tetap tiada reaksi pada rancangan yang ditontonnya. Aku tidak terfikir sebarang keganjilan pada dirinya.

" Kita dah nak sampai," kataku membuatkan isteri sedikit tersentak. Kemudian melemparkan pandangan ke luar tingkap semula.
" Nak pergi mana?"
" Pergi hospital . Tadi, saya dah cakap."
Isteriku hanya mendiamkan diri. Betullah dia telah banyak berubah. Kasihan dia.

" Nanti awak tunggu di sini," kataku memberhentikan kereta di pintu Jabatan Kecemasan. Dia hanya berdiri tercegat. Aku memimpin tangannya dan menyuruhnya duduk di sofa di hadapan kaunter.
" Puan, tolong tengokkan isteri saya, ya. Jangan biarkan dia berjalan sendirian," pesanku kepada seorang kerani yang sedang bertugas.
" Baik, Encik."
" Saya nak parkir kereta sekejap."
Sebuah buggy sedang lalu di sebelahku.
" Cikgu," laung pemandu buggy.
" La tak perasan awak. Dik , nanti ambil saya kat parkir pelawat," kataku sambil menunjukkan isyarat ibu jadi. Pemandu buggy berhenti untuk mengambil beberapa orang pelawat ke tapak parkir.

Aku dihantar oleh pemandu buggy ke Jabatan Kesihatan semula. Alhamdulillah.Isteriku masih duduk di tempat yang sama. Dia hanya memandang kerani kaunter yang sedang bekerja.
" Kita jumpa doktor, ya," kataku sambil melabuhkan punggung di sisi isteriku. Banyak perkara yang berlegar di fikiranku. Semoga isteriku baik-baik saja. Air mataku bergenang apabila melihat dia. Macam-macam rasa jauh di sudut hatiku... 

Comments