Episod: Zaman Sekolah
Tahun 1974 aku memasuki sekolah MBS di Kampung Raja Uda sekarang Sekolah Rendah Methodist. Ketika itu, kanak-kanak di flat dan sekitar Pelabuhan Klang bersekolah di MBS, Sekolah Kebangsaan Melayu atau Sekolah Tengku Bendahara Azman. Manakala, kawan-kawan Cina dan India bersekolah di Sekolah Rendah Tamil tidak jauh dari Sekolah Kebangsaan Melayu dan Sekolah Rendah Cina di Jalan Cungah, Pelabuhan Klang.
Sesetengah murid dari kalangan orang berada sudah ada pengalaman belajar di tadika. Bagi yang kurang berada pula terus masuk darjah 1. Jadi, perasaan seram itu tetap ada terutamanya ketika guru Bahasa Inggeris mengajar kerana sepatah haram pun aku tidak faham.
Pulang dari sekolah , mencari kawan-kawan untuk bermain di padang. Macam-macam permainan ketika itu selain bola , aku dan kawan-kawan bermain lastik yang dibuat sendiri. Getah tayar yang tidak digunakan basikal di kedai menjadi mangsa untuk dibuat tali lastik. Manakala, kulit kasut dijadikan tempat penembak menggunakan guli atau batu.
Sampai ke Sungai Aur aku dan kawan-kawan merayau dengan lastik. Ikan-ikan belacak yang sedang bersidai di selut tepi sungai menjadi mangsa ditembak dengan lastik. Kejadian yang tidak dingini kalau terjatuh di dalam selut. Selipar yang dipakai akan disedut selut dan pulang ke rumah tanpa selipar dengan baju dan seluar yang kotor. Ibu sudah bersedia di pintu dengan tali pinggang.
Comments
Post a Comment