Episod : Zaman Kanak-kanak Dulu-dulu

Aku dilahirkan di Kuarantin , Port Swettenham pada Februari, 1967. Pada masa itu Pelabuhan Klang dikenal sebagai Port Swettenham. Selepas banjir besar, aku dan keluarga berpindah ke Flat LPK, Jalan Kem yang terletak bersebelahan 'gate' Pelabuhan Selatan. Di sinilah pekerja-pekerja Lembaga Pelabuhan Klang tinggal
Flat LPK mempunyai 9 buah blok empat tingkat. Setiap tingkat mempunyai 6 pintu rumah dan setiap rumah mempunyai 2 buah bilik sahaja. Mula-mula berpindah aku tinggal di Blok F tingkat 3 dan kemudian berpindah ke blok E tingkat bawah. Boleh dikatakan suasana tinggal di Flat sungguh meriah sepanjang masa.
Ketika krisis air , pili bombalah yang menjadi tumpuan para ibu menyeret anak-anak mandi sambil membasuh kain baju. Mereka yang tinggal di tingkat bawah kurang terjejas apabila tiba krisis bekalan air. Jadi, jiran-jiran tingkat bawah banyak membantu jiran-jiran tingkat atas. Tidak kira Cina, India, dan Melayu suasana hidup rukun damai.
Di belakang Flat LPK terdapat sebuah padang permainan yang agak luas. Ada kawasan bermain bola sepak dan kawasan permainan untuk kanak-kanak. Setiap petang, padang tempat kanak-kanak, orang dewasa dan remaja berkumpul dan beriadah. Kadang-kadang diadakan pertandingan bola sepak antara blok macam liga bola sepak.
Aku dan kawan-kawan dari blok F turut turun ke padang untuk menyertai liga bola sepak yang tak berapa rasmi itu. Blok A dikira juara kerana mempunyai pemain-pemain yang handal dan terlatih. Pasukan mereka dilatih oleh seorang pemain legend dikenali sebagai Mat Koya. Sebelum permainan bermula mereka akan membuat 'warm up' ala-ala 'team' England ketika itu. Gaya seperti Kevin Keegan pun ada. Mereka berstoking dan berkasut tetapi pasukan blok F berkaki ayam .
Apabila tiba musim layang-layang penuh kanak-kanak di padang. Mereka yang berduit mampu membeli layang-layang di kedai Aci bagi yang tidak mampu mencipta sendiri layang-layang kertas surat khabar dan lidi penyapu. Mereka yang terlebih kreatif melumur tali kayang-layang dengan gam dan kaca halus. Apabila tali layang-layang bergesel 'confirm' putus dan terpaksalah mengejar layang-layang yang putus tali hingga Kampung Berembang. Nasib tidak baik tersangkut di atas pokok. Namun, layang-layang putus tali tapi semangat tidak pernah putus asa. Layang-layang baharu akan berterbangan keesokan hari.

Comments