Episod : TANDAS

Beberapa hari belakangan ini, riuh-rendah tentang tandas sekolah dinaik taraf seperti hotel 5 bintang. PMX telah memperuntukkan RM70k kepada setiap sekolah untuk memperbaiki prasarana tandas sekolah masing-masing. Semoga selepas ini murid-murid dan guru-guru akan berasa lebih tenang dalam menghadapi situasi genting ketika membuang hajat kerana sebelum ini pintu tandas sekolah dikhabarkan telah terkopak, berlubang dan tiada penyelak sehingga menimbulkan kegusaran berterusan.
Bercerita tentang tandas sekolah, aku teringat semasa aku bersekolah menengah di SMK Dato Hamzah, Pelabuhan Klang sekitar tahun 1980 hingga 1984 dulu. SMK Dato Hamzah ialah sebuah sekolah yang dibina atas tapak Lapangan Terbang Lama mengikut cerita orang dulu-dulu. Kesemua murid di sekolah ini ialah lelaki yang berbilang bangsa.
Aku sudah dilantik sebagai pengawas sejak aku berada di Tingkatan 2. Tugasan harian pengawas seperti mengawasi murid-murid di kantin, menjaga blok bangunan sekolah, pintu pagar sekolah, pejabat dan bilik guru. Tugasan paling mencabar ialah melakukan rondaan termasuklah di kawasan tandas. Tandas murid-murid terletak sama blok dengan bangunan pejabat sekolah dan bilik guru. Terdapat 3 bilik tandas di dalamnya. Kesemua pintu sudah tiada penyelak dan ada juga yang pintunya sudah terkopak.
Setiap murid di sekolah ini akan menggunakan tandas ini terutamanya pada waktu kritikal iaitu waktu rehat. Bagusnya mereka ini akan beratur mengikut giliran untuk menggunakan tandas. Paip air sudah hilang dicabut oleh murid-murid nakal. Hanya ada baldi sebiji dan sebuah tong drum berisi air di tengah-tengah ruang tandas. Sesiapa yang ingin membuang hajat besar akan menggunakan baldi tersebut untuk cebok atau menyiram mangkuk tandas. Pam tarik sudah rosak lama yang tinggal hanyalah pam sahaja.
Tugas aku dan rakan pengawas yang meronda ialah memastikan mereka tidak berebut-rebut atau bergaduh di dalam tandas. Sekolah ini sudah umpama Penjara Pudu kerana hampir setiap hari berlaku pergaduhan sehingga pernah terjadi pergaduhan besar antara murid Melayu dan murid Cina. Dua buah 'black Maria' polis telah memasuki perkarangan sekolah sambil diiringi beberapa anggota polis trafik. Para pengawas tidak dibenarkan keluar sekolah sewaktu loceng pulang kecuali diiringi oleh anggota polis.
Suasana di dalam tandas riuh-rendah dengan kata-kata kesat dan kadang-kadang gelak ketawa murid-murid yang beratur. Aku dan rakan pengawas cukup berhati-hati supaya tidak disimbah air dari dalam tandas kerana sikap antipengawas. Untuk masuk ke bilik tandas terdapat dua anak tangga dan kebiasaannya memang tiada sesiapa yang memijak anak-anak tangga ini kerana sudah dipenuhi dengan selambak najis manusia yang tidak bertamadun.
Dinding tandas diconteng dengan pelbagai tulisan dan lukisan yang mempunyai berbagai-bagai mesej lucah dan ada juga formula matematik serta sains . Berkemungkinan formula ini ditulis untuk tujuan meniru semasa peperiksaan. Pintu tandas dilumur dengan najis dan aku tidak dapat membayangkan bagaimana aksi tersebut dilakukan. Bau hancing dan busuk tandas sudah dapat dihidu dari tingkat 1 bangunan bersebelahan. Istilah menyiram selepas guna memang tiada. Mangkuk tandas dibiarkan begitu sahaja sehingga melimpah.
Pernah berlaku kekecohan sewaktu aku bertugas apabila terjadi pergaduhan di dalam tandas kerana seseorang telah menyiram murid-murid yang sedang berada di dalam tandas kerana sudah terlalu lama menanti giliran untuk memerut. Pertengkaran mulut dan kata-kata kesat silih berganti. Juga pernah terjadi seorang murid meluru keluar dari tandas kerana seluar yang disangkutnya pada pintu sudah dicuri dan dibawa lari.
Kami para pengawas sekolah tidak menggunakan tandas murid-murid biasa sebaliknya kami mempunyai tandas persendirian. Apabila hendak menggunakan tandas pengawas perlu mengambil kunci di pejabat dan memulangkannya selepas digunakan. Tandas pengawas sangat bersih ibarat boleh tidur baring di dalamnya dan ditambah pewangi serta pasu-pasu bunga kecil. Tandas pengawas terletak di tingkat 4 blok bangunan baru.
Itu cerita dulu tetapi sekarang tandas sekolah sudah cantik bagaikan tandas di hotel. Namun begitu, usaha PMX memberikan khidmat terbaik bagi memastikan warga sekolah menikmati prasarana yang baik masih tidak memuaskan hati sesetengah pihak yang mencemuh PMX serta menggelarnya PM Tandas. Kebersihan sebahagian daripada iman. Itulah prinsip PMX yang mahu diaspirasikan kepada warga sekolah generasi yang akan datang . Semoga tandas awam juga akan dinaik taraf seperti tandas hotel.

Comments

Popular posts from this blog