Episod : PUTERA

" Alhamdulillah. Anak kita dah tiga orang semua perempuan, " kataku agak kuat . Bunyi hon kenderaan yang lalu lalang di hadapan stesen bas Klang membingitkan telinga. Isteriku menoleh dan tersenyum.
" Kalau ada anak lelaki seronok juga saya. Ada kawan," sambungku lagi. Tiada jawapan daripada isteriku. Beberapa orang penumpang bas berlari-lari anak mengejar bas yang baru tiba. Seorang 'supervisor ' stesen yang mempunyai 'sideburn' seperti Elvis Presley melaung-laung menggunakan ' healer speaker' memanggil penumpang-penumpang.
Harapan untuk mempunyai anak lelaki mulai terasa apabila anak-anak perempuanku semakin membesar. Sebahagian besar masa di rumah mereka lebih kepada ibu mereka. Sementelahan, isteriku yang mengurus urusan sekolah , tuisyen dan kelas agama mereka atas sebab kesibukan aku mencari rezeki.
" Kau cubalah petua ini," kata Har rakanku sewaktu kami minum di restoran.
" Boleh percaya ke petua kau tu," ujarku tersenyum sumbing. Rakanku turut tersenyum.
" Eh, betullah menjadi. Abangku dulu pun tak ada anak lelaki. Dia cuba petua ini terus melekat. Sekarang dah 3 anak lelaki dia," tegas Har bersungguh-sungguh.
" Hah, apa petua tu ?."
" Kau dengan isteri kau kena amalkan makan 'seafood' ".
" Macam tak percayalah makan 'seafood' dapat anak lelaki" . Kataku seraya memandang wajah Har.
" Kau cubalah dulu. Kita berusaha tapi rezeki Allah yang bagi. Manalah tau rezeki kau dan isteri dapat anak lelaki." Har bangun dari kerusi.
" Hari ni aku belanja kau minum. Tak payah bayar."
" Kalau aku tahu kau nak belanja aku ' order ' mi goreng sepinggan tadi," ujar Har dan kami sama-sama ketawa.
Sejak mendapat petua Har, setiap minggu aku dan isteri ke restoran 'seafood ' sehingga isteriku berasa hairan.
" Bulan ni kita dah makan di sini tiga kali. Kenapa tiba-tiba minat sangat makan 'seafood' ?," tanya isteriku ketika kami makan di Restoran Muara, Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang. Aku hanya tersenyum. Seorang penyanyi sedang menyanyi lagu ' Widuri' sambil diiringi 'live band'. Suasana di tepi laut sangat menenangkan fikiran.
" Kawan saya yang bagi petua"
" Petua apa pula ?," isteriku menjeling memandang aku. Aku tersenyum melihat wajahnya seperti ada tanda tanya. Aku pula sengaja berteka-teki.
" Kawan saya kata kalau nak anak lelaki keraplah makan 'seafood' " . Aku melepaskan pandangan ke laut yang gelap-gelita. Hanya lampu-lampu kapal yang berlabuh di laut kelihatan berkelip-kelip. Kulihat isteriku tersenyum.
" Entah betul ke tidak petua kawan abang tu," kata isteriku sambil ketawa kecil.
" Kita cuba sajalah manalah tau ada rezeki kita," balasku yakin.
" Insyallah!," sambung isteriku.
Hari demi hari dan bulan demi bulan. Pada suatu hari sebelum aku keluar bekerja isteriku mengajak aku ke klinik selepas aku pulang nanti.
" Kalau awak demam kita pergi klinik sekarang".
" Tak demam cuma rasa seram sejuk," jawab isteriku.
" Kalau macam tu tunggu saya balik kerja kita pergi klinik " .
Rasa tidak sedap hati terus-menerus mengetuk pintu hatiku. Aku membatalkan kelas tuisyen pada hari itu. Selepas tamat waktu persekolahan pada jam 3.00 petang, aku segera memandu kereta Kancil kelabu aku pulang ke rumah. Isteriku sedang melipat kain di ruang tamu sambil menonton televisyen. Anak-anakku masih di Sekolah Rendah Agama Klang Jaya. Aku mengajak isteriku pergi ke klinik berhampiran untuk memeriksa kesihatan isteriku.
Doktor di klinikn telah melakukan ' urine test' isteriku dan kami hanya menunggu keputusan ujian. Sementara itu, doktor melakukan beberapa saringan pemeriksaan kesihatan isteriku. Doktor berpuas hati selepas memeriksa kesihatan istetiku. Keadaannya sihat walafiat.
Seketika kemudian , seorang jururawat masuk ke bilik rawatan dan menyerahkan keputusan
' urine test '. Doktor membelek fail di atas meja dan kemudian tersenyum. Hatiku berdebar-debar tetapi wajah isteriku tenang sahaja. Doktor mengesahkan bahawa isteriku telah hamil. Aku mengucapkan syukur dan memeluk bahu isteriku yang duduk di sampingku.
Penantian lebih 6 tahun akhirnya membuahkan hasil. Selepas melalui tempoh kehamilan akhirnya lahir seorang putera sulung dalam keluarga kecil kami. Puteraku dilahirkan di Hospital Bersalin Razif Norana di Andalas, Klang pada 21 Oktober. Alhamdulillah atas rezeki kurniaan Allah kepada kami sekeluarga. Kini, anak-anak perempuanku mempunyai seorang adik lelaki. Mereka juga turut gembira dan teruja. Kami namakan putera sulung kami Muhammad Ammar Mukriz Bin Che Azmi dan nombor sijil kelahirannya juga sangat unik AP0000001.

Comments

Popular posts from this blog