Episod : Kembara di Negeri Cik Siti Wan Kembang
Hari ini ialah hari terakhir aku di bumi Kelantan. Perasaan rindu terdetik di hati ini. Bilakah lagi aku akan pulang ke sini lagi? Pertanyaan itu tiada jawapan. Aku mula mengemas beg-beg pakaian sebelum 'check out' pukul 12.00 tengah hari. Aku dan isteri turun ke tingkat 1 hotel untuk bersarapan. Pelbagai jenis juadah disediakan untuk tetamu hotel. Ada makanan tradisional dan makanan moden .
Usai bersarapan, aku dan isteri ke lobi hotel untuk bertemu dengan sepupu aku dari Pasir Tumbuh, Abang Yem dan Kak Sabariah. Mereka merupakan penjawat awam yang sudah pencen. Aku masih teringat Abang Yem apabila berkunjung menziarahi ibu bapaku sekitar tahun 70-an dan 80-an, dia akan memberi kami wang kertas seringgit yang masih baru dan berbau dakwat kerana dia kakitangan di Bank Negara. Manakala, Kak Sabariah pula kelihatan segak apabila berpakaian pegawai Kastam dan singgah di rumah ibu bapaku. Sudah lama aku tidak bertemu dengan mereka.
Sementara menunggu kedatangan mereka, aku dan isteri bergambar di ruang lobi hotel yang cantik. Kehadiran Abang Yem dan Kak Sabariah kami sambut dengan gembira dan terharu. Banyak sangat perubahan pada mereka berdua apabila sudah berumur. Namun, senyuman mereka tetap sama dan peramah ketika berbual-bual seperti dulu. Mereka membawa keropok dan serunding sebagai buah tangan untuk kami bawa pulang nanti.
Perbualan berkisar kisah dulu-dulu sewaktu kami kanak-kanak lagi. Pada kesempatan ini, aku dan adikku bertanya tentang susur galur keturunan kami sementara mereka masih ada dan dapat berkongsi info tentang keluarga sebelah ayahku. Adik iparku yang sudah beberapa tahun mempunyai minat untuk mengumpul maklumat bagi melengkapkan carta susur galur keluargaku.
Lankamin , datuk saudaraku ialah seorang bekas majistret di Kota Bharu pada zaman sebelum merdeka dahulu. Datuk Lankamin dilahirkan di Kelantan dan moyangku berasal dari Pagar Ruyong, Sumatera, Indonesia. Diceritakan keluarga moyangku adalah keluarga bangsawan di sana dan masih ada lagi kaum kerabat keluarga sebelah bapaku di sana. Adikku bercadang hendak ke sana suatu hari nanti untuk menziarahi kaum kerabat kami.
Usai pertemuan itu, masa untuk berpisah. Perasaan terharu kerana entah bila lagi kami akan bertemu jika dipanjangkan usia. Setelah bersalam-salaman dan bergambar kenang-kenangan kami masuk ke bilik semula untuk berehat seketika dan selepas ini kami akan ke Pantai Penarik, Setiu, Terengganu. Sebelum itu, kami singgah ke Pasar Siti Khadijah untuk membeli beberapa buah tangan lagi sebelum meneruskan perjalanan.
Kami melalui Melor dan Pasir Puteh untuk ke Terengganu menggunakan Waze. Setelah hampir dua jam perjalanan kami pun sampai di Pantai Penarik yang berlatar belakangkan pantai dan laut yang membiru. Pemandangan indah ini hampir sama seperti di Marang tempat kami pernah berkunjung dulu. Makanan popular di sini ialah segala makanan laut celup tepung.
Kami memesan sotong, udang dan ikan celup tepung tapi masakannya tidak begitu memuaskan hati. Barang kali, masakan itu diulang masak dengan bahan-bahan 'frozen' bukan segar. Usai makan, sempatlah aku dan isteri bergambar sebelum kami meneruskan perjalanan pulang ke Klang .
Akhirnya, kami sampai di bandar Klang tepat 12.00 tengah malam. Berakhir sudah kembara aku di negeri Cik Siti Wan Kembang. Aku berharap suatu hari nanti dapat pulang ke sana lagi bersama-sama anak-anakku pula supaya mereka mengenali kaum kerabat di sana dan tahu bahawa keturunan mereka dari Kelantan Darul Naim.
Comments
Post a Comment