Episod : Kembara di Negeri Cik Siti Wan Kembang (4)

Hari ketiga di bumi Kelantan. Cuaca di siang hari panas manakala malam pula hujan. Pagi ini , kami bersarapan di Restoran Kopitiam Kita, Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu. Ramai pelanggan yang datang dengan beberapa buah bas persiaran. Suasana di dalam restoran penuh sesak dan riuh rendah. Kumpulan pemuzik busker's menyambut pelanggan di hadapan restoran dengan lagu-lagu kegemaran ramai.
Kami mengintai-intai 'pot' yang sesuai untuk kami seramai 11 orang termasuk 2 orang kanak-kanak duduk bersarapan. Aku memesan roti titab telur separuh masak yang menjadi kegemaranku dan segelas teh tarik. Kami makan dengan penuh berselera ditambah dengan nasi tumpang. Adikku membeli 'Sare' iaitu sejenis rumpai laut yang kami pernah makan sewaktu kecil dulu. Selesai makan, kami menuju ke Pasar Siti Khadijah untuk 'bershopping' kain , tudung dan makanan kering untuk dibawa pulang nanti.
Adikku mempunyai seorang kawan yang berniaga tudung, kain dan baju di Tingkat 3 dan nama kedainya 'Kak Ana'. Di tangga Tingkat 2, anak Kak Ana sudah menyambut kedatangan kami. Isteriku menjadi rambang mata kerana semua kain cantik belaka ditambah dengan labuji 'lip lap lip lap'. Aku menyuruh isteriku memilih kain pasang untuk dijahit baju kebarung. Tuan kedai menghadiahkan tudung kepada isteriku kerana kami berbelanja agak kasar di kedainya. Kemudian, di Tingkat 2 kami membeli keropok ikan parang yang menjadi kegemaran ibu mentuaku dan gula 'nise' yang dipesan kakak iparku yang berniaga di Warung Ibu, Taman Meru 3, Pekan Meru, Klang.
Kami bergegas ke hotel untuk mengemas beg-beg pakaian kerana hari ini kami akan berpindah hotel dari Tune Hotel ke The Rinai Hotel, Jalan Sultan Yahya Petra. Selepas 'check-in' aktiviti bebas. Anak-anak buah bermain boling di KB Mall dan aku serta isteri sudah berjanji hendak bertemu dengan seorang sahabat FB. Inilah pertama kali aku berjumpa dengan Tuan Mohd Rizal Mohd Rashid. Beliau merupakan seorang pilot helikopter di sebuah syarikat swasta yang terkemuka di Malaysia. Kami berbual-bual rancak sambil menghirup kopi ' Cappuccino' di sebuah kafe di dalam KB Mall. Aku 'tabik spring' kepada Tuan Mohd Rizal kerana pengalaman luasnya dalam bidang penerbangan. Sesekali kami berbual-bual tentang senario politik negara dan isu-isu semasa. Rasa tidak puas berbual-bual, aku terpaksa meminta diri kerana kami akan Restoran Cikgu untuk makan tengah hari seperti yang sudah dijanjikan. Pertemuan itu amat singkat dan aku berjanji akan berjumpa dengan Tuan Mohd Rizal sekiranya aku pulang ke Kota Bharu lagi.
Cuaca hari itu sangat terik dan selepas mencari parkir di sebelah Istana Jahar kami berjalan kaki ke Restoran Cikgu lebih kurang 200 meter. Aku terperasan seorang pemuda mengekori isteri dan adikku dan dia berjalan laju sedangkan aku di belakang mereka lebih kurang 5 meter. Aku mempercepat langkah untuk merapati mereka dan pemuda itu kerap menoleh melihat aku. Langkahku lagi laju dan aku berada betul-betul di belakang mereka dan pemuda itu bergegas melintas jalan dan berlalu pergi. Aku bimbang sekiranya mereka menjadi mangsa ragut dan sikap berhati-hati serta curiga sentiasa ada demi keselamatan diri.
Sesampai di Restoran Cikgu , pelanggan agak ramai dan memilih makanan secara 'Layan Diri'. Aku berselisih dengan seorang lelaki berbaju kurta Pakistan tetapi aku tidak menghiraukan keberadaannya cuma aku terdengar lelaki itu memanggil ' Che Mi'. Hanya rakan-rakan rapat dan rakan sekolah memanggil namaku itu.
Aku terus memilih makanan dan minuman sirap bandung menuju ke meja paling hujung. Selepas makan dan membayar harga makanan, aku ditegur oleh sahabatku saudara Azim dari Klang. Patutlah tadi ada orang memanggil 'Che Mi' rupa-rupanya kawan sekolahku yang datang ke Kota Bharu atas urusan keluarga.
Kami berbual-bual singkat sambil bertanya khabar kerana sudah lama tidak berjumpa walaupun masing-masing tinggal di Klang. Aku dan rombongan pulang ke hotel untuk berehat. Perutku meragam dan isteriku membuatkan secawan air teh panas di bilik hotel untuk membuang angin di dalam badan. Barulah rasa lega selepas melepaskan hajat. Beg pakaian dikemas semula dan sampah-sampah dikumpulkan di dalam beg plastik untuk dibuang. Buah dokong yang dibeli semasa perjalanan pulang dari Pengkalan Kubur tidak termakan . Harga buah dokong RM2.00 sekilo dan rambutan RM2.00 seikat sangat murah berbanding di Klang.
Selepas waktu Maghrib, kami ke Restoran Keng Som untuk makan malam. Dua buah meja sudah 'reserved' untuk kami. Di luar hujan turun renyai-renyai. Rancangan hendak bersiar-siar melihat lampu-lampu neon terbantut. Pelbagai jenis masakan dihidangkan di atas meja. Kembara kali ini dipenuhi dengan acara makan. Usai makan, kami pulang ke hotel untuk berehat. Esokialah hari terakhir aku di negeri Cik Siti Wan Kembang selama empat hari tiga malam. Belum puas rasanya merayau-rayau di sini dan esok aku akan berjumpa dengan sepupu aku yang sudah lama tidak bersua muka dan dikategori sebagai warga emas.

Comments