Episod : Kembara di Negeri Cik Siti Wan Kembang (3)

Kami menaiki bot penambang untuk ke seberang. Setiap penumpang dikenakan bayaran RM3.00. Perjalanan pulang dirasakan lebih cepat berbanding perjalanan pergi. Kami merakam pemandangan di sekitar Sungai Kelantan dan ternampak longgokan pasir yang disedut oleh bot-bot. Sesampai di daratan, kami meneruskan perjalanan ke Kampung Laut.
Ada sesuatu nostalgia apabila ke Kampung Laut kerana aku akan melalui Kampung Palekbang, kampung arwah ibuku. Sebenarnya, tapak rumah pusaka Che sudah dirobohkan dan dijual kepada pembeli orang tempatan dan yang tinggal hanyalah kenangan. Aku dan adikku tidak bercadang untuk menjengah tapak rumah pusaka Che. Kami meneruskan perjalanan ke Masjid Kampung Laut. warisan peninggalan lama.
Di situ terdapat kedai-kedai menjual pelbagai jenis serunding daging, ikan dan ayam. Keropok sudah semestinya. Kami singgah di bebebrapa buah kedai yang menjual serunding dan membeli beberapa bungkus sebagai buah tangan. Masjid Kampung Laut dikatakan dibina oleh sekumpulan orang alim dari Indonesia. Masjid ini dibina tanpa menggunakan paku. Uniknya masjid ini dari segi reka bentuk dan terdapat sebuah tabuh besar di belakang masjid.
Aku mengelilingi ruang dalam dan luar masjid sepuas hatiku. Inilah kali pertama aku menjejaki masjid tradisional yang terkenal di Kelantan ini khususnya kepada penduduk setempat. Betapa hebatnya ilmu orang-orang dahulu kala dalam menyebarkan dakwah Islam di bumi Melayu. Seorang pemuda menceritakan sejarah masjid ini dan mungkin dia juga seorang penjaga dan pencerita kepada pelancong yang datang.
Kemudian kami ke Pengkalan Kubur Zon Bebas Cukai. Aku hanya membeli colek buah yang diviralkan di dalam FB. Kira-kira 3 jam berpusing-pusing di situ dan tidak membeli apa-apa kerana barang-barang jualan di situ hampir semuanya ada di GM Klang yang berhampiran rumahku.
Selepas itu, kami pulang ke hotel untuk berehat dan akan ke sebuah restoran viral Suwarin Jinda Cafe arah ke Pengkalan Kubur. Kami sudah berjanji akan bergerak bersama-sama ke sana untuk makan malam hari kedua. Sesampai di Suwarin Jinda Cafe, bersusun-susun kereta di tapak parkir. Pelanggan sangat ramai dan kami telah membuat tempahan meja lebih awal di dalam bilik VIP yang berhawa dingin. Satu persatu hidangan dibawa masuk ke bilik dan masakan di sini sememangnya kelas A berbaloi dengan harganya.
Usai makan, kami ke Wakaf Che Yeh untuk meninjau-ninjau barang-barang jualan di situ. Jalan tidak sesak seperti kebiasannya. Aku cuba menghubungi rakanku sejak kecil yang sudah berhijrah ke Wakaf Che Yeh tetapi tiada balasan. Aku sempat membeli kopiah bertenun benang tebal yang sudah aku niat di dalam hati untuk membeli kopiah di bumi Kelantan sebagai kenang-kenangan walaupun aku sudah mempunyai beberapa kopiah dan songkok di rumah.
Kami pulang sekitar jam 10.00 malam ke hotel kerana badan terlalu letih selepas seharian berjalan. Esok aku sudah berjanji akan berjumpa dengan sahabat FB di Kota Bharu. Esok juga kami akan bersarapan di Kopitiam Kita dengan menu terkenalnya roti titab ...
,,,bersambung

Comments