Episod : Kembara di Negeri Cik Siti Wan Kembang (2)

Hari kedua , kami bersiap sedia untuk melawat Pulau Suri @ Tunjung. Kami memulakan perjalan dari hotel pada jam 7.30 pagi menuju ke jeti di Pengkalan Kubur. Ada sebuah lagi jeti di Tumpat untuk pergi ke Tunjung. Sesampai di jeti, jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Sementara menunggu kereta anak saudaraku dari Kok Lanas belum tiba, kami bersarapan ala kadar di sebuah warung berhampiran jeti.
Saya berpesan kepada ahli-ahli rombongan agar bersarapan ringan kerana selepas ini kami akan menaiki bot penambang yang boleh menyebabkan perut 'bergelora'. Tidak lama kemudian, anak saudaraku pun tiba dan parkir di tempat yang disediakan. Tambang parkir bagi sebuah kereta RM3.00. Kami dibawa oleh pemandu bot penambang. Tambang RM3.00 bagi satu kepala dan perjalanan ke Tunjung lebih kurang 10 minit. Air Sungai Kelantan keruh dan kemerah-merahan mungkin kerana aktiviti menyedut pasir.
Perasaanku sangat teruja dapat menaiki bot penambang yang memuatkan 10 orang penumpang pada satu masa. Kami menaiki 2 buah bot bersama-sama penumpang lain yang menuju ke destinasi sama. Masing-masing diwajibkan memakai jaket keselamatan demi mengelakkan kejadian tidak diingini. Sesekali ombak menghayunkan bot kami apabila berselisih dengan bot lain.
Kami sampai di jeti dan disambut oleh kakitangan di situ. Langkah mesti berhati-hati kerana bot terolang-oleng. Setiap pengunjung dikenakan bayaran RM3.00 untuk memasuki kawasan tersebut. Pengunjung tidak begitu ramai mungkin kerana bukan waktu cuti sekolah atau cuti umum. Pengunjung terdiri daripada orang-orang tempatan pun ramai. Kami berganmbar di beberapa tempat yang dihias cantik.
Seorang DJ yang bertugas menyambut kehadiran pengunjung-pengunjung sambil bertanya asal kami. DJ yang bertanya aku sedikit teruja kerana aku dari Klang dan dia juga dari Klang ( Teluk Pulai) tetapi sudah berhijrah ke Kelantan. Suara DJ sangat gembira dapat berjumpa orang kampungnya dari Klang. Kemudian DJ turun dari tempat dia bertugas untuk bersalam-salaman dengan kami. DJ memperkenalkan namanya, Jai dan aku berbual-bual mesra dengan Jai. Banyak tempat di Pelabuhan Klang dan Klang menjadi isi perbualan kami.
Jai sendiri mencarikan kerusi dan meja untuk kami duduk menjamu selera. Sikap baik Jai menyentuh perasaan aku betapa orang kampung tetap hormat teman sekampungnya. Beberapa kali Jai datang ke tempat duduk kami untuk menyambung perbualan. Aku dapat merasakan betapa Jai sebenarnya rindu akan kampung halamannya, Klang. Alasan Jai berhijrah ke Kelantan kerana tidak minat untuk bersekolah tetapi setelah aku mendesaknya benarlah seperti telahan aku Jai membawa diri setelah cinta hatinya memilih orang lain.
Bebrbagai-bagai jenis makanan dijual tetapi kebanyakan makanan di situ ada juga dijual di tempat lain. Beberapa buah sampan seperti 'Floating Market' di Hatyai juga tarikan pengunjung ke situ. Sebelum pulang menaiki bot penambang, aku bersalam dengan Jai dan menghulurkan sedikit saguhati kepada Jai. Jai melihat aku dengan wajah sedih kerana kami akan berpisah dan tidak tahu bila lagi aku dan Jai dapat berjumpa semula. Semoga Jai tabah menghadapi liku-liku perjalanan hidupnya di bumi Kelantan.

Comments