Episod : Kembara di Negeri Cik Siti Wan Kembang

Rancangan untuk pulang ke Kelantan tanah tumpah asal keturunanku tidak lama kira-kira sebulan yang lalu. Aku dan isteri serta adik perempuanku juga adik iparku akan berkongsi kereta. Manakala, anak buahku dan suaminya serta dua orang anak mereka turut serta dengan menaiki sebuah kereta lain. Adik kepada adik iparku juga ikut sama bersama-sama keluarga dan menantunya. Jadi , kesemuanya empat buah kereta akan bergerak ke negeri Cik Siti Wan Kembang.
Perjalanan bermula dari Klang sekitar jam 3.30 pagi melalu Lebuh raya Karak. Kami singgah di stesen Petronas Gombak untuk berkumpul sebelum bersama-sama meneruskan perjalanan berkonvoi. Kereta yang aku dan isteri naiki dipandu oleh adik iparku. Suasana lebuh raya agak lengang hanya lori-lori besar bergerak bagai siput ketika mendaki bukit. Jalan yang berbelok-belok memang tidak aku gemari lebih-lebih lagi keadaan lebuh raya yang gelap dan berkabus.
Kami melalui Jalan Mempaga yang agak sunyi , gelap dan berkabus. Kami sudah berjanji akan berhenti di mana-mana masjid yang terdapat di tepi jalan untuk menunaikan solat Subuh. Akhirnya, kami singgah di Masjid Jamek Kampung Sega Tat , Raub dan aku mengimami solat Subuh hari itu. Usai solat, kami meneruskan perjalanan dan suasana di jalanan masih gelap dan sunyi. Sekitar jam 8.00 pagi , kami sudah sampai di R&R Gua Musang. Hasrat hati hendak bersarapan di situ terbantut kerana banyak gerai ditutup pada hari Jumaat. Hanya nasi dan lauk-pauk sahaja dijual. Aku membeli roti untuk mengalas perut dan teh O panas. Tekak orang Selangor bersarapan nasi lemak, roti canai, mi goreng dan teh tarik tidak sama seperti masyarakat di sini.
Kami bergerak ke pekan Gua Musang dan singgah makan di sebuah warung menjual nasi kerabu dengan ayam bakar. Jadi, tertunailah hajat seleraku untuk menjamah nasi kerabu original. Alangkah, sedapnya nasi kerabu Kedai Nasi Kerabu Katok Bakar dengan teh beng. Berdekatan warung itu terdapat gerai di tepi jalan yang menjual pelbagai jenis kuih selera Pantai Timur. Kami bergerak ke Masjid Tengku Razaleigh di Gua Musang. Sebuah masjid yang dibina seakan-akan masjid di Mekah dari segi reka bentuk, warna dan perhiasan dalamannya.
Selepas melawat masjid, kami menuju ke stesen kereta api lama Gua Musang. Setibanya di sana, tiada lagi stesen kereta api sebaliknya sebuah gerai makan di situ. Kami membatalkan rancangan untuk bergambar di situ hanya papan tanda saja yang tinggal 'Stesen Gua Musang'. Dulu berjam-jam kami berhenti di stesen Gua Musang sekitar tahun 70-an apabila pulang ke kampung dari stesen Kuala Lumpur. Orang-orang berjualan dengan menjunjung makanan di atas dan di tangga kereta api. Paling gembira ibu bapaku kerana dapat pulang ke kampung halaman mereka setelah berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 1960-an. Arwah ibuku berasal dari Kampung Palekbang , Tumpat manakala arwah ayahku berasal dari Pasir Mas belakang stesen kereta api. Pelbagai makanan tradisi dijual di atas gerabak kereta api mel. Semua itu masih segar dalam ingatanku.
Kami meneruskan perjalanan ke bandar Kota Bharu untuk 'check-in' di hotel pada jam 2.00 petang. Selepas itu, acara bebas . Aku berehat di bilik sambil berbaring lalu terlelap. Sedar-sedar sudah pukul 5.00 petang. Aku dan isteri menunaikan solat jamak berjemaah di bilik dan kemudian kami dari hotel ke KB Mall untuk mencuci mata dan melihat orang-orang Kota Bharu membeli-belah. Aku dimaklumkan adikku bahawa sepupu kami dari Pasir Mas , Kak Aya dan Abang Fauzi akan datang ke KB Mall untuk berjumpa kami. Kami bersembang di Texas Chicken dan hanya memesan minuman dan 'fun fries'. Puas bersembang kami bergambar sebagai kenang-kenangan.
Kami bersiap-siap untuk makan malam hari pertama di Kota Bharu. Rancangan asal untuk menikmati makan malam di Suwarin Jinda Cafe, Pengkalan Kubur tetapi semua 'booking table' sudah penuh. Kami menukar plan makan malam di Restauran Wau berdekatan Tambatan Diraja. Menu makanannya seperti di Restoran Cina Muslim, Mohd Chan Abdullah . Harganya boleh tahan tetapi masakannya biasa-biasa sahaja. Kami bersiar-siar di Tambatan Diraja.
Ketika di situ, aku terkenang nostalgia semasa pulang ke kampung pada tahun 70-an. Kami menaiki kereta api mel dan sampai di stesen Kota Bharu sekitar jam 2.00 pagi. Tiada perkhidmatan bot penambang ke Kampung Palekbang. Jadi, aku dan adik-beradik tidur di atas bangku batu atau di atas rumput sementara menanti hari esok untuk pulang ke kampung halaman sebelah ibuku. Mata merenung bintang dan bulan di langit yang menjadi bumbung akhirnya tertidur dan keesokannya kami menaiki bot penambang yang ditunggu-tunggu sejak semalam.
Guruh di langit membantutkan hasrat kami untuk bersiar-siar di situ. Suasana di situ sudah banyak berubah kerana gerai makan semakin banyak dan ada juga persembahan 'busker's'. Kami menaiki kenderaan masing-masing dan pulang ke hotel. Rancangan esoknya, kami akan menaiki bot ke Pulau Suri.
.....bersambung hari kedua kembara...

Comments

Popular posts from this blog