Episod : Semalam Di Melaka

Destinasi asalku hendak ke Kuala Terengganu (KT) terpaksa ditangguhkan atas dua sebab : tempoh cuti yang singkat dan kadar sewa penginapan naik mendadak. Motif aku hendak ke sana adalah kerana besanku mengadakan majlis tahlil dan pertunangan anak bongsunya. Kebetulan cuti sekolah jadi semua jadual kelas tuisyen telah aku ubahsuai sebulan lalu. Aku yang jenis merancang awal tiada masalah untuk mengambil cuti panjang.
Segala perbelanjaan selama bercuti ke KT telah kuserahkan kepada setiausaha keluargaku , Kakcik puteri keduaku yang sememangnya mahir bab urusan menempah penginapan dan tiket penerbangan. Aku tahu semua 'settle' . Setiap anakku sudah dilatih menguruskan urusan keluarga. Puteri sulung menguruskan hal ehwal kewangan syarikat , LHDN dan simpanan kewangan keluarga. Puteri ketiga pula menguruskan urusan hal ehwal am keluarga seperti kecemasan ke hospital kerana dia sangat cekap memandu dalam kelajuan tinggi. Kalau aku yang duduk sebelah aku akan pura-pura tidur ayam kerana takut dan gelisah.
Putera keempat menjaga urusan kenderaan di rumah . Segala pembaikan kereta dan servis kereta aku dan adik-beradiknya dia yang uruskan sementelahan pula dia seorang mekanik terlatih dan berkemahiran di sebuah syarikat gergasi pengeluar kereta Jepun. Putera yang bongsu lebih kepada urusan kecil-kecilan di rumah seperti membeli barang-barang keperluan asas yang disuruh isteriku. Lebih-lebih lagi, dia masih lagi menuntut dan tinggal bersama kami.
Oleh sebab tiada tempat penginapan yang kosong dan harga tidak berpatutan , aku menukar destinasi ke Cameron Highland. Kakcik menempah sebuah 'service apartment ' dengan kadar harga RM480.00 untuk dua malam. Namun, selepas semua urusan pembayaran dibuat sehari sebelum aku dan anak menantu serta cucu-cucu ke sana , tempahan kami telah ditolak dan bayaran telah dikembalikan tanpa sebab. Mungkin ada orang lain yang sanggup membayar lebih. Jadi, aku mengarahkan kakcik menempah hotel atau 'apartment ' di Melaka. Bukan sahaja dekat malah kurang jem di lebuh raya.
Sebuah 'aparment' di Mason Bali Residence ditempah untuk satu malam dengan harga RM380.00 tidak termasuk deposit RM200.00.Seawal jam 10.00 pagi kami sudah meninggalkan rumah menuju ke Melaka Bandaraya Bersejarah. Dalam perjalanan melalui Lebuh raya KESAS, aku meminta anakku Mukriz yang memandu kereta untuk singgah sebentar di Jualan Gudang Karangkraf Shah Alam. Isteri dan anak-anakku tidak ikut sama ke ruang pameran dan jualan tetapi mereka hanya menunggu di dalam kereta. Tidak sampai 20 minit berlegar-legar meninjau buku-buku jualan kebiasaannya 2 jam , aku sempat menyambar tiga naskhah buku . Buku Nurun Mubina (Tadabbur Al Quran 30 Juzuk) , 'Never Give Up' Allah kan ada karya Ustaz Hanafiah dan Mutiara Wasiat Imam Syafie. Ketika hendak membayar ada sedikit masalah kerana namaku tiada di dalam sistem sebagai Ahli Karangkraf. Mungkin sekarang mereka menggunakan kaedah baharu, iaitu e-kad tetapi aku sudah lama menjadi ahli. Akhirnya, masalah selesai apabila aku dibantu seorang eksekutif jualan dan diberikan potongan harga sehingga 30%. Sebenarnya, kebanyakan buku yang dipamerkan sudah aku miliki jadi cepatlah aku keluar dari situ.
Kami meneruskan perjalanan dan akan singgah di Lomak Salai, Tampin untuk makan tengah hari. Pelanggan sangat ramai tetapi anakku yang bergerak secara berasingan telah sampai dulu jadi tiada masalah mencari meja kosong. Harga makanan boleh tahan juga dan kami sepakat bersetuju harga makanan di Grobok Salai , Pedas Linggi lebih berpatutan. Usai makan tengah hari, kami bergerak ke Klebang. Sebelum 'check -in' tempat penginapan , kami singgah minum di 'Coconut Shake Klebang' . Pelanggan mula beransur balik jadi tiada masalah mendapat tempat parkir kereta Anakku sudah membeli kuih keria antarabangsa terlebih dahulu dan harga sebiji RM1. Kami makan 15 biji kuih keria bersama-sama air 'Coconut Shake Klebang' .Jarum jam menunjukkan pukul 5.00 petang dan kami bergegas untuk 'check-in'. Selesai urusan 'check-in' di Lavel 4, kami menaiki lif ke Lavel 20. Kami akan bermalam satu malam sahaja.
Kedudukan 'apartment' kami bersetentang dengan Selat Melaka yang luas. Kami berehat sementara menanti malam untuk keluar makan malam dan bersiar-siar. Malam itu , kami makan nasi lemak berlauk di sebuah warung yang terletak 3km dari Jonker Walk (lupa nama kedai). Sebuah gerai seperti di bawah kolong rumah yang sudah beroperasi sejak 1989 bererti 34 tahun yang lalu. Selepas makan dan melayan kerenah cucu-cucu, kami menuju ke Jonker Walk. Beberapa kali berpusing-pusing mencari tempat parkir akhirnya kami berjaya mendapat 2 petak parkir kosong di hadapan Balai Polis Melaka Tengah.
Ah, mataku silap atau pelanduk dua serupa. Aku terserempak dengan seorang ustaz yang mengajar ilmu Tauhid di tempat aku sedang bersiar-siar dengan keluarganya dan anak-anak. Tapi, kenapa ustaz merokok! . Aku tidak menegurnya demi menjaga air mukanya dan kutahu memang dia datang dari Melaka sebulan dua kali untuk menyampaikan kuliah Subuh. Biarlah itu urusan dia bukan urusan aku kerana menegur dengan hati selemah-lemah iman.
Kami berjalan kaki di sepanjang kawasan berdekatan Jonker Walk. Banyak gerai dibuka dan penuh sesak dengan pengunjung. Kami tidak lama di situ dan meninggalkan tempat yang sesak dengan beca berwarna-warni dan memasang bermacam-macam lagu pelbagai melodi rancak dan pop yeh yeh. Penumpang mat Saleh menggoyang-goyang kepala mengikut rentak lagu rancak Boney M dan tukang beca mengayuh laju berderetan meninggalkan kami. Tempat parkir yang sedikit mendaki menyakitkan kaki kiriku yang bertulangkan besi.
Kami menuju ke tapak pasar 'bundle untuk mencuci mata. Suhu agak panas malam itu barang kali hujan akan turun lewat malam itu. Kami tidak lama di situ dan terus pulang ke tempat penginapan. Rancangan untuk singgah di Kampung Morten terpaksa ditunda pada lawatan masa depan. Jam menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Sesampai saja , aku bersegera mandi dan berbaring untuk melelapkan mata. Malam itu hujan turun sangat lebat diselangi angin yang kencang.
Keesokan pagi, kami bersarapan roti Gardenia dan sandwich sardin ikan tuna serta 'white coffee '. Cucu-cucuku sudah tidak sabar-sabar hendak bermandi-manda di kolam. Aku ikut melayan cucu-cucuku yang begitu seronok. Kira-kira jam 11.00 pagi, kami sudah bersiap-siap untuk 'check-out'. Agak lama untuk menunggu lif lebih kurang 30 minit itupun kami terpaksa menggunakan taktik naik atau turun lif daripada menunggu lif. Akhirnya , selepas sejam barulah kami berjaya sampai ke tempat parkir di Lavel 4 .
Kami singgah makan di Cat Walk Studio. Sebuah restoran yang di ruang dalamnya ada bilik cermin yang menempatkan pelbagai baka spesis kucing. Kesemuanya baka mahal. Kami makan hidangan tengah hari yang dihantar di atas dulang stail orang dulu-dulu. Kesemuanya RM160.00. Aku dan cucu-cucuku serta menantu berpisah di situ untuk pulang ke destinasi di Klang. Aku berhasrat untuk bersiar-siar di Dataran Pahlawan Melaka. Kami membeli beberapa buah tangan di Ole-ole Melaka. Selepas itu, kami ke Kampung Hulu untuk menikmati cendolnya yang lazat dan menjadi kegemaranku.
Aku mengajak isteri dan dua anakku pulang ke Klang awal bagi mengelakkan kesesakan yang tidak dijangka. Sesampai di Ayer Keroh trafik bergerak perlahan kerana sebuah lori rosak di tepi jalan . Oleh sebab pemandu Malaysia yang terkenal dengan sikap berhemah dan bersopan di jalan raya menyebabkan 'kesesakan palsu' sejauh 45 minit sehingga Senawang. Kenderaan di seberang jalan turut sesak kerana hendak melihat sebuah lori yang rosak tersadai di tepi lebuh raya.
Kami sampai di rumah semasa azan Maghrib dari pukul 4.00 petang. Aku bergegas ke masjid kerana selepas Isyak aku dan rakan-rakan jemaah Masjid Al Falah, Kampung Idaman akan memenuhi jemputan majlis kesyukuran di rumah Dato Hj Razak. Doa kesyukuran diaminkan dan kami menjamu selera pelbagai jenis makanan dan minuman yang enak sambil berbual-bual dengan ustaz dan kenalan.
Usai jamuan makan aku menghantar beberapa orang jemaah masjid yang menumpang keretaku tadi. Semua urusan selesai jam 11.00 malam dan masa untuk berehat. Esok masuk kelas untuk bertugas seperti biasa. Semalam di Melaka penuh warna -warni dan nostalgia.
All reactions:
Ruslin Arsat and 6 others

Comments

Popular posts from this blog