Episod : RINDU YANG DALAM

Umi melihat kalender yang tergantung pada dinding. Tarikh 19 September saat yang paling menyedihkan sepanjang hidup Umi. Mira telah pergi selama-lamanya meninggalkan Umi dan Abi. Maafkan Umi dan Abi, Mira.
Sejak Mira dilahirkan bermacam-macam rintangan Mira tempuhi. Kata doktor , Mira menghadapi masalah jantung berlubang . Ketika itu , Umi berasa kaki Umi tidak memijak lantai bila-bila masa Umi akan tumbang. Umi berasa hendak pitam tapi Abi cepat-cepat merangkul tubuh Umi. Umi amat sedih. Namun, hari demi hari Umi sudah dapat menerima hakikat bahawa Mira bukan saja menghidap jantung berlubang malah Mira anak paling istimewa di sisi Umi dan Abi.
Sejak itu juga, Umi dan Abi berulang-alik ke hospital untuk merawat Mira. Mira tidak selalu merengek malah Mira selalu tersenyum melihat Umi dan Abi di luar cermin bilik hospital. Umi dan Abi sayang Mira. Walaupun usia Mira baru setahun tapi Mira sangat tabah . Mira tidak menangis dan Mira cepat-cepat memeluk Umi apabila melihat Umi menangis.
Segala wayar yang meliliti tubuh Mira saat Mira terbaring di katil hospital membuatkan Umi terfikir biarlah Umi saja yang menggantikan tempat Mira. Mira akan mengangkat tangan melambai Umi dan Abi yang menunggu Mira. Doktor masih memberikan harapan yang tinggi kepada Umi dan Abi. Mira boleh diselamatkan . Umi dan Abi tidak pernah berhenti berdoa semoga Mira cepat sembuh.
Malam itu, Mira kelihatan penat. Mira tercungap-cungap. Badan Mira panas sangat. Abi yang baru meletakkan kepala di katil bingkas bangun apabila Umi memberitahu Abi yang Mira tidak sihat. Abi segera memangku tubuh Mira dan memandu ke hospital. Doktor dan jururawat yang bertugas segera membantu Mira dan menyorong Mira ke unit kecemasan. Umi dan Abi berpelukan kerana sedih dan takut. Umi dan Abi takut akan kehilangan Mira.
Abi gelisah sepanjang masa. Umi cuba menenangkan Abi tapi pujukan Umi tidak mampu menenangkan debaran hati Abi. Umi juga turut gelisah tetapi Umi pasrah kepada Allah. Hampir dua jam menanti dan kemudian doktor keluar dari bilik kecemasan. Wajah doktor muram. Abi menangis semahu-mahunya dan Umi hanya memeluk tubuh Abi yang longlai.
" Maaf, puan," kata doktor ringkas. Abi berlari masuk ke bilik kecemasan dan Umi mengikut dari belakang. Tubuh kecil Mira terbaring kaku. Jururawat sedang mencabut segala wayar yang membaluti tubuh Mira. Abi memeluk tubuh Mira hanya henjutan tubuh Abi tanpa kedengaran suara tangis. Umi membiarkan beberapa ketika Abi memeluk Mira. Mira sudah tidak bernyawa lagi. Umi memeluk Mira dan mencium pipi Mira yang dingin. Suasana di dalam bilik itu terasa hening.
Usai segala urusan pengekebumian Mira, Abi seperti hilang arah. Ustaz Rashid datang menziarahi Umi dan Abi di rumah. Kata-kata nasihatnya menjadikan Umi dan Abi reda akan pemergian Mira . Hari ini kalau Mira masih hidup umur Mira sudah 34 tahun. Barangkali Mira sudah berumahtangga dan mempunyai anak-anak yang comel.
Pagi tadi, Umi beritahu Abi umur Mira genap 34 tahun hari ini. Abi hanya tersenyum dan tidak berkata apa-apa. Umi lihat Abi menyeka air mata dengan hujung baju Melayu Abi. Abi menoleh Umi dan tersenyum lagi. Umi kasihan akan Abi kerana ada waktu tertentu Abi termenung lama. Abi terkenang Mira. Doa Umi dan Abi semoga Mira ditempatkan bersama-sama dengan anak-anak syurga. Amin Ya Rabbal Alamin.

Comments

Popular posts from this blog