Episod : KUCARI JALAN TERBAIK
Terlanjur mengingati dirimu hatiku terasa pedih. Walaupun kita tak sehaluan lagi namun kita tetap saling menghormati. Kukatakan kepadamu, " Janganlah ada penyesalan dan air mata di hujung perpisahan ini." Tiada sesiapa yang mampu menjamin kebahagiaan melainkan-Nya.
Kucuba mendekatimu walaupun kadang kala umpama terpaksa. Akhirnya kusedar , kucari dan kucari jalan terbaik. Bukan niat di hatiku untuk menjauhi dirimu kerana perasaan sayang masih bersisa. Sering kau ketawa tika kita bertemu namun di sebalik itu hanyalah sandiwaramu. Betapa aku mempercayaimu walaupun kita tak seiring jalan .
Biarlah semuanya berlalu dengan tenang agar tiada ungkitan pada masa akan datang . Bukankah sudah berulang kali kukatakan bahawa di akhirnya nanti kita akan memilih jalan sendiri. Meski perasaan kecewa itu amat mencengkam tapi kuharap semua ini adalah pilihanmu yang terbaik.
Mana mungkin aku sanggup melihat dirimu terseksa lantaran harapanmu kepadanya tidak kesampaian . Aku juga berasa bersalah kerana bertemu kembali kini. Aku sudah melupakan segala-galanya tentang kita tapi ingatan itu tidak pernah terpadam. Sering kukirimkan rasa rinduku dalam doaku agar dirimu dan dia sentiasa bahagia dan baik.
Apabila berbicara tentang kesetiaan aku sering terlupa akan janji kita dahulu. Andainya antara kita tidak lagi berasa perlu saling menyayangi maka lepaskan perasaan itu. Tiada gunanya penyesalan jika jalan itu kita yang memilihnya . Kita ini sama saja tidak tahu apa pilihan yang terbaik hanya selepas itu barulah kita tersedar semua ini adalah perancangan-Nya.
...Janganlah kau berkata benci walau hatimu tak sudi..
..Biarkanlah anganku ikut bayang-bayangmu ke mana saja ...
Aku tidak pernah terfikir akan bertemu denganmu suatu ketika dulu tetapi biarlah begitu . Tiada rasa membenci antara kita kerana kita sudah menerimanya sebagai ketentuan-Nya.
Comments
Post a Comment