Episod : KERNA TERPAKSA

..kerna terpaksa aku melangkah pergi
kerna terpaksa kuturut kata hati
gementar tubuhku dengan keputusan ini
biarpun pedih ku teruskan jua ...
Berjurai air mata perlahan-lahan membasahi pipiku. Lagu Fransissca Peter membawa fikiranku melayang jauh mengingatimu, Z. " Kerna terpaksa," bisik hati kecilku. Kutoleh di atas kerusi , terbaring sekeping kad jemputan walimatulurus. Akhirnya, kau temui jejaka pilihan hatimu, Z . Pipiku terasa panas dan air mata mengalir laju.
Lebuh raya yang kulalui rasa amat sepi meskipun kenderaan bertali arus ketika ini. Aku melayan bait-bait lagu 'Kerna Terpaksa' dari corong radio kereta. Suara juruhebah Shahizan Jelas sesekali mencelah dengan sepotong puisi, " Orang bercinta kurang berkata-kata " . Aku tersenyum sendirian melayan nostalgia yang serasa baru semalam berlalu.
"Maafkan aku, Z. Andainya, warkahku ini mengganggu kebahagianmu. Kutahu hatimu kini sudah dimiliki. Seorang teman kita memberitahu aku bahawa kau kini sudah menjadi tunangan orang. Maafkan aku, Z. Andainya kata-kataku ini agak melampau dan menyakiti hatimu. Biarlah aku berterus terang denganmu, Z. Aku benar-benar kecewa dengan sikapmu yang mendiamkan diri selama ini. Puluhan warkah yang kukirimkan tidak pernah kau balas tetapi rupa-rupanya kau sudah mempunyai seseorang. Sememangnya, aku tidak tahu menahu hal ini kerana itu aku tetap mengutus warkah kepada alamat yang kaunyatakan kepadaku. Adakah warkahku itu tersalah alamat ? Tidak mungkin, Z. Apabila kutahu hatimu bukan lagi untukku, aku membuat keputusan untuk menjauhkan diri darimu. Semua ini, kerna terpaksa , Z ."
"Cinta itu saling menyukai bukan saling melukai." Kata-kata Sujiwo Tejo itu ada benarnya, Z. Benar Z, aku tidak mahu melukai hatimu saat kebahagiaan melingkari hari-harimu. Biarlah, cinta itu aku yang punya tetapi bukan hatimu, Z. Aku akan cuba memenuhi undanganmu, Z. Dapat kubayangkan betapa bahagianya si dia kerana memilikimu, Z. Apakan dayaku kerana aku selalu mahu dilihat kuat di hadapan orang yang kusayangi. Sebenarnya, aku sudah tertewas kerana perkisahan ini ternokhtah di tengah jalan. Semoga kau berbahagia di sampingnya, Z. Aku sentiasa mendoakan kebahagiaanmu, Z dan aku tidak mahu menjadi buta kerna cinta semata-mata. Sejujurnya perasaan itu tidak pernah dan tidak akan hilang kerana kau cinta pertama aku, Z. Ada ketika kita perlu memilih jalan damai sendiri, Z. Perjalanan ini masih jauh .
"Cinta bukanlah bertahan seberapa lama tetapi seberapa jauh dan ke arah mana" - Emha Ainun Nadjib.
Kereta kupandu meluncur laju ke arah PT. Kubawa hati ini jauh-jauh dan aku akan kembali pada hari persandinganmu nanti, Z.

Comments

Popular posts from this blog