Episod : BUNTING PELAMIN

Aku bernikah pada 28 Julai 1989 dan dikatakan pernikahan itu sebagai 'nikah gantung'. Usai majlis akad nikah , aku dan isteri ' dipisahkan' oleh masa kerana majlis persandingan kami hanya akan berlangsung pada Januari 1990 bererti 6 bulan kami menjalani kehidupan suami isteri secara PJJ istilah orang sekarang.
Jadi, setiap minggu aku akan berkunjung ke rumah ibu bapa mentuaku untuk 'melawatnya' dan bertanya khabar . Selama PJJ ini hampir setiap malam aku bergayut dengan telefon untuk bersembang dengannya. Sering kali ketawa kecil mengiringi perbualan kami. Kata-kata rindu dan sayang sahaja dapat kulayang di angin malam.
Hari demi hari menunggu detik tarikh kami bakal naik pelamin. Ada juga yang memberikan dalil bahawa kami dibolehkan bersama walaupun pada adatnya nikah gantung memisahkan kami. Sesekali, aku bermalam di rumah ibu bapa mentuaku dan dapatlah aku merasa masakan air tangan isteriku. Memang payah untuk menerima masakan masyarakat Jawa iaitu kuah beneng , sambal belacan , gereh dan ulam-ulaman. Tekak orang Melayu tidak sama dengan orang Jawa. Sejak kecil aku dibesarkan dengan masakan gulai ikut cara orang Kelantan.
Apabila aku singgah bermalam , kami akan bermotosikal ke Benteng, Pekan Meru. Di situ terdapat warung-warung yang menjual pelbagai jenis makanan . Paling aku suka rojak sotong dengan sayur kangkung. Selepas makan , kami pulang ke rumah dan dingin angin malam terasa bahang oleh pelukan pembonceng di belakangku.
Keadaan itu berterusan begitu sehinggalah sampai tarikh persandingan . Kami bersanding berempat dengan adik perempuanku. Suasana majlis sangat meriah dan nasi serta lauk-pauk dimasak secara bergotong-royong. Hidangan dibawa ke khemah oleh penanggah kawan-kawan aku di flat dengan menggunakan dulang. Di atas dulang ada 4 hingga 5 jenis lauk. Minuman dihidangkan di dalam jag. Setiap dulang untuk 4 -5 orang makan.
Dalam pada itu , terdengar juga bisik-bisik jiran tetangga kerana melihat perut isteriku agak 'membulat ' . Usai majlis persandingan , kaum kerabat berkumpul untuk acara membuka hadiah-hadiah daripada kawan-kawan juga saudara mara. Pada kotak hadiah tertera nama aku dan adikku jadi kami kena berhati-hati memilih hadiah takut tersalah memandangkan majlis persandingan berlangsung serentak.
Akhirnya, sampai juga ke telingaku kata-kata jiran yang sambung-menyambung dari mulut ke mulut. Pada tahun 80-an dan 90-an, belum ada lagi isu viral atau TikTok seperti zaman sekarang. Apa yang kudengar , isteriku sudah berbadan dua semasa kami bersanding di atas pelamin. Seolah-olah ada perkara tidak baik berlaku atau 'terlanjur'. Beberapa orang jiran yang ikut sama ketika aku bernikah dahulu telah memperbetulkan tanggapan negatif jiran-jiran bahawa kami sebenarnya sudah bernikah awal , iaitu 6 bulan yang lalu dan isteriku kini bunting pelamin.
Suara-suara nakal itu, lama-kelamaan tenggelam sendiri. Walaupun kutahu gerangan yang membuat onar melemparkan kata-kata fitnah terhadap aku dan isteri tetapi aku tidak berminat untuk bersoal jawab . Lagipun, tiada apa-apa yang salah atau tidak betul berlaku sebaliknya hanyalah sangkaan jiran-jiran daripada satu mulut menyampai ke satu mulut.
Akhirnya, lahirlah seorang puteri dan cucu sulung dalam keluarga aku. Betapa gembiranya ibu bapaku kerana menimang cucu pertama dan kami namakan puteri kami, Siti Amirah Najihah dan kini puteri sulung kami sudah berusia 33 tahun dan mempunyai 2 orang cahaya mata. Sedar tak sedar sudah 34 tahun berlalu aku melayari bahtera rumah tangga.

Comments

Popular posts from this blog