Episod : Sepuluh Ribu Ringgit.
Selepas selesai kelas tuisyen pada malam itu sekitar jam 10.00 , telefon bimbit aku berdering. Aku melihat nama yang tertera pada skrin telefon bimbitku. Aku berasa malas untuk menjawab panggilan itu tetapi akhirnya aku menjawab juga.
"Mi, malam ni kita jumpa sekejap," kedengaran suara sahabatku sayup-sayup seperti di atas kenderaan mengajak aku keluar berjumpa dengannya. Aku hanya mendiamkan diri seketika.
"Sekejap saja. Kita jumpa kat kedai mamak," kata kawanku.
"Bila?"
"Sekarang ," jawabku lalu sahabatku mematikan panggilan telefon.
Dalam keadaan yang sangat malas kerana hari pun sudah lewat aku menggagahkan diri berjumpa sahabatku.
"Apa lagilah dia nak jual malam-malam ni," rungutku sendirian. Aku memakir keretaku agak jauh dari kedai mamak yang dijanjikan sebentar tadi. Aku mengambil tempat duduk di tepi kedai kerana agak jauh daripada pelanggan-pelanggan lain.
Tidak lama kemudian, aku disapa oleh sahabatku . Dia datang berdua dengan rakannya. Kami saling memperkenalkan diri. Rakannya itu memakai blazer hitam dan tubuhnya agak gempal dan berkasut kulit hitam.
"Kau dah lama sampai?," tanya sahabatku .
"Baru saja ," jawabku acuh tak acuh.
Sahabatku memesan teh tarik dan rakannya juga. Aku hanya memesan teh ais minuman kegemaranku. Pramusaji menghidangkan tiga gelas minuman di atas meja kami.
Perbualan bermula dengan pertanyaan oleh rakan sahabatku.
"Cikgu, dah lama mengajar tuisyen?," tanyanya sambil mengeluarkan 'fail holder' dari dalam 'briefcase'. Sahabatku hanya tersenyum-senyum seperti gembira kerana berjaya mengajak aku berjumpa pada malam itu. Aku sebenarnya malas hendak melayan orang-orang MLM ini kerana aku lebih yakin dengan pekerjaan yang aku buat sekarang . Inilah namanya 'Meeting Larut Malam" atau MLM !.
"Ok, sekarang kita ada produk baru. Produk ni bukan susah macam produk-produk lain yang Cikgu pernah dengar," kata rakan sahabatku dengan bersungguh-sungguh. Aku hanya menadah telinga dan bersikap acuh tak acuh.
"Produk ini bukan MLM atau sistem piramid," katanya lagi.
"Habis sistem apa pulak malam-malam ni kau ajak aku , setannnn," jeritku di dalam hati dan bergema kuat.
"Sistem ini dicipta oleh pakar-pakar kewangan yang hebat, " sambungnya lagi. Aku menyedut straw teh ais kerana berasa dahaga mendengar penerangannya yang panjang lebar. Sahabatku yang duduk di sebelahku tersenyum-senyum dengan wajah gembira.
"Kau pun sama ajak mamat ni entah apa cerita putar alam dia," sekali lagi jerkah aku jauh di sudut hati.
"Sekarang , Cikgu berminat tak nak 'join' kita orang?," tanya rakan sahabatku . Aku diam seketika dan bertanya, " Berapa boleh untung?" . Sebenarnya, aku pun tidak faham buah butir penerangannya. Pertanyaan aku itu bukannya kerana aku berminat tapi aku hendak pulang ke rumah dan tidur.
"Ini saya tunjuk cek yang saya terima . RM10,000.00 untuk bulan ni saja ," katanya sambil menunjukkan sehelai kertas fotostat sekeping cek MAYBANK bertulis RM10,000.00 . Aku hanya tersenyum melihat cek fotostat itu.
"Cikgu tak yakin?," tanyanya lagi.
"Kau boleh buat punya. Kau pandai bercakap," sahut sahabatku di celah-celah perbualan kami.
"Kepala hotak kau. Aku dah la penat. Entah apa-apa kau nak temberang aku," jeritku di dalam hati.
"Saya bukan tak minat tapi saya nak tengok saudara berjaya dulu," kataku menjawab semua pertanyaan tadi. Suasana sedikit panas.
"Saya hanya percaya kalau saudara boleh tunjukkan kejayaan yang saudara cakap tadi," sambungku lagi dengan suara sedikit keras. Jam dinding kedai mamak menunjukkan pukul 12.00 tengah malam sekejap lagi pagi.
"Kau orang ni betul-betul menyusahkan akulah," dengusku di dalam hati.
"Takkan Cikgu tak percaya cek yang saya tunjuk tadi," kata rakan sahabatku.
"Kalau cek macam tu saya pun boleh tulis 'sign'. Nak berapa? Sejuta? Dua juta ?," jawabku sedikit keras. Kepalaku semakin berat kerana mengantuk. Esok pukul 8.00 pagi aku sudah mengadap murid-muridku di dalam bilik darjah.
"Cikgu jangan marah . Kalau Cikgu yakin, insyallah Cikgu pun boleh berjaya, " pujuknya bersungguh-sungguh. Aku memandang wajah sahabatku dan wajahnya berubah sedikit berkerut. Barang kali dia pun sedar aku sudah mula naik angin apabila nada suaraku semakin tinggi dan keras.
"Macam nilah. Saya ni realistik sikit. Saya jenis tak mudah percaya cakap-cakap orang. Kalau saya sendiri tengok baru saya percaya. Lain kali selepas awak berjaya awak datang jumpa saya lagi," kataku dengan wajah masam. 'Fail holder' dimasukkan semula ke dalam 'briefcase'.
"Mamak, kira berapa ?," aku memanggil pramusaji dan menghulurkan sekeping wang RM10.00.
"Kata gaji sepuluh ribu , air pun aku kena bayar , phuii," dengus aku di dalam hati.
"Ok la, Cikgu. Kalau Cikgu cakap macam tu," kata rakan sahabatku ini dengan wajah cuak.
"Kalau saya dah kaya jangan menyesal pulak," katanya menutup perbualan.
"Eh eh eh engkau ni. Kang aku lesing baru tau," bibirku terkumat-kamit.
Mereka berdua menuju ke sebuah motosikal kapcai yang hampir luruh 'ekzos'nya. Sahabatku yang duduk di depan tidak berkata apa-apa. Aku melihat sahaja mereka berdua berlalu pergi sambil pembonceng memeluk 'briefcase' yang berisi sekepeing cek fotostat RM10,000.00. Sejak hari itu, aku tidak berjumpa dengan sahabatku ini tetapi aku selalu ditanya oleh kawan-kawan lain tentangnya kerana dia tidak membayar hutang-hutang mereka. Nasiblah !
Comments
Post a Comment