Episod : REDAH

" Mi, kau boleh tolong aku tak?," tiba-tiba bahuku ditepuk dari belakang. Aku yang sedikit terkejut menoleh melihat Lan dengan wajah gelisah.
"Kenapa . Lan ?," tanyaku. Lan melabuhkan punggungnya dan mengadap wajahku.
"Kau mesti tolong aku," desak Lan.
"Tolong apa, Lan?"
"Tolong pinjamkan aku duit."
"Aku mana ada duit. Gaji aku pun ciput."
" Kau bagi aku seribu cukup bulan aku bayar balik."
" Eh, kau ni. Aku dah cakap aku tak ada duit. Seratus pun aku tak ada ."
" Habislah aku," ujar Lan dengan wajah sedih.
"Cuba kau cerita apa masalah kau sebenarnya?," tanyaku sambil meraup wajahku. Aku berasa simpati dengan masalah yang dihadapi kawanku ini tapi apakan daya aku juga tidak berdaya untuk membantunya.

“Apa kata kau pinjam duit dengan kawan atau family kau?,” kataku memberikan cadangan . Lan termenung sekejap dan memandang lantai. Perasaa gelisahnya masih menguasai dirinya.

“ Mungkin emak atau bapa kau boleh tolong ?,” sambungku lagi. Lan hanya diam membisu seketika.

“Kereta aku kena Tarik tadi,” ujar Lan berterus-terang kepadaku. Aku menghela nafas dalam-dalam.

“Habis nak buat apa sekarang?”.

“Aku kena ‘sattle’ seribu untuk dapat balik kereta itu semula,” jawab Lan.

 

Hujan semakin lebat di luar pejabat. Jarum jam menunjukkan pukul 8.00 malam.

“Habis tu kau nak buat apa sekarang?,” aku mengulangi pertanyaan sama. Lan terdiam dan menyelak langsir . Hujan semakin menggila.

“Kau bawa aku balik kampung sekarang,” kata Lan lalu menoleh ke wajah aku.

“Kau gila. Malam-malam ni hujan lebat lagi,” kataku cuba menenangkan Lan.

“Tak boleh, Mi. Malam ni juga mesti ‘sattle’.”

“Kita nak naik apa?”

“ Aku tumpeng motosikal kau.”

“Lagi gila. Kita berdua nak balik Kuala Selangor naik motosikal malam-malam begini. Hujan menggila luar sana,” jawabku kurang bersetuju dengan cadangan Lan.

“Kalau kau tak tolong aku habislah  kali ini,” ujar Lan dengan wajah sugul.

 

Malam itu lebih kurang jam 9.00 kami berdua menuju ke Kuala Selangor dengan menunggang motosikal Suzuki RC80 aku. Tanpa baju hujan kami sama-sama meredah hujan lebat. Hanya lampu motosikal menyuluhi sepanjang perjalanan kami.

“Kaulah kawan aku, Mi,” kata Lan sedikit menjerit. Aku menggeleng-geleng beberapa kali. “ Ini memang kerja gila, “ bisik hati kecilku. Aku hanya singgah sebentar untuk mengisi minyak motosikal. Kemudian, meneruskan perjalanan ke Kuala Selangor.

 

Dalam hujan yang tidak menunjukkan tanda aka reda, motosikal terus membelah jalan yang gelap-gelita di kiri dan kanan. Hanya sesekali kenderaan berselisih dengan kami.

“Jauh lagi ke?,” tanyaku dengan nada suara tinggi.

“Jauh lagi,” jawab Lan sambil memeluk pinggangku. Pakaian kami basah kuyup. Seluruh badanku menggeletar kerana kesejukan. Aku juga dapat merasakan getaran tubuh Lan yang memeluk pinggangku.

“Pukul berapa nak sampai?,” tanyaku kepada Lan. Tiada jawapan. Aku terus memulas minyak menuju ke Kuala Selangor.

“Dah dekat dah,” jerit Lan dari belakang.

 

Aku membelok ke kanan jalan yang gelap-gelita dan sunyi sepi. Sebuah rumah kecil diperbuat daripada papan dan sejalur cahaya dari mentol lampu menyuluhi halaman rumah. Lan segera turun dari motosikal. Hujan sedikit reda. Bunyi katak bersahut-sahutan di parit di hadapan rumah keluarga Lan.

“Asalamualaikum. Asalamualaikum ,” Lan mengetuk daun pintu. Terdengar derapan kaki menghampiri pintu dekat dan semakin dekat. Pintu dibuka dengan bunyi berkeriut. Muncul seorang wanita tua terbongkok-bongkok di muka pintu.

“ Lan, kenapa tak bagi tau nak balik?,” Tanya wanita itu yang kukira ibu Lan. Lan melangkah tiga anak tangga dan tenggelam di dalam rumah sambil diikuti ibunya. Aku dibiarkan di luar dalam kesejukan. Tubuhku bukan lagi menggeletar tetapi bergegar kuat. Semasa dalam perjalanan tadi, kurasakan air panas di celah kangkangku . Dalam kesejukan itu aku terkencing.

 

Jarum jam menunjukkan hampir 11.30 malam. Bunyi katak terus-terusan menghidupkan suasana malam yang sunyi.

“Masuklah dulu,” ibu Lan muncul di muka pintu. Lan di belakang ibunya. Wajahnya berbunga dan tersenyum.

“Tak apalah ,makcik,” jawabku.

“Ok, kita balik Klang,” arah Lan lalu memakai ‘helmet’  semula.

“Nanti Lan balik hujung bulan ni,” kata Lan. Jalan raya sunyi sepi tanpa kenderaan.

“Ya lah,” jawab ibu Lan sambil melambai kea rah kami.

 

Aku meneruskan perjalanan pulang ke Klang. Hujan sudah berhenti tapi kedinginan malam itu menusuk ke tulang hitam.

“Kau nak makan tak?,” tanya Lan .

“ Tak payahlah. Dah malam sangat,” jawabku kerana ‘target’ aku kami sampai selewat-lewatnya pukul 2.00 pagi.

“Kau dapat tak seribu tu?,” tanyaku dengan nada suara yang kuat kerana melawan suara angina.

“Dapat,” kedengaran suara Lan ceria.

“Esok kau pergi ‘settle’ masalah kau,” kataku. Motosikal terus melunjur laju dan sesekali hujan di pertengahan perjalanan tetapi tidak terlalu lebat seperti tadi. Kini, peristiwa lebih 30 tahun dulu masih segar di dalam ingatanku. Sahabatku, Lan sekarang sudah berjaya menjadi usahawan dan tidak pernah lupa akan pertolongan aku. Setiap kali kami berjumpa, cerita ‘redah’ itu menjadi perbualan kami dan kami sama-sama ketawa berdekah-dekah.  

 

Comments

Popular posts from this blog