Episod : Tetamu Tak Diundang

Beberapa bulan sebelum terjadinya pertunangan aku dengannya, aku menerima kedatangan tetamu yang tidak diundang. Ketika itu, aku baru pulang dari surau selepas solat Isyak. Sebuah kereta diparkir di hadapan rumahku. Sesampai di muka pintu , kasut dan selipar kulihat bersepah-sepah.
Aku terus bersalam-salaman dengan tetamu yang memenuhi ruang tamu rumahku. Rupa-rupanya, ibu bapanya yang datang bertandang pada malam itu. Mereka datang untuk berkenal-kenalan dengan keluargaku. Sebelum ini , ada ura-ura kedengaran bahawa ibu bapanya hendak menyatukannya dengan anak seorang kenalan keluarganya di kampung. Orang ada-ada juga. Aku belum membuat apa-apa keputusan tentang hubungan kami ketika itu. Barangkali mereka hendakkan kepastian daripada aku sama ada hubungan ini betul-betul atau sekadar seorang kawan.
Selepas berbual-bual dan akhirnya tarikh pertunangan ditetapkan pada malam itu. Aku terkedu seketika kerana ibu bapanya sendiri datang berjumpa keluargaku untuk membincangkan kata putus. Aku hanya menerima keputusan yang diambil oleh kedua-dua pihak keluarga. Usai perbincangan itu, bakal ibu bapa mentuaku memohon diri untuk pulang. Aku menghantar mereka hingga di pintu kereta dan kereta meninggalkan perkarangan rumahku.
Dalam seketika itu, tiada kata-kata yang keluar dari mulut ibu bapaku.
"Mu, kena kumpul duit kalau nak kahwin," itulah kata-kata yang terkeluar dari mulut ibuku. Ayahku seperti biasa hanya mendiamkan diri. Kata-kata itu memberi isyarat bahawa mereka bersetuju dengan keputusan yang diambil sebentar tadi. Aku menelefonnya untuk memberitahu keputusan pada malam itu. Kami sama-sama bersetuju dengan keputusan keluarga masing-masing.
Ketika itu , umurku baru mencecah 22 tahun. Kedengaran juga cakap-cakap dari jiran tetangga tentang pertunangan aku pada usia yang muda. Aku tidak mengambil peduli caka-cakap orang pada fikiran aku sudah tiba masanya aku berumahtangga walaupun gajiku sebagai guru sekolah swasta hanya RM220.00. Tunangku bekerja sebagai seorang kerani di sebuah syarikat di Klang.
Sejak itu, setiap bulan aku mengumpul wang gajiku dengan memberikannya kepada ibuku untuk disimpan. Setelah beberapa bulan kemudian, rombongan meminang pun dihantar ke rumahnya. Aku hanya menjadi tukang tunjuk rumah dengan ditemani guruku yang juga sifuku dalam dunia penulisan kreatif dengan menaiki keretanya. Beberapa buah kereta yang mengekori di belakang kereta kami membelok ke halaman rumahnya. Sebuah rumah papan yang mempunyai kolong di bawahnya , tangga dan sebatang pokok rambutan di tepi rumah. Suasana kampung berbeza dengan suasana di tempat tinggalku di bandar walaupun sebuah pekan kecil.
Usai majlis pertunangan , tiada acara menyarungkan cincin atau bergambar. Semua wakil yang pergi meminang pulang selepas selesai majlis dan aku pula hanya lalu di hadapan rumahnya. Tiada lambaian atau senyuman dilemparkan di muka tingkap. Guruku terus menghantar aku ke stesen bas tidak jauh dari rumahnya. Aku menaiki bas untuk pulang ke Pelabuhan Klang.
Malam itu, aku menelefonnya di pondok telefon awam di tepi pintu 'gate' Pelabuhan Selatan. Hanya di situ tiada gangguan sesiapa tidak seperti pondok-pondok telefon lain akan beratur panjang. Duit syiling sangat berharga ketika itu sebagai penyambung hayat panggilan telefon. Bermalam-malam aku bergayut menelefon tunangku ini. Aku yang duduk di atas basikal memegang gagang telefon sambil diusik beberapa anggota keselamatan dengan siulan di pintu 'gate'.
Demi menjaga nama baik keluarga , aku dan dia jarang-jarang berjumpa hanya telefon sebagai penghubung perasaan. Hanya menantikan hari rasmi pernikahan. Beberapa bulan sebelum tiba hari yang dinantikan, aku dan dia ke Kuala Lumpur untuk membeli beberapa peralatan sebagai hantaran kedua-dua pihak. Kami menaiki bas Srijaya ke stesen bas Kuala Lumpur. Barangan yang dibeli mengikut kemampuan masing-masing dan ada juga barang yang kami kongsi beli. Pakaian lelaki sepasang, sepasang kasut lelaki dan perempuan serta beg tangan sebagai barang hantaran.
Selesai membeli-belah , kami terus pulang ke Klang. Ketika itu, dapatlah berbual-bual dari mata ke mata dan sesampai di stesen bas Klang. aku menghantarnya ke tangga bas untuk pulang ke rumah. Sampai di situ sahaja pertemuan . Tiada makan. Tiada minum. Semuanya perlu berjimat dan menanti detik yang ditunggu-tunggu tiba.
All reactions:
Norhaini Hashim

Comments

Popular posts from this blog