Episod : SAAT ITU
" Dah lama tunggu?"
" Baru saja sampai"
" Nampak juga tadi dari jauh."
" Kata nak jalan balik sama-sama"
Senyum.
"Jomlah. Bas pukul 7.00 nanti terlepas"
Suasana bandar Klang tidak sesibuk waktu pagi. Masing-masing berpusu-pusu hendak sampai ke pejabat atau tempat kerja.
"Awak nak makan atau balik terus?"
Diam. Senyum.
" Kita makan KFC la" .
"OK"
" Saya belanja ".
" Tak apa, saya belanja"
" Asyik awak saja belanja"
Senyum.
Kami berjalan dari bangunan Tabung Haji menuju ke KFC , Jalan Taiping melalui deretan kedai Bangunan MARA. Beberapa buah kedai makan di situ sedang bersiap-siap hendak memulakan perniagaan.
Pintu kaca KFC ditolak. Aku mempersilakannya masuk. Senyum hampir ketawa. Kami mengambil tempat duduk di tengah. Meja di tepi dinding cermin jarang-jarang tidak kosong.
" Nak order apa Encik?"
" Awak nak order apa?"
" Saya tak kisah" .
" Bagi 'snack plate ' dua set. Air pepsi. Itu saja"
Senyum.
"Seganlah asyik awak belanja saya"
" Tak apa. Lain kali awak pulak belanja saya "
Terkenang suara riuh-rendah kawan-kawan ketika meraikan seorang teman menyambut hari jadinya di KFC. Dia tersenyum matanya melerek memandangku. Ya, matanya sangat cantik. Senyuman bibirnya manis . Kenangan itu padam.
" Encik" .
" Terima kasih "
Pelayan berlalu pergi. Kami makan ayam goreng KFC yang sangat rangup dan menyelerakan. Sudu dan garfu, satu ketul roti ban, satu skop 'coleslow' dan satu skop ' whipped potato' di dalam pinggan plastik.
Aku makan penuh berselera . Lebih-lebih lagi si dia yang belanja.
" Jomlah. Dah dekat pukul 7. "
Bangkit dan keluar dari KFC. Berjalan ke stesen bas melalui Jalan Taiping. Deretan kedai pakaian dan kasut di kiri dan kanan masih meriah dengan pelangggan yang singgah. Melalui jalan 'shortcut' antara dua buah bangunan. Di lorong kecil itu penjual beg , tali pinggang dan kasut digantung pada paku dinding bangunan atau dilonggok di atas meja.
Melintas di hadapan Kedai Kasut Karim. Berlari-lari anak melintas jalan. Bas-bas bagai sampan terolang-oleng di lautan kerana jalan berlubang-lubang. Penumpang-penumpang bas ada yang berdiri di tepi tembok bersebelahan pejabat pos kecil atau duduk di atas bangku simen sambil menghirup asap bas yang berkepul-kepul. Bas-bas kilang menunggu di seberang stesen sambil memanggil-manggil penumpang yang mahu pulang ke destinasi. Pakcik -pakcik teksi bersidai di tepi jalan sambil berbual-bual sesama mereka.
Aku dan dia masih menunggu bas. Kemudian, sebuah bas tertulis KSOC di badannya dan tertulis pada papan tanda Klang - Meru yang disangkut pada 'dashboard ' bas. Bas berhenti di bawah bumbung stesen. Di atas stesen bas pasaraya Great Wall. Mereka yang ingin membeli belah menaiki tangga besi di sebelah kanan stesen bas. Di bawah tangga besi gerai-gerai menjual makanan dan minuman. Makcik gemuk yang berbaju kelawar dan berwajah agak bengis memujuk penumpang-penumpang bas singgah di gerainya. Pakcik yang 'supply' ais menolak basikal roda tiga dan memikul ais di dalam beg plastik besar ke gerai-gerai di bawah tangga.
Nyonya menjual air balang dan buah potong berniaga di tepi di dinding stesen bas. Buah-buahan potong ditutup dengan plastik mudah alih. Lalat berkerumun. Kuku jari tangan nyonya kehitam-hitaman dan tapak tangannya berkedut-kedut kerana terlalu lama berendam di dalam baldi berisi air. Buah tembikai , betik dan nanas potong menjadi kegemaran ramai dan ditambah dengan dua tiga jenis kuah rojak buah dan sebekas kacang tumbuk. Serbuk asam boi di dalam botol dan kicap dicampur cili api.
" Itupun bas awak dah sampai". Senyum.
" Saya balik dulu"
" Baik-baik."
Tangan melambai-lambai dan bas hilang ditelan asap berkepul-kepul. Suasana stesen bas riuh-rendah dengan suara manusia dan 'ngauman' enjin bas.
Aku terus menanti bas Klang -Banting yang akan membawa aku pulang ke pekan kecilku Pelabuhan Klang. Senja melabuhkan tirai malam. Seorang gadis duduk di bangku simen tidak jauh dariku sambil membaca sebuah buku novel tebal sejengkal. Dia hanya menoleh kepadaku seketika lalu tersenyum . Aku membalas senyuman.
Bas yang ditunggu-tunggu pun tiba. Jarum jam menunjukkan pukul 7.45 malam. Aku berada di perut bas di tepi tingkap lalu melihat gadis itu. Dia mendongak lalu tersenyum lagi. Sebuah 'handbag' tergantung di bahunya dan rambutnya separas dada sesekali dikuis ke belakang.
Bas berlalu pergi dan kenangan saat itu mengusik jiwa.
Comments
Post a Comment