Episod : PAKCIK
Hari itu aku pulang lewat dari tempat aku mengajar . Kedudukan pusat tuisyen itu agak jauh dari rumahku . Aku melihat jam di tanganku menunjukkan pukul 11.00 malam. Sesekali angin bertiup kencang dan pokok-pokok kelapa sawit di tepi jalan seperti terhuyung-hayang. Aku meletakkan beg yang selalu kubawa ke tempat tuisyen di dalam raga motosikalku.
Setelah beberapa kali mencuba akhirnya enjin motosikalku dapat dihidupkan. Motosikal 'second hand' ini selalu meragam di tengah jalan kerana kerosakan 'peston' yang cepat panas. Aku melalui jalan biasa untuk pulang ke rumah yang di kiri kanannya pokok-pokok kelapa sawit. Suasana gelap gelita kerana tiada lampu jalan hanya berharap kepada lampu motosikalku. Di dalam hati aku berdoa agar motosikal aku tidak membuat hal. Rintik-rintik hujan mulai terasa.
Dari jauh kulihat sejalur cahaya di tepi jalan. Dekat dan semakin dekat. Rupa-rupanya seorang lelaki yang agak lanjut usia sedang berdiri di tepi motosikalnya.
"Kenapa , Pakcik?," tanyaku setelah memberhentikan motosikal di tepi jalan.
"Entahlah , nak. Tiba-tiba enjinnya tak boleh hidup," ujar lelaki yang kupanggil pakcik. Pakaiannya agak lusuh dan mungkin pakcik itu tinggal di sekitar kawasan itu. Aku melihat jarum jam, 11.30 malam. Aku berasa serba salah. Kalau aku meninggalkan pakcik itu dalam gelap gelita macam tak patut. Kalau aku hendak menolong pakcik itu pukul berapa pula aku akan sampai rumah? Suara itu hanya bergema di dalam hatiku.
"Macam nilah , Pakcik. Motosikal pakcik tinggalkan di sini. Saya tumpangkan pakcik balik ke rumah," kataku kepada pakcik. Pakcik itu diam seketika dan kemudian mengangguk tanda setuju.
"Baiklah. Tapi, tak menyusahkan anak ke ?," tanya pakcik itu semula.
"Tak. Tak apa , pakcik. Rumah pakcik di mana ?," tanyaku semula kerana aku terlupa untuk bertanya tadi. "Harap-harap rumah pakcik itu tidak jauh sangat," aku bermonolog.
Aku menyuruh pakcik membonceng motosikalku dan kami berdua meredah malam yang semakin dingin. Pelepah pokok-pokok kelapa sawit di kiri dan kanan melambai-lambai apabila angin bertiup sedikit kencang dan rintik-rintik hujan semakin keras.
"Kat mana rumah, pakcik ?," tanyaku dengan suara sedikit kuat. Pakcik tidak menjawab pertanyaanku. Perasaan taku menerjah tiba-tiba.
"Kat mana rumah pakcik ?," aku mengulangi pertanyaan tadi. Tiada jawapan. Aku menoleh ke belakang walaupun aku tahu perbuatan aku itu sangat berbahaya. Pakcik itu masih berada di belakangku sambil kedua-dua tangannya memegang besi tempat duduk motosikal.
"Kat mana rumah , Pakcik?," tanyaku sekali lagi.
"Tak jauh dari sini ," jawab pakcik itu dengan suara terketar-ketar. Barangkali suhu sejuk menyebabkan pakcik menggigil kesejukan ditambah lagi hujan.
"Masuk sini," kata pakcik itu sambil mencuit pinggangku. Aku membelok ke kiri jalan dan melalui jalan yang agak sempit hanya muat sebuah kereta. Jalan yang berumput dan seperti jarang-jarang dilalui orang. Di kiri dan kanan masih ditemani pokok-pokok kelapa sawit.
Dari kejauhan , kelihatan cahaya lampu yang malap. Dekat semakin dekat. Aku memberhentikan motosikal di hadapan tangga rumah kayu yang kelihatan uzur dan menanti rebah. Hujan turun dengan lebat. Pakcik segera turun dari motosikal.
"Marilah singgah dulu," kata pakcik sambil melambai-lambaikan tangannya. Aku tiada pilihan selain terpaksa menongkat motosikal aku kerana hujan sangat lebat. Atap zink rumah pakcik bagaikan tanah runtuh kerana bunyi hujan yang lebat. Pakcik mengajak aku ke dalam rumahnya. Pakaian aku lencun. Aku hanya duduk di atas tangga rumah pakcik. Pakcik sudah masuk ke dalam dan kedengaran suara orang bercakap-cakap.
Kemudian, pakcik duduk di hadapanku sambil tersenyum. Pakcik sudah menyalin pakaian kering sambil membawakan sehelai tuala di tangannya. Pakcik menghulurkan tuala itu dan aku mengelap tubuhku yang basah.
"Anak dari mana ?," tanya pakcik sambil menyalakan sebatang rokok gulung. Berkepul-kepul asap rokok dan di luar hujan semakin menggila. Pakcik tersenyum sekali lagi melihat aku.
"Saya balik kerja tadi lalu jalan situ ," kataku. Tuala yang sedikit lembab kusangkutkan pada bahu.
"Oh, " pakcik mengangguk-angguk kosong.
"Pakcik tinggal dengan siapa?," giliran aku pula bertanya. Pakcik menikmati rokok gulung di bibirnya yang berkedut. Wajah pakcik kulihat dengan jelas. Aku beranggapan pakcik itu berumur sekitar 70 atau 80 tahun. Wajahnya penuh kedutan dan cengkung. Matanya ke dalam kerana terlalu kurus.
"Saya tinggal dengan isteri saya," ujar pakcik itu selepas beberapa ketika berdiam diri. Aku cuba menangkap dengar kalau-kalau ada suara sesiapa di dalam rumah . Sunyi sepi. Aku melihat jam di tangan pukul 12.30 malam. Hujan lebat masih belum ada tanda-tanda akan berhenti.
"Anak tidur sini sahaja malam ini," kata pakcik itu apabila menyedari mataku asyik melihat jam di tangan. Aku hanya mengangguk-angguk. Di dalam hatiku berasa gusar kalau terpaksa bermalam di rumah pakcik yang tidak kukenali. Selama aku berulang-alik ke tempat mengajar inilah pertama kali aku ternampak pakcik ini. Setahu aku, di kawasan ini hanyalah ladang kelapa sawit. Kampung yang berdekatan juga kurang lebih 45 minit perjalanan. Perasaan was-was itu aku lontarkan jauh-jauh. Aku percaya niat pakcik itu baik kerana aku sudah membantunya tadi.
"Hujan ini lama nak berhenti," ujar pakcik itu lalu bangkit dari pangkin tempat dia duduk dan masuk ke dalam rumah. Aku mengekori langkah pakcik itu dengan ekor mataku. Suara pakcik bercakap-cakap sesuatu seperti berbisik dengan isterinya. Aku tidak mendengar suara isteri pakcik. Bunyi keriut tapak kaki pakcik memijak lantai kayu rumahnya menghampiri aku.
Pakcik meletakkan sebidang tikar mengkuang yang agak usang dan sebiji bantal yang lusuh. Kepalaku berasa sedikit pening kerana bau bantal yang hapak.
"Anak tidur di sini ," kata pakcik seperti mengarahkan aku berbaring di anjung rumahnya itu.
"Oh, ini ada sepuluh ringgit buat duit minyak motor," kata pakcik sambil menghulurkan wang dari tangannya.
"Ambillah, ikhlas pakcik bagi," kata pakcik dan aku menerimanya dengan senyuman dan ucapan terima kasih. Wang pemberian pakcik kumasukkan ke dalam kocek kemejaku. Aku membaringkan tubuhku yang keletihan dan bantal kuletakkan jauh sedikit dari tempat aku berbaring. Bau hapak bantal menujah ke ruang hidungku. Aku berbaring dengan berbantalkan lengan di atas sebidang tikar mengkuang. Pakcik meninggalkan aku dan masuk ke dalam rumah. Pintu papan rumahnya ditutup rapat dan sebuah pelita ayan di sudut anjung dibiarkan menyala. Walaupun hatiku berasa takut dan bermacam-macam yang perkara bermain di fikiranku namun akhirnya aku terlelap.
Aku berasa badanku digoncang-goncang beberapa kali. Terpisat-pisat aku membuka mata dan wajah pakcik betul-betul di hadapan wajahku. Wajahnya yang sangat menyeramkan . Lidahnya terjelir panjang dan menyeringai. Aku terbangun kerana terlalu takut. Pakcik merangkul tubuhku dan aku cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri. Aku berasa nafasku sesak. Tubuh pakcik yang kurus kering berubah menjadi tubuh yang besar dan berbulu panjang. Bau peluh hanyir dan meloyakan. Tubuhku digoncang-goncang dengan kuat .
"Abang! Abang ! Abang !" Seakan suara yang biasa kudengar. Perlahan-lahan aku membuka mataku. Kulihat isteriku sudah berada di sisiku. Aku terbaring di atas karpet. Isteriku hanya tersenyum .
"Abang mengigau tadi. Berpeluh-peluh. Menggigil satu badan," ujar isteriku tersenyum . Cahaya lampu kalimantang terang-benderang.
"Oh, aku bermimpi," bisik hati kecilku. Isteriku meninggalkan aku lalu masuk ke bilik dan aku masih terpinga-pinga di ruang tamu. Aku melihat jarum jam di tangan 3.00 pagi. Aku menyeluk kocek kemejaku dan sekeping wang kertas sepuluh ringgit masih berlipat kemas. "Mimpi atau realiti , " bisik hati kecilku. Bulu tengkukku meremang tiba-tiba dan aku segera masuk ke bilik. Isteriku hanya tersenyum melihat wajahku yang pucat dan tubuhku berpeluh-peluh. Aku berbaring lalu terlelap.
Comments
Post a Comment