Episod : OH AZIZAH

Saban hari kulihat dia menunggu bas di stesen bas Klang. Setiap kali itu juga kulihat dia tekun membaca sebuah naskhah kukira novel. Kami saling membalas senyuman tetapi amat berat mulutku untuk memulakan bicara. Sekurang-kurangnya , ada teman untuk diajak berbual-bual sementara menunggu bas datang.
Suatu hari, aku memberanikan diri untuk mengajaknya berbual-bual . Kupandang ke kiri dan kupandang ke kanan. Manalah tahu kalau dia berteman. Setelah aku benar-benar pasti dia bersendirian, aku menoleh kepadanya dan dia membalas dengan senyuman. Seolah-olah dia mengizinkan aku duduk berdekatan dengannya.
"Rajin awak membaca ," sapaku memulakan bicara . Dia hanya mendiamkan diri dan menundukkan kepala.
" Novel apa awak baca ?," soalku lagi. Dia menoleh memandangku dan tersenyum.
" Attar Di Lembah Mawar," balasnya perlahan .
" Wow, karya Siti Zainon Ismail," nada suaraku girang dan membuatnya tersenyum.
" Awak suka membaca juga ?," gilirannya bertanya aku pula.
" Ya, saya suka membaca tetapi lebih kepada cerpen dan sajak. Saya kurang minat membaca novel kerana mengambil masa lama untuk menghabiskannya," kataku panjang lebar. Dia tersenyum dan ketawa kecil.
" Saya sudah membaca antologi ini dua kali."
"Kenapa awak ketawa? ," tanyaku diikuti ketawa kecil. Dia tidak segera menjawab pertanyaanku kerana terganggu bunyi hon bas yang bersiponggang dan karbon monoksida berkepul-kepul memenuhi ruang udara.
Penumpang-penumpang bas mulai berduyun-duyun memenuhi perhentian bas. Jarum jam CASIO hadiah ayahku menunjukkan pukul 6.00 petang. Waktu penumpang-penumpang bas pulang dari bekerja dan menuju ke destinasi masing-masing.
" Kebetulan kita berbicara , boleh saya tahu siapa nama awak ?," kusambung pertanyaan lagi. Dia mendiamkan diri seketika.
"Azizah ," jawabnya perlahan.
" Saya Mi," kataku tanpa ditanya. Mata Azizah meleret memandangku sambil tersenyum.
"Kenapa awak tersenyum ?," tanyaku sedikit kehairanan.
" Saya macam biasa nampak awak ," kata Azizah malu-malu untuk berterus terang.
" Di mana ?"
" Dalam majalah ? "
"Betulkan ?," Azizah cuba mendapatkan kepastian dariku.
" Ya. Betul " jawabku spontan.
" Awak juga penulis. Betul tak?"
" Bukan penulis tapi pencerita".
Kami sama-sama ketawa. Beberapa orang penumpang yang sedang menunggu bas di situ tersenyum melihat kemesraan kami.
Satu demi satu bas datang dan pergi menuju ke destinasi. Suara 'stesen master' memanggil penumpang saling bertingkah. Seorang 'stesen master' berbangsa India dengan 'side burn' ala-ala Elvis Presley memanggil penumpang menaiki bas KSOC kerana bas akan bergerak meninggalkan stesen. Azizah bingkas bangun apabila bas yang ditunggunya tiba.
"Saya pergi dulu," jerit kecil Azizah lalu meninggalkan aku sendirian. Azizah melambaikan tangannya dari atas perut bas dan tanganku membalasnya. Aku hanya tersenyum melihat bas menghilang dari pandanganku.
Tidak lama kemudian, bas yang aku tunggu pun sampai. Aku mengambil tempat duduk di tepi tingkap. Bas dipandu perlahan melalui Jambatan Klang dan kulihat Sungai Klang mengalir lesu ke kuala.
Beberapa hari selepas itu, aku tidak lagi melihat Azizah seperti biasa. Tempat yang Azizah selalu duduk menunggu bas kosong. Penumpang-penumpang lain memenuhi ruang menunggu di situ.
" Barang kali dia bercuti, " bisik hati kecilku. Aku melihat gelagat manusia yang memenuhi stesen bas Klang itu untuk kujadikan modal berkarya. Kadang-kadang aku berasa lucu melihat pasangan yang baru berkenalan tersipu-sipu malu berbual-bual di hujung tembok. Sebelah kaki si jejaka yang berkumis nipis disandar pada tembok di belakangnya. Si gadis pula memeluk 'handbag' dan sesekali mereka ketawa sambil si gadis tertunduk malu. Penumpang-penumpang daripada pelbagai kaum silih berganti turun dan naik bas yang akan membawa mereka ke destinasi. Mataku masih tertinjau-tinjau seandainya terlihat kelibat Azizah di situ. Hampa. Sendiri lagi.
Seminggu selepas itu , aku ternampak Azizah sedang duduk di tempat biasa. Langkahku yang mulanya laju ingin mendekatinya menjadi perlahan. Seorang lelaki berpakaian kemas sedang duduk di sisinya . Azizah memandangku sekilas tetapi tiada senyuman yang dilemparkan seperti selalu. Aku hanya berdiri di hujung tembok tempat nyonya menjual air balang dan buah potong. Nyonya itu memandangku sedikit terpinga-pinga kerana aku seolah-olah sedang menyorok di balik tiang bersebelahan dengan basikal roda tiganya.
Sesekali kulihat Azizah berkata-kata sesuatu kepada lelaki di sampingnya dan disulami dengan ketawa. Aku berasa bahagia melihat mereka. Aku memberanikan diri berjalan di hadapan mereka dan kulihat jari Azizah dimerahi inai. Aku tersenyum dan mereka tersenyum melihat aku. Kakiku melangkah perlahan meninggalkan stesen bas dan melintas Jalan Pos Baru. Dari Jambatan Klang kelihatan lembayung senja di hujung Sungai Klang menggamit perasaan. Langkahku menuju stesen bas di seberang yang berhadapan dengan Perpustakaan Awam Klang. Aku mengambil tempat duduk di situ sementara menanti bas yang akan membawa aku pulang . Pulang ke tempat asalku.

Comments

Popular posts from this blog