Episod : NOSTAGILA


Memang gila. Hampir gila. Kalau dilayan perasaan boleh jadi gila. Orang yang pernah menjentik hatiku tiba-tiba menghilangkan diri. Gilalah si tukang cuci hendak memiliki hati seorang gadis cantik. Apakah selayaknya ?

Nostagila ini masih terkesan di hati hingga kini. Sukar benar untuk memadamkan api perasaan itu. Kutatang bagaikan di atas dulang emas. Gundahnya perasaan andai sehari tidak dapat melihat wajahmu. Akhirnya , kejujuran memakan diri sendiri. Kekosongan hati yang terbiar dan menanggung derita sendiri.

Tiada kata atau lafaz ucapan dititipkan dan sekurang-kurangnya kutahu apa sebenarnya. Pergi tanpa pesan. Hilang tanpa nesan. Kegilaan apakah yang menyelubungi hatimu hingga membiarkan aku merasai kesengsaraan begini. Ke hujung ke pangkal aku mencari. Aku masih menaruh harapan setinggi gunung andainya kau memberikan satu jawapan . Benarkah seperti yang kudengar melalui seorang kawan ? Benarkah ?.

Aku masih boleh menerima jawapan dari mulutmu sendiri jika kau inginkan perpisahan yang mutlak. Tapi, mengapa batin ini diseksa dan dirobek ? Adakah kerana cemburu kau seksa batin yang kosong ini. Cakaplah . Cakaplah. Kenapa kau pergi begitu sahaja ? Ya, aku tidak menjanjikan apa-apa waima sezarah intan emas permata kalau itulah ukurannya antara dua keping hati.

Aku mencarimu merata-rata bagai si gila bayang. Ya, gila kepada bayang-bayang. Kehadiranmu kunantikan saban detik waktu. Kucuba melontarkan jauh nostagila kita tetapi perasaan ini masih belum terdetik mengucapkan selamat tinggal. Meskipun, pada awal pertemuan kita aku hanyalah melukut tetapi keikhlasan hati ini memadamkan api keraguan yang menjulang dan marak. Jangan kau dekatinya kerana dia sang puteri yang dimanjai setiap waktu. Mampukah kau memenuhinya ? Kata-kata yang lahir dari sudut hatiku yang paling jauh hanyalah gemaan yang berulang-ulang kali tetapi tidak sampai terpacul dari bibirku.

Kunantikan berita gembira yang mampu mengukir senyuman namun aku hanyalah seorang perindu. Perindu yang menatang secebis harapan di tangan kanan dan segunung impian di tangan kiri. Kedua-duanya tinggal serpihan yang dipuput bayu senja entah ke mana.

Kesudahan penantian ini akhirnya terjawab. Benarlah seperti telahan hati kecilku bahawa hatimu sudah kauberikan kepadanya. Sekeping kad undangan kuterima bertulis tangan yang sangat kukenali. Terima kasih kerana membiarkan aku separuh gila menantimu. Aku tidak pandai untuk mengecewakan hati orang. Kedatanganku pada hari bahagiamu untuk memenuhi permintaanmu. Barang kali permintaan terakhir. Kau lemparkan senyuman yang selama ini kumimpikan tatkala kau melihatku berdiri di hadapanmu. Tiada kata yang terzahir pada saat itu namun suara tangisan rindu dan kesal kupendam kemas. Kata hatiku, " Nostagila antara kita sudah kukuburkan mungkin selamanya. "

Comments

Popular posts from this blog