Episod : Ayah Kena Strok
Usai mengajar pagi itu, aku berasa kelainan pada tubuhku. Bahagian kiriku kebas dari muka hingga kaki kiri. Aku sukar untuk bercakap. Isteriku berada di ruang tamu. Aku memberitahunya aku berasa tidak sedap badan. Aku terduduk lemah di tangga dan tidak pernah aku berkelakuan demikian.
Isteri mencapai telefon bimbit di atas meja lalu menelefon anakku.
" Dik, ayah kena strok," beritahu isteri dengan nada suara tersekat-sekat. Aku masih terduduk di atas tangga tidak berganjak. Anakku tiba di luar pagar. Kedengaran seperti orang berlari menuju ke muka pintu.
" Ayah kenapa?," terpacul pertanyaan itu. Aku sukar menelan air liur dan lidahku berasa kebas.
"Cepat pergi Manipal," getus anakku lalu memapahku berjalan ke muka pintu sambil dibantu isteriku dari belakang. Pintu kereta dibuka dan aku terbaring di kerusi belakang kereta. Aku dilarikan ke Manipal Hospital yang tidak jauh dari rumahku kira-kira 5 minit.
Sesampai di pintu kecemasan, beberapa orang jururawat dan seorang doktor telah memindahkan aku ke atas ' stretcher' lalu dibawa ke bilik kecemasan. Aku diperiksa oleh doktor dan pada masa itu aku sudah tidak dapat bercakap.
" Maaf ,Puan. Kami tiada pakar buat masa ini," kata doktor.
" Suami puan kena strok," sambung doktor lagi.
" Pindah KPJ Shah Alam," kata anakku spontan. Sekali lagi aku dipindahkan ke kereta dan anakku memecut laju ke KPJ melalui Lebuhraya Kesas.
Walaupun anakku yang memandu kereta perempuan tetapi dia cekap memandu dengan kelajuan tinggi . Kami sampai tidak lama di Jabatan Kecemasan KPJ. Beberapa orang petugas yang berada di situ sedia memindahkan aku ke Zon Merah. Selepas aku dipindahkan di atas katil seorang doktor segera memeriksa aku.
"Tekanan darah 230," kata doktor mengarahkan pembantunya memasang beberapa alat pada badanku . Aku hanya melihat sekelilingku dipenuhi mesin di kiri dan kanan katil.
" Im Doctor Suguna," doktor memperkenalkan dirinya tetapi aku tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Aku diperiksa rapi oleh doktor. Tidak lama kemudian datang seorang lagi doktor lelaki.
" Saya Doktor Raj," kata doktor yang baru tiba di tepi katilku.
" Bawa patient ke ICU," perintah Doktor Raj manakala Doktor Suguna tidak kelihatan di bilik itu. Aku dipindahkan ke ICU sambil diikuti isteri dan anakku dari belakang. Pintu bilik ICU terbuka dan isteri serta anakku tidak dibenarkan masuk. Pakaianku diganti dengan 'uniform' hospital.
Keadaan aku kembali stabil selepas beberapa rawatan dilakukan. Di hujung katilku seorang jururawat mengawasi aku dan silih berganti 24 jam dengan jururawat pengganti.
" Hai, U ok?," muncul Doktor Ip yang membedah kakiku semasa kemalangan tahun 2017. Sudah dua tahun berlalu sekali lagi aku dirawat di KPJ. Aku hanya menggangguk. Kemudian Doktor Syeikh pakar buah pinggang yang melawat pesakitnya di ICU turut menyapa aku. Kami sudah saling mengenali kerana aku mengajar tuisyen dua orang anaknya di rumah sejak 4 tahun lalu.
Isteri dan anakkku dibenarkan masuk menemui aku. Aku mampu tersenyum melihat mereka.
" Itulah ayah kerja kuat sangat," kata anakku. Isteriku duduk di sisiku.
"Nanti kakcik bawa pakaian abang," kata isteriku. Aku datang ke hospital sehelai sepinggang. Rasa kebas di sebelah badanku semakin kurang. Monitor mesin yang membaca degupan jantungku menunjukkan keadaan aku sudah stabil.
Seorang demi seorang anak dan menantuku tiba di hospital. Selepas beberapa hari di ICU aku dipindahkan ke wad biasa .Isteriku menemaniku bermalam di hospital selama beberapa hari sebelum aku dibenarkan pulang ke rumah. Doktor Suguna dan Doktor Raj berpuashati dengan keadaan aku.
" Encik bernasib baik hanya 'mild stroke' tapi Encik perlu berhati-hati selepad ini," kata Doktor Raj.
" Mulai sekarang Encik perlu makan ubat cair darah," celah Doktor Suguna pula. Dua hari selepas pulang ke rumah dan bercuti mengajar aku 'dilarikn' anak-anakku bercuti ke Frazer Hill untuk berehat. Pengalaman diserang strok sangat menakutkan kerana beberapa orang rakan sebayaku yang mengalami strok masih bergantung dengan kerusi roda untuk bergerak. Semoga ini yang terakhir.

Comments
Post a Comment