Episod : AKU TERIMA NIKAHNYA
28 JULAI 1989, Jumaat - Hari ini aku akan bernikah selepas solat Isyak. Sebelum keluar bekerja pagi itu , aku berpesan sekali lagi kepada adik-adikku supaya membantu ibuku menguruskan apa-apa yang patut untuk persediaan majlis pernikahan malam itu. Bayangkan perasaanku yang tidak keruan sepanjang perjalanan ke sekolah. Pandangan kosong kulontarkan ke luar tingkap bas. Fikiranku sedikit berserabut. Hati berasa sebal.
Hari itu 'mood' mengajar ikut kelaut. Aku menyuruh murid-muridku menyiapkan latihan yang sudah kusediakan semalam. Malam ini selepas Isyak sebelum turun 'ke tanah' , majlis khatam Al-Quran. Selepas itu, rombongan sebelah pihak aku akan ke Kampung Meru, Klang. Majlis malam ini akan dihadiri sanak saudara terdekat kedua-dua belah keluarga. Akad nikah dilakukan oleh bapa mentua sendiri manakala datuk dan pakciknya sebagai saksi. Bayangan majlis itu terbayang-bayang di fikiranku.
Masa dirasakan bergerak sangat perlahan. Kelas terakhirku pada pukul 6.00 petang hingga 7.30 malam. Selepas menunaikan solat Maghrib di sekolah, aku bergegas ke stesen bas Klang untuk pulang ke rumah. Kebetulan, sesampai aku di stesen bas sudah pun sedia menunggu untuk bergerak. Satu demi satu tiang lampu berlari dan mengejar bas. Aku sampai di muka pintu rumah sebaik sahaja azan Isyak berkumandang dari surau berdekatan.
Aku segera membersihkan diri dan memakai baju yang ditempah khas untuk majlis akad nikah. Usai solat Isyak, guru mengaji Al-Quranku dan wakil keluargaku telah sampai. Tanpa berlengah-lengah, majlis khatam Al-Quran dilangsungkan. Beberapa hari sebelum itu, guru Al-Quranku sudah berpesan kepadaku untuk membaca dan menghafal beberapa surah wajib dibaca nanti semasa khatam Al-Quran. Majlis ini dijadikan 'formal' sedangkan aku sudah pun khatam Al-Quran beberapa kali.
Aku dan rombonganku bertolah dari rumah sekitar jam 9.15 minit malam. Aku menjangkakan akan sampai lebih kurang 10.00 malam atau lebih sedikit. Sepanjang perjalanan aku banyak berdoa agar majlisku berjalan lancar dan dipermudahkan Allah swt. Sedikit kehampaan di hatiku kerana hari esok aku akan bekerja seperti biasa. Tiada cuti. Rancanganku untuk bertemu isteriku dan bersiar-siar terbantut dengan keputusan majikanku itu.
Banyak mata memandangku terutamanya sanak saudaranya yang pertama kali melihat aku. Ahli keluarganya sudah mengenali aku kerana semasa bertunang sekali dua aku pernah mengunjungi rumahnya. Wakil keluarga kedua-dua pihak saling menyampaikan sepatah dua kata dan sesekali pecah ketawa. Kegembiraan dapat dirasai pada malam itu daripada wajah mereka yang hadir sama. Acara akad nikah dimulai dengan istigfar dan zikir ringkas.
Bapa mentuaku menghulurkan tangan dan aku segera menyambutnya. Aku diberikan tunjuk ajar tentang beberapa perkara semasa akad nikah nanti. Hanya sekali lafaz , sah aku bergelar suami. Perasaan aku bercampur baur antara gembira dan sebak. Aku bersalam-salaman dengan orang sekeliling setelah membaca takliq yang disediakan oleh jurunikah.
Aku dijemput ke bilik yang dihias khas untuk bertemu isteriku dan bergambar. Malam itu aku dijamu makan nasi ayam sambil itu aku berbisik-bisik dengan isteriku. Birasku menjadi tukang 'make-up' isteri. Memang berbeza apabila wajah isteriku di-make-up' untuk majlis malam itu. Berseri-seri. Sekitar jam hampir 12.00 malam , ibu bapaku bersalam-salaman dengan ibu bapa mentuaku serta ahli keluarga yang lain. Aku juga bersalam-salaman dengan isteriku kerana malam itu aku 'diarahkan' pulang tanpa membawa isteriku. Majlis walimatulurus akan diadakan enam bulan akan datang bermakna kami tinggal berasingan atau istilahnya 'nikah gantung'.
Pulanglah aku mengikut rombongan sambil dihantar oleh isteriku hingga di tangga dengan lambaian dan senyuman. Aku berjanji untuk pulang menemui isteriku pada hari minggu itu kerana rancangan kami untuk pergi 'honeymoon' ke Port Dickson dan pulang pada hari yang sama kerana hari Isnin aku diarahkan hadir bekerja. "Tiada cuti ," kata majikanku.
Comments
Post a Comment