Episod : Akhiri Zaman Bujang
Nak kata bujang macam tak. Umur 22 dah nak kahwin. Begitulah kata-kata yang kudengar daripada jiran tetangga. Jodoh dah sampai dan semua itu percaturan Allah. Begitulah kata Almarhum Ustaz Ismail Kamus semasa berceramah di surau tempat tinggalku.
Kiranya habis STPM aku mendapat pekerjaan tetap pada usia 19 tahun sebagai guru di sekolah swasta di bandar Klang. Terlalu muda dan dua tahun kemudian sudah memasuki ambang perkahwinan. Kalau diikutkan cakap-cakap memang lambatlah kahwin kerana di tempat tinggal aku pun ramai anak-anak perempuan sebaya aku atau muda sedikit daripada aku.
Ada jiranku yang tinggal di kawasan berdekatan rumahku hampir setiap malam bertandang ke rumahku suami isteri dan turut bersama anak gadisnya yang sebaya aku . Wajahnya seperti kecina-cinaan dan berambut panjang. Kulitnya kuning langsat dan manis orangnya.
Ketika itu , aku baru berkawan dengan tunangku ini. Belum ada apa-apa ikatan rasmi. Mereka datang membawa pelbagai juadah. Biasanya mereka datang selepas Isyak dan aku pula pulang dari mengajar sekitar jam 10.00 malam. Jadi, memang terserempaklah dan jiranku tersenyum lebar sambil mengusik-usik aku. Walaupun mereka tahu aku sedang berkawan dengan seseorang tapi mereka masih menaruh harapan .
" Apa susah-susah pilih anak pakcik ni kan ada," kata jiranku di hadapan aku dan ibu bapaku sambil ketawa terbahak-bahak. Anak perempuannya hanya tersenyum sipu di kerusi rotan.
Sejak aku menjalinkan pertunangan , jiranku ini jarang-jarang bertandang ke rumahku. Aku faham. Namun , semuanya itu kehendak Allah selain rezeki dan ajal maut. Hari yang dinanti-nantikan tinggal sehari saja lagi. Esok aku akan menjabat tangan bakal bapa mentuaku untuk akad nikah dan mengesahkan pernikahanku. Hari itu aku memohon keizinan daripada majikanku untuk mengambil cuti keesokan hari kerana aku akan melangsungkan pernikahan. Kegembiraan aku sedikit terganggu kerana majikanku tidak membenarkan aku bercuti dengan alasan majlis pernikahan aku selepas Isyak . Aku dibenarkan 'cuti' esok selepas kelas petang , iaitu selepas Maghrib.
Hampa dan kecewa sungguh tak terkata. Ketika itu, telefon bimbit belum ada untuk berkomunikasi melainkan telefon di pejabat, telefon awam atau telefon rumah. Sepulang dari mengajar , aku maklumkan kepada ibu bapaku dan adik-adikku tentang aku tidak mendapat cuti . Aku menyerahkan urusan persediaan majlis kepada mereka. Mereka pun akur dengan permintaan aku.
Ibu bapaku pun berasa kecewa kerana pada hari penting itu aku menyerahkannya kepada adik-adikku untuk membantu mengurus. Perasaan kesal dan sedih hingga membawa aku melelapkan mata.
Comments
Post a Comment