Episod : 1 MUHARAM 1145H


Subuh pertama 1 Muharam 1445H disambut dengan titisan hujan membasahi bumi Allah. Tahajud yang sepi dibungkus kedinginan hingga mencengkam tulang hitam. Aku bangkit mensyukuri nikmat-Mu, ya Allah.

Zikir dan tasbih silih berganti. Keazaman semakin utuh untuk memperbaiki kekurangan pada diri ini. Kedengaran sayup-sayup bilal Haji Ahmad melaungkan azan Subuh. Kaki segera melangkah menuju rumah Allah kurang lebih 3 kilometer. Usai azan solat kobliah Subuh dikerjakan sebaik mungkin kerana barang kali inilah solat terakhirku.

Doa dipanjatkan di Subuh yang hening oleh Imam Haji Nordin sambil diaminkan jemaah. Setelah bersalam-salaman, duduk sebentar bersama-sama rakan-rakan jemaah yang sudah berusia namun gagah menghadirkan diri setiap Subuh. Walaupun umur mereka mencecah 70-80 tahun tetapi ketaatan mereka menghambakan diri di hadapan Allah sangat menyentuh sanubariku. Aku bersyukur kerana belum terlewat untuk menyerah diri di hadapan Allah pada usia yang semakin yang sering dipanggil 'bakal jenazah'.

Dalam keseronokan bertemu rakan-rakan jemaah , kami bersurai apabila tok siak memadamkan lampu. Aku terus pulang ke rumah dan hujan masih turun renyai-renyai. Al-Quran di atas meja kucapai dan kubaca beberapa muka surat. Cuaca di luar kembali cerah setelah hujan berhenti. Aku menyapu sampah daun-daun pokok kemboja yang gugur.

Kubelai pokok-pokok hiasan yang kutanam di halaman rumah. Selepas 30 minit melayan pokok-pokok dan ikan di akuarium serta kolam, aku bersiap-siap untuk memulakan tugas hakikiku. Murid-muridku mulai datang dan tugasku pun bermula dari jam 9.30 pagi hingga 9.30 malam. Azamku agar tahun baharu hijrah ini membawa episod kehidupan yang lebih baik dan bertambah bersyukur ke hadrat Ilahi.

Comments

Popular posts from this blog