Episod : ' WEELIE'
Istilah 'WEELIE' merujuk aksi menunggang motosikal dengan satu tayar depan ke atas dan tayar belakang di atas aspal. Kemahiran membuat ' WEELIE' memerlukan latihan dan keberanian. Orang lain membuat ' WEELIE'' secara solo atau berdua dengan pembonceng. Aku pernah terbuat 'WEELIE'' dengan empat orang di atas motor.
Kisahnya terjadi sekitar tahun 1993 pada satu hari minggu. Ketika itu kami tidak mempunyai kenderaan sendiri waima basikal. Hanya basikal mainan anak di rumah. Isteriku terlalu ingin bersiar-siar di Taman Tasik Shah Alam. Takkanlah hendak menyewa teksi untuk ke sana kerana kos tambang mahal. Aku pula tidak mempunyai lesen motosikal mahupun lesen kereta. Setiap hari ,aku akan berulang alik ke tempat kerja dari Meru ke Klang dengan menaiki bas KSOC di Pekan Meru.
Dari rumah sewa di Taman Meru 3 , aku akan berjalan kaki ke pekan lebih kurang 1 kilometer. Berpeluh juga ketiak hendak sampai ke pekan yang menjadi stesen bas berhenti mengambil penumpang ke Klang. Kadang-kadang ada juga jiran yang bermotosikal menumpangkan aku di tengah jalan menuju ke pekan.
Isteriku mempunyai lesen memandu tetapi tiada kereta yang hendak dipandu. Aku menyuruh isteriku meminjam kereta daripada ahli keluarganya tetapi tiada jawapan. Akhirnya, aku terfikir untuk meminjam motosikal Honda EX5 kepunyaan birasku. Kami diberi pinjam motosikal untuk bersiar-siar ke Taman Tasik Shah Alam.
Semangat hendak menunggang motosikal berkobar -kobar disulami perasaan berdebar-debar. Puteri yang sulung di depan dengan kaki di dalam bakul dan di belakangku terselit puteri kedua sambil dipeluk isteriku. Kami berempat menunggang motosikal menuju ke destinasi.
Perjalanan berjalan lancar dari Meru ke Shah Alam. Kenderaan tidak banyak di jalan raya. Aku menunggang motosikal dengan sangat berhati-hati. Apatah lagi motosikal pinjam binbang kalau rosak atau terjadi perkara tidak diingini. Setiba di satu selekoh yang agak menegak motosikal tak bergerak dan kakiku segera menekan gear rendah dan memulas minyak. Apalagi kami berempat pun 'WEELIE'' dan motosikal terhempas manakala anak-anakku serta isteri bergelimpangan di atas jalan raya.
Timbul perasaan takut dan malu kerana beberapa buah kereta berada di belakang kami. Tanpa disangka-sangka, di belakang kami sebuah kereta peronda polis. Seorang anggota polis segera menghampiri kami dan menolong mengangkat anak-anakku yang terduduk di atas jalan.
Seorang lagi anggota polis keluar dari kereta peronda dan menawarkan bantuan untuk menghantar anak-anakku ke klinik tetapi aku menolaknya dan memberitahu akan pergi sendiri ke klinik. Calar-balar tangan dan kaki anak-anakku tetapi tidaklah serius. Setelah motosikal disorong ke tepi, anggota-anggota polis itu meneruskan tugas mereka.
Plat motosikal sahaja yang patah tetapi bahagian lain tiada kerosakan. Aku menoleh seketika dan memandang wajah sugul isteriku. Barang kali dia berasa bersalah atas kejadian pada petang itu. Aku membuat keputusan supaya kami pulang ke rumah. Keseronokan untuk bersiar-siar di Taman Tasik Shah Alam dilupakan begitu sahaja.
Sejak kejadian itu, kami tidak lagi meminjam kenderaan orang lain kerana bimbang kejadian sama akan berulang. Selepas beberapa bulan kemudian, akhirnya kami berpeluang bersiar-siar ke Taman Tasik Shah Alam apabila adikku mengajak kami ke sana dengan menumpang keretanya. Alangkah seronoknya anak-anakku dan isteriku kerana dapat bersiar-siar dengan Proton Saga. Sepanjang perjalanan ke sana otakku berfikir ligat untuk berusaha dengan lebih gigih agar aku dapat membeli sekurang-kurangnya sebuah motosikal untuk memudahkan kami dan tidak perlu menebalkan muka meminjam daripada orang lain.
Comments
Post a Comment