Episod : MAINAN 'RARE'

Dulu semasa zaman 70-an dan 80-an , zaman kanak-kanak semua benda yang kita nak kena belajar buat sendiri. Mak bapa tak ada duit nak belanja beli barang-barang mainan . Zaman itu serba serbi sukar.
Nak main bola duit tak ada nak beli bola. Kawan-kawan pun sama dua kali lima jenis pokai. Hendak tak hendak kena kerah semua kawan cari kertas surat khabar. Ada yang bawa surat khabar Cina. Ada yang bawa surat khabar Tamil. Ada yang bawa surat khabar Melayu masa itu Utusan Malaysia dan Berita Harian. Semua kertas surat khabar digumpal menjadi sebiji bola kertas kemudian diikat dengan getah yang dicari di tepi-tepi rumah atau jalan. Biasanya, ada seorang apek yang jual sayur dan ikan akan datang menjual di flat LPK . Di situlah banyak getah.
Dah puas main bola nak main senapang pulak. Cerita 'Combat' Vic Morrow tengah 'hot'. Habis papan dipunggah di belakang rumah orang sampai menjerit-jerit tuan rumah kerana papan yang disimpan kena rembat. Mulalah datang idea nak buat senapang patah. Sebenarnya bentuk senapang dah ada dalam kepala tapi kena gergaji pulak. Ada abang-abang bujang yang duduk melepak di tepi longkang yang tak ada kerja disuruh potong papan buat senapang.
Akhirnya , siaplah senapang kayu. Getah cari di tempat apek jual sayur ikan. Banyak getah bertabur di atas tanah. Kalau nak lagi 'power', boleh pergi pejabat pos. Posmen selalu tercicir getah jenis gelung besar untuk ikat surat. Abang-abang posmen pun tak kisah kami kutip getah di tepi-tepi dinding pejabat pos atau longkang.
Senapang kalau tak ada peluru lebih baik simpan bawah katil. Habis pokok ceri tepi rumah orang dipanjat. Buah ceri dijadikan peluru kalau kena sakit jugak. Ada yang lebih 'advance' guna dawai dipintal bentuk L dijadikan peluru. Masa itu mana fikir bahaya kalau kena mata buta. Paling penting 'happy'.
Puas main senapang sampai kucing anjing pun ditembak dengan peluru dawai musim lastik pulak. Pokok yang ada dahan bercabang dipatahkan dengan kaki atau dihenjut ramai-ramai . Kalau satu dahan besar patah dapatlah dua tiga cabang kayu untuk buat lastik. Kedai motor atau basikal yang buang tiub tayar depan kedai memang jadi sasaran. Tiub getah itu dipotong dua keping dan diikat dengan getah. Biasalah, tunggu apek datang . Masa itulah kawan-kawan aku berkeliling cari getah yang jatuh atas tanah. Kalau nak beli getah di kedai mahal pulak. Lima sen dikira beberapa urat getah bukan jual paket. Pandai dia orang 'curi' duit budak-budak .
Dah ada lastik apa lagi. Kami pergi ke jeti Kampung Sungai Aur yang tak jauh dari flat main tembak ikan belajak. Dah puas main maghrib baru balik. Esok lastik buah mangga gedebak - gedebuk buah mangga jatuh atas atap rumah . Tuan rumah keluar bawa penyapu kejar kami. Lintang-pukang lari tak cukup tanah. Lepas itu datang lagi lastik lagi. Lama-lama , tuan rumah pun dah tak kejar kami dengan penyapu lagi.
Musim gambar. Gambar kena beli sekeping 10 sen ada 12 keping satu papan. Gambar campur-campur. Ada gambar atroman, spider man, gambar kereta tapi semua itu tak kisah sangat yang penting gambar itulah jadi modal main baling selipar. Pantang selipar letak luar pintu silap-silap kena rembat kena potong jadi alat pembaling . Tangan pengkau tak payah mainlah buang duit beli gambar balik awal.
Kawan-kawan yang masuk main gambar akan letak sejumlah gambar dua puluh keping atau lebih. Semua gambar dikumpul di hujung lantai simen dari hujung seorang demi seorang akan mengambil giliran masing-masing untuk membaling selipar. Lagi berat selipar lagi 'power'. Kalau dibaling laju dan kena tepat habis selonggok gambar berterbangan . Putih mata yang kalah tengok kawan yang menang kutip gambar tapi kawan-kawan yang kalah pun ada yang menolong kutip sebab nanti dapat upah dua tiga keping gambar . Kumpul sikit-sikit nanti dah cukup gambar boleh buat modal main balik. Nasib baik dapatlah lebih upah gambar kalau nasib tak baik satu pun tak dapat.
Kadang-kadang masa tengah main gambar datang pakcik makcik cari selipar yang hilang. Adegan nafi-menafi pun bermula. Akhir sekali dah tak boleh pusing cerita kawan yang curi selipar itu pun lari menyelamatkan diri. Gambar dirampas pakcik dan makcik sebagai protes sambil dibontoti anak mereka tersengih pulang ke rumah. Mak bapak dia bawa balik harta rampasan 'perang' mana tak tersengihnya. Kami dendam saja budak tu silap-silap kami lastik dia dengan peluru dawai.
Gasing. Satu persatu musim berganti. Gasing kayu harga dua puluh sen sebiji siap tali . Paku gasing diasah atas lantai simen bagi tajam setajam-tajamnya. Sekali hayun kena terus kopak belah dua. Duduklah tepi longkang tengok orang lain main sambil mata berkaca. Nak menangis malu tinggal tali saja dalam genggaman yang erat seperti sekepal penumbuk. Kalau hilang kewarasan habis semua orang dimarahinya. Kawasan flat banyak tempat main gasing tapi kalau main depan pintu rumah orang bisinglah.
Ada masa tuan rumah simbah air satu baldi tak jadilah main gasing tanah basah. Cari pot lain main gasing. Lama-kelamaan. musim gasing habis ganti main guli petey. Sebiji sepuluh sen ada kedai yang jual dua puluh sen. Guli sepuluh sen mudah pecah apabila berlaga dengan guli dua puluh sen. Kalau kena hantukan guli yang kuat memang boleh pecah dua guli satu lagi. Ada yang termenung melihat kawan-kawan main guli. Nak beli tak ada duit carilah tepi-tepi semak-samun kalau-kalau terjumpa duit syiling yang tercicir dan kadang-kadang terjumpa jugak. Duit jumpa ini kotor atau berkarat jadi hendak bersihkan duit syiling berkarat kenalah gali lubang atas tanah. Curah air dalam lubang itu campak duit syiling berkarat kemudian guna tumit macam menari 'twist' untuk bersihkan duit syiling di dalam lubang . Memang menjadi teknik itu dan duit syiling berkarat jadi putih.
Musim layang-layang penuhlah padang belakang rumah. Kawan-kawan semua ada layang-layang sama ada dibeli atau buat sendiri dengan lidi penyapu. Kepakaran membuat layang-layang lidi dengan kertas surat khabar memang percubaan yang berani. Silap-silap layang-layang tak naik kononnya kertas surat khabar berat lagi-lagi surat khabar Tamil. Layang-layang terolang-oleng macam mabuk todi. Memang gilalah alasan dia orang . Apa kena-mengena tulisan Tamil dengan berat layang-layang sampai tak boleh terbang. Kalau surat khabar Melayu senang sikit naik tapi tiba-tiba angin kencang tali layang-layang boleh putus. Terbanglah layang-layang menuju angkasa.
Dalam banyak-banyak permainan dulu-dulu, main bola paling 'rare'. Siap buat piala kayu. Kayu beluti ditakek-takek hingga jadi bentuk macam piala. Jaga keting jangan kena tendang sakitnya tak boleh cakaplah. Ada kawan India keting dia keras. Kita tendang kaki dia tapi kaki kita yang sakit. Suatu hari, masa main bola tepi padang dia tendang kaki aku punyalah sakit. Aku kejar dia satu blok flat sampai depan rumah nasib baik dia sempat tutup pintu kalau tak dah kena dia.
Sekarang semua permainan itu hampir pupus diganti dengan permainan moden. Cucu-cucu lebih banyak duduk berkurung di dalam rumah main 'game; telefon bimbit. Keseronokan zaman kanak-kanak dulu tak sama dengan zaman sekarang. Namun, keakraban dengan kawan-kawan dulu sampai sekarang sangat erat umpama tali bersimpul mati. !

Comments

Popular posts from this blog